santai

Hayati seni budaya Kedah

Oleh Zaitie Satibi

SELAIN tarikan seperti pantai, taman rimba atau tempat bersejarah, pelancongan seni budaya Kedah juga antara yang giat diperkenalkan.

Temasya Oghang Kedah (TOK) antara program menarik dirancang Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dalam Kalendar Seni Budaya 2019 jabatan itu yang berlangsung selama tiga hari di Dataran Sungai Korok, Jitra bermula semalam sehingga esok.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata, temasya bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu dirancang bagi mengangkat seni budaya serta kesenian yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini.

“TOK bakal mempamerkan kesenian budaya rakyat Kedah melalui pelbagai aktiviti dan program yang menjadi amalan generasi terdahulu untuk dirasai, dihayati serta diwarnai generasi hari ini.

“Masyarakat Melayu Kedah kaya dengan pelbagai bentuk kesenian dan kebudayaan tradisional. Oleh itu, sewajarnya segala hasil seni budaya di negeri ini dipelihara sebaik mungkin supaya kekal dan tidak luput ditelan zaman.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan minat orang ramai terhadap kesenian dan kebudayaan rakyat Kedah berkekalan serta lebih menarik.

“Ini kerana kebudayaan sesuatu masyarakat menjadi satu identiti dan penting bagi generasi muda mengetahui serba sedikit pelbagai bentuk seni serta budaya yang diwarisi berikutan mereka adalah penyambung warisan,” katanya.

Pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian antara kaum, hadrah, jikey, mek mulung, menora, ghazal parti dijangka membangkitkan semula nostalgia hiburan muzik tradisional. Turut diadakan pertunjukan silat gendang lambung.

Mungkin ramai tidak tahu mek mulung adalah persembahan teater tradisional Melayu merangkumi adunan lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik daripada peralatan khas seperti semborong, gong, serunai serta cerek.

Persembahan mek mulung mempunyai adat dan kaedah pementasannya yang tersendiri selain dikatakan wujud sejak 400 tahun lalu. Ia berasal dari Siam dan mula tersebar ke tanah air melalui Kedah serta diisytihar sebagai seni warisan negeri berkenaan kerana menggunakan bahasa Kedah Tua.

Mek mulung awalnya tidak begitu dikenali ramai namun diperkenalkan semula JKKN Kedah menerusi projek perintis untuk menghidupkan semula warisan teater tradisional dalam kalangan rakyat negeri berkenaan.

“Pesta tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pertandingan badang, gusti lengan kategori lelaki dan wanita, memasak laksa Kedah, mengail ikan, sepak raga bulat, larian budaya, permainan musang berjanggut, tulisan khat terbuka.

“Bagi peminat fotografi, mereka berpeluang menyertai pertandingan klik foto secara percuma yang menawarkan hadiah lumayan. Apa yang perlu dilakukan peserta memuat naik foto terbaik berkaitan program sebelum memuat turun dalam laman Facebook JKKN Kedah.

“Istimewanya, aktiviti termasuk pertandingan yang dirangka sesuai disertai seisi keluarga dari dewasa hingga kanak-kanak. Ada pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan kolaj untuk prasekolah, malah senam seni yang boleh disertai si cilik,” katanya.

Mohd Rizal berkata, bagi menyemarakkan lagi suasana temasya itu pihaknya akan menyediakan skrin besar khas untuk menayangkan perlawanan final Piala FA 2019 yang akan menyaksikan Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

“Kebetulan final Piala FA akan berlangsung pada Sabtu iaitu malam terakhir temasya, jadi sambil kita bersantai-santai di dataran itu nanti, lebih baik kita menyaksikan perlawanan bola sepak yang juga sukan kegemaran nombor satu rakyat negeri ini.

“Walaupun tidak mampu ke Stadium Bukit Jalil, kita masih boleh menzahirkan sokongan dengan hadir beramai-beramai berpakaian serba hijau kuning ke Dataran Sungai Korok sebagai tanda sokongan kepada skuad Lang Merah,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 10:20am
d