santai

Sekinchan tawar percutian lengkap

Oleh Nurul Husna Mahmud

MAHU menjauhkan diri daripada kesibukan kota raya tetapi merancang percutian jangka masa pendek? Pekan kecil yang terletak 100 kilometer dari Kuala Lumpur antara pilihan menarik.

Pemandangan padi menghijau, perkampungan nelayan di pesisiran pantai mahupun kuala sungai pastinya mengundang pengunjung kota yang rindukan suasana desa.

Bonusnya mengenai pekan yang terletak dalam daerah Sabak Bernam, Selangor ini, pengalaman pemanduan sekitar satu jam hingga dua jam perjalanan memadai untuk pengembara solo seperti Nik Suzila Nik Hassan.

Kata gadis manis berusia 39 tahun ini yang juga aktivis alam sekitar menerusi sosial Interprise Kloth Malaysia Sdn Bhd yang ditubuhkan enam tahun lalu berpendapat percutian yang tidak dirancang itu membantu mengurangkan tekanan selepas penat dengan rutin kesibukan kerjaya.

“Biasanya kalau ada kelapangan waktu yang panjang dan bajet untuk melancong, saya dan keluarga akan memilih destinasi luar negara sebagai lokasi percutian. Namun jika masa atau kewangan tidak mengizinkan, percutian dalam negara sudah cukup menarik bagi kami.

“Tetapi destinasi percutian kali ini iaitu Sekinchan menjadi pilihan di sebabkan pekan terbabit hanya terletak sejam pemanduan daripada kediaman saya, Petaling Jaya.

“Sebenarnya saya tidak pernah sampai ke Sekinchan dan mengetahui keistimewaan pekan yang terkenal sebagai salah satu penyumbang utama pengeluaran padi di Malaysia apatah lagi ia kediaman Kilang Pemprosesan Padi sehinggakan ada muzium boleh dikunjungi.

“Bagi pengembaraan solo, saya beranggapan Sekinchan destinasi sesuai sebagai kunjungan percutian sehari itu,” katanya.

Dalam kesibukan memenuhi jadual harian yang ketat selaku aktivis alam, katanya pemandangan Sekinchan menghijau apabila memiliki sawah padi yang terbentang luas benar-benar mengujakan lawatan pertamanya ke lokasi itu.

“Saya suka melihat persekitaran yang hijau dan udara yang nyaman. Apabila dibesarkan di bandar, saya tidak biasa tengok sawah padi. Jadi sebaik tiba saja di lokasi ini memang saya betul-betul ambil peluang dengan melapangkan masa seorang diri menikmati keindahan pemandangan di sawah.

“Selain pemandangan sawah padi, saya turut membeli beras yang berkualiti tinggi dari pengeluar padi di sini,” katanya.

Kata Nik Suzila, selain pengalaman melihat sawah secara langsung, perkampungan nelayan di Pantai Redang antara pengalaman mengasyikkan.

“Paling saya teruja ialah dapat beli hasil laut dengan murah dan segar dari jeti nelayan. Saya boleh anggarkan harga hasil laut saya beli secara langsung jauh lebih murah iaitu kira-kira 20 peratus lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

“Saya turut mengambil kesempatan menikmati hidangan gerai makan setempat iaitu masakan ala Cina seperti Kam Heong Crab, Sweet Sour Lala dan bebola ikan dimasak segar dari rumah cukup sempurna dengan sajian minuman kelapa segar di tepi laut,” katanya.

Selain tarikan berkenaan Nik Suzila turut mengambil kesempatan menghargai keindahan kepelbagaian kaum, agama mahupun budaya Malaysia dengan melihat seni bina rumah ibadat pelbagai kaum di pekan terbabit.

Katanya seperti melawat pusat relik lain, rumah ibadat baik Hindu atau Buddha boleh dihargai menerusi pengamatan seni binanya kerana itu mencerminkan kepercayaan masing-masing.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 10:20am
d