santai

Buru matahari terbit

Oleh Aniza Zainudin

MEMBURU matahari terbit di puncak Gunung Sarut menjadi misi utama bagi sekumpulan pendaki di bawah kendalian AJ Angle Outdoor, baru-baru ini.

Terletak di Setiu, Terengganu, gunung yang menjanjikan keindahan alam tersendiri ini memiliki ketinggian 1,229 meter kian popular dalam kalangan penggemar sukan lasak.

Berkongsi pengalaman, Siti Ruby Mahyah berkata, ekspedisi menawan puncak Gunung Sarut mengambil masa selama dua hari satu malam.

“Pengembaraan ini disertai 35 pendaki berusia antara 25 hingga 45 tahun. Secara peribadi, ini adalah pendakian pertama kali saya di Gunung Sarut manakala gunung ke-10 sepanjang aktif dalam sukan ini sejak tiga tahun lalu.

“Setiap gunung memiliki keistimewaan dan cabaran tersendiri sama ada dari segi laluan sukar mahupun kecantikan alam sekitar yang sungguh sempurna.

“Seperti Gunung Sarut, landskapnya sangat cantik kerana ia mempunyai air terjun indah membentuk kolam, air berwarna biru kehijauan yang jernih dipanggil ‘bluepool’.

“Selain itu, terdapat juga satu kawasan dijadikan tapak perkhemahan digelar taman bonsai.

“Ini kerana kebanyakan pokok di sekeliling berbentuk bonsai semula jadi akibat kesan pusingan angin di kawasan tinggi,” kata suri rumah berusia 41 tahun ini.

Menurut Siti Ruby, ekspedisi menawan Gunung Sarut bermula pada jam 11 pagi apabila merentasi sungai menggunakan jambatan gantung usang.

Perjalanan menuju ke tapak perkhemahan pertama memakan masa satu jam kerana laluannya agak mendatar.

Malah, perjalanan santai itu memberi peluang kepada pendaki menikmati aroma semula jadi hutan yang nyaman dan menyaksikan pelbagai jenis fauna serta flora unik.

Sebaik tiba di tapak perkhemahan, kumpulan ini membuat pembahagian tugas seperti mendirikan khemah dan menyediakan bahan makanan.

Usai semua tugasan, pendaki melepaskan lelah dan meraikan keseronokan untuk mandi-manda di ‘bluepool,’ kemudiannya menikmati juadah yang ada, solat sebelum melelapkan mata.

Tepat jam 3 pagi, kumpulan ini meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan kedua, dipanggil ‘taman bonsai’ untuk menunaikan solat Subuh dan menambah bekalan air minuman dari sungai berdekatan.

Mengekalkan pesanan nenek moyang supaya tidak celupar di dalam hutan, perjalanan dari ‘taman bonsai’ menuju ke puncak Gunung Sarut memakan masa sejam.

Jam 7 pagi, Siti Ruby bersama rakan ekspedisi tiba di Gunung Sarut dan merealisasikan misi untuk menyaksikan keindahan sang suria dari puncak gunung berkenaan.

Bagi mengembalikan kehangatan tubuh dan tenaga yang hilang akibat suhu sejuk serta tiupan angin lembut, kumpulan pendaki ini menyediakan air kopi selain mi segera bersama-sama.

Sambil menikmati hidangan ringan, masa yang ada dimanfaatkan sepenuh untuk menyaksikan keistimewaan matahari terbit, kabus memutih dan kehijauan flora disinari cahaya mentari yang indah.

Selepas tiga jam mengagumi kekuasaan Yang Maha Pencipta dari puncak Gunung Sarut, kumpulan pendaki ini memutuskan untuk meneruskan perjalanan pulang.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 11:35am
d