santai

Cari harta karun rentas 4 negeri

Oleh Aniza Zainudin

MISI pencarian harta karun disifatkan satu acara yang bukan saja mengukur tahap kecerdasan minda pemain, bahkan turut membuka ruang kepada ahli pasukan mengenal pasti karakter peribadi antara satu sama lain demi menyempurnakan setiap halangan.

Selalunya pertandingan pencarian harta karun dianggotai sekurang-kurangnya empat orang dengan pembahagian peranan tersendiri, seperti pemandu, pembaca ‘tulip’ dan dua lagi mencari jawapan berdasarkan petunjuk dibekalkan penganjur.

Secara peribadi, memenangi pertandingan pencarian harta karun adalah bonus. Namun penulis lebih menikmati masa, perjalanan dan perkongsian jawapan berkualiti bersama ahli pasukan.

Baru-baru ini, penulis bersama tiga rakan media di bawah bumbung yang sama berpeluang menyertai pertandingan pencarian harta karun,anjuran Columbia Asia Hospital, ‘Columbia Asia Hospital, Motor Treasure Hunt 2019’.

Penganjuran pertandingan pencarian harta karun buat pertama kalinya ini membabitkan kerjasama antara lima hospital Columbia Asia.

Perjalanan sejauh 177.4 kilometer (km) itu menghubungkan lima hospital yang bermula di Setapak, Petaling Jaya, Cheras, Puchong, Seremban sebelum misi harta karun berakhir di Melaka.

Berkumpul di Setapak, Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi bersama kira-kira hampir 200 peserta (bagi 50 kereta), sesi dimulakan dengan pendaftaran, taklimat dan sarapan.

Tepat jam 8 pagi, pertandingan pencarian harta karun yang terbahagi kepada dua bahagian ini bertemakan Kehidupan Sihat bermula di sekitar Lembah Klang sebelum menuju ke selatan.

Kami dibekalkan bersama tulip (yang merujuk kepada bacaan laluan bagi menyelesaikan misi), petunjuk atau soalan harta karun, petunjuk cabaran media sosial dan barangan harta karun untuk kebajikan.

Menyempurnakan satu daripada misi media sosial, kami berempat terlebih dulu mengambil berswafoto bersama di Columbia Asia Setapak sebelum menuju ke Petaling Jaya, Selangor.

Perjalanan sejauh 21.65km ini, kami dikehendaki menjawab empat soalan berdasarkan petunjuk di sekitar kawasan rumah kedai.

Tidak dinafikan, pencarian harta karun bukanlah tugasan yang mudah apabila petunjuk diberikan sangat berhelah. Tambahan pula, empat rakan ini jarang sekali menyertai aktiviti seperti ini.

Meskipun begitu, semangat kerjasama, setia kawan dan saling menerima hujah bagi setiap jawapan ahli kumpulan membuatkan kami sentiasa positif serta cuba mencari jawapan tepat untuk soalan berkenaan.

Puas memerah otak, kami enggan membuang masa lantas bergegas ke lokasi seterusnya di kawasan berdekatan untuk mencari jawapan bagi empat soalan lain.

Sebaik tiba di hospital kedua di Petaling Jaya, kami dikehendaki menjawab soalan berkaitan program kesihatan yang ditawarkan, sebelum menuju ke hospital ketiga di Cheras.

Meskipun aktiviti pencarian harta karun ini dilakukan pada hujung minggu, kami menyifatkan diri bernasib baik kerana tiada kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang seperti kebiasaan.

Apabila tiba di hospital di Puchong, kami perlu memasuki sebuah bilik dan menyaksikan taklimat kesihatan berkaitan penyakit asma.

Berdasarkan maklumat dikongsikan menerusi tayangan video itu, kami perlu menjawab lima soalan sebelum dibenarkan keluar.

Selepas menyerahkan jawapan bahagian satu, kami diberikan ‘tulip’ perjalanan bahagian kedua yang merangkumi Negeri Sembilan dan Melaka.

Tempoh misi pencarian harta karun ini selama lapan jam dan ia memerlukan kami tiba di lokasi terakhir tepat jam 4 petang.

Menyedari kami perlu menyelesaikan 22 lagi soalan daripada 35 secara keseluruhan, perjalanan menuju ke selatan diteruskan dan hanya berhenti untuk ke tandas serta membeli kudapan saja.

Kira-kira jam 2 petang, kami tiba di hospital terakhir dan menyelesaikan cabaran media sosial, swafoto berkumpulan.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke destinasi ditetapkan berdasarkan ‘tulip’ termasuk kawasan rumah kedai, restoran, kilang perindustrian di Seremban dan Senawang.

Memasuki Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Melaka dalam tempoh sejam lebih, kami perlu menyempurnakan enam lagi soalan di sekitar Ayer Keroh.

Kemudian, di lokasi terakhir, Honda Ban Lee Heng Motor, kami perlu mencari dua jawapan penutup dan menyerahkan barang harta karun yang dibeli di Senawang.

Berjaya menamatkan pertandingan pada masa yang ditetapkan, ia menjadi satu rekod kejayaan peribadi buat kami berempat yang mentah dalam acara seperti ini.

Saat perkongsian jawapan tepat dan majlis penyampaian hadiah berlangsung di sebuah hotel di pusat bandar raya bersejarah itu menjadi acara kemuncak pencarian harta karun, keesokan harinya.

Apabila jawapan didedahkan, tidak dinafikan kami teruja dengan kebijaksanaan penganjur dalam menyediakan helah sempurna malah kagum dengan kepandaian peserta mendapatkan jawapan tepat.

Pertandingan yang membabitkan penyertaan 50 kereta ini dimenangi Team 4 Ekor yang membawa pulang hadiah utama, wang tunai RM3,000, diikuti Team 2 Sneakies + 2 Innocents dan Team Flying Dutchman.

Pengurus Kanan Serantau Columbia Asia, Lee Hui Chuen mengakui penganjuran aktiviti pencarian harta karun ini bertujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat serta kerjasama antara kakitangan di cawangan berlainan.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 12:50pm
d