santai

Makan sambil berhibur

Oleh Zaitie Satibi

KEISTIMEWAAN Malaysia yang menjadi tarikan utama dunia adalah kepelbagaian budaya daripada masyarakat berbilang etnik. Ia menerusi persembahan tarian, alat muzik, permainan, makanan dan pakaian mahupun bahasa daerah.

Dalam usaha mendedahkan pelancong dalam dan luar negara dengan keunikan kepelbagaian budaya setiap etnik di negara ini, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) memperkenalkan program ‘Eat & Enjoy’ yang menggabungkan seni persembahan, makanan dan pendidikan.

Menerusi program berkenaan yang diadakan setiap Rabu jam 5 petang di akademi berkenaan, pelancong bukan saja dapat bersantai sambil menikmati juadah tradisi, malah dihidangkan dengan persembahan tarian, nyanyian, lakonan dan alunan alat muzik tradisional.

Rektor Aswara, Profesor Madya Sahar Sa’di Hashim berkata, biarpun akademi ini mempunyai matlamat untuk menghasilkan penggiat kreatif dan jurulatih bagi meningkatkan taraf seni persembahan, memelihara dan mengekalkan warisan kebangsaan, namun pihaknya turut mempunyai komitmen untuk membantu mempromosi pelancongan budaya.

“Dari sudut perspektif pelancongan, Aswara secara umumnya menggunakan pendekatan ‘edutainment’ dan ‘edutourism’ sebagai satu tarikan tumpuan pelancong yang datang ke Malaysia termasuk tempatan dengan dapat menikmati produk pelancongan dan menonton prestasi seni untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam program baru diperkenalkan ini, ia akan berlangsung dua jam menampilkan enam sesi persembahan kesenian yang dipelbagaikan setiap minggu seperti mak yong, mek mulong, dikir barat, wayang kulit, ngajat, magunatip dan nyanyian lagu Melayu asli.

“Istimewanya, setiap persembahan kebudayaan berkenaan adalah daripada pelajar dan kakitangan serta alumni akademi sendiri,” katanya.

Katanya, program itu yang berkonsepkan santai sambil berhibur memberi peluang kepada pelancong luar negara dan masyarakat tempatan terutama generasi muda menjamu selera bersama keluarga serta rakan sambil menikmati pelbagai persembahan kebudayaan.

“Juadah tradisi dihidangkan kepada tetamu lebih kepada makanan ringan yang sesuai dinikmati untuk minum petang seperti keropok lekor, pisang goreng, jemput-jemput, mi goreng, bihun goreng, bubur kacang, pengat pisang dan kuih talam serta minuman teh tarik.

“Setiap juadah berkenaan juga dipelbagaikan setiap minggu supaya pelbagai jenis makanan tradisi dapat diperkenalkan. Kami jangkakan kedudukan akademi ini berhampiran monumen kebangsaan Tugu Negara mampu menarik pelancong yang datang secara berkumpulan untuk melihat persembahan kebudayaan dan kesenian,” katanya.

Antara persembahan memikat adalah mak yong iaitu kesenian lama yang menggabungkan tarian, muzik dan drama. Ia berasal dari Pattani, wilayah Selatan Thailand dan mula tersebar di pantai timur Semenanjung khususnya Kelantan sejak 400 tahun lalu.

Persembahan mak yong diselang-selikan dengan nyanyian dan tarian dengan lakonan. Selain mak yong sebagai watak utama, terdapat watak pelawak. Alat muzik dalam mak yong juga penting dan lazim dimainkan dalam persembahan ini adalah rebab tiga tali, gendang serta tetawak.

Teater tradisional Melayu ini juga diiktiraf sebagai Karya Warisan Agung Lisan dan Tidak Ketara Manusiawi oleh Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2005. Biarpun demikian, masih ramai dalam kalangan kita tidak mengenali mahupun menonton persembahannya.

“Kami berharap program ‘Eat & Enjoy’ ini dapat mendedahkan masyarakat dengan keunikan seni persembahan mak yong bagi menjamin warisan negara ini supaya tidak lenyap ditelan zaman. Malah, kami juga akan anjurkan kepelbagaian kebudayaan dan kesenian dari setiap negeri dalam Malaysia yang mempunyai persembahan seni dan budaya masing-masing ,” kata Sahar Sa’di.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 6:16pm
d