santai

Kembara solo biar berbaloi

Oleh Helmy Abd Rahman

SATU benda yang perlu dilakukan setiap orang paling kurang sekali dalam hidup adalah melancong ke destinasi pilihan secara berseorangan.

Tidak kiralah ke negara mana pun atau setidak-tidaknya negeri lain di Malaysia, terlalu banyak manfaat dan pengalaman menanti anda ketika melancong.

Bagi penulis sendiri, melancong terutama secara solo memberi pengalaman bermakna yang amat membantu contohnya cara membuat keputusan tepat pada masa singkat dalam kehidupan sehari-hari.

Untuk yang baru berjinak-jinak melancong seorang diri, baca 10 panduan berikut untuk memudahkan anda ketika berada di tempat orang.

1. Ambil tahu maklumat asas mengenai destinasi yang ingin dituju

Jangan culas membaca mengenai destinasi pelancongan anda. Ia membantu pemahaman anda mengenai tempat itu. Elok juga selidiki dulu sejarah di tempat tujuan anda supaya mudah memahami budaya setempat.

2. Amalkan sikap ramah dan terbuka kepada penduduk setempat

Senyum dan tegur orang tempatan serta kalau boleh, jadikan mereka rakan. Penulis sendiri ada ramai rakan di luar negara hasil ringan mulut. Kalau berkunjung lagi ke destinasi sama pada masa depan, mudah untuk anda teroka lebih banyak tempat contohnya tempat makan dan paling berbaloi jika rakan baharu anda ajak menumpang di rumahnya. Boleh jimat belanja. Satu tip yang selalu penulis amalkan kalau nak cari kenalan baharu, buat baik dengan pelayan restoran atau hotel tempat anda menginap.

3. Jangan lupa untuk sentiasa berwaspada

Memanglah banyak faedah kalau ramah, tapi kena tengok orang juga. Bukan semua orang baik tau! Ada yang memang nak mengenakan anda.

4. Cuba makanan baharu

Rugilah kalau tak cuba makanan setempat. Banyak makanan lazat dan murah yang boleh dinikmati.

5. Belajar ayat dan perkataan asas dalam bahasa penduduk setempat

Orang tempatan di tempat pelancongan anda pasti menghargai usaha anda belajar bahasa mereka. Lagipun, ia amat membantu untuk anda berkomunikasi lebih mudah. Setidak-tidaknya belajar perkataan mudah contohnya ‘terima kasih’, ‘selamat pagi’ atau ‘tandas di mana’.

6. Jangan takut sesat, teroka kawasan tempat anda melancong

Redah sahaja kawasan berhampiran hotel anda. Jika bimbang sesat, tanya penduduk setempat atau polis. Banyak perkara baharu yang anda dapat terokai tanpa disangka-sangka.

7. Selalu bersenam untuk sentiasa cergas ketika berjalan di tempat orang

Memang mudah kala

u naik teksi atau mengupah pemandu untuk ke mana-mana ketika melancong, namun percayalah, pengalaman meredah tempat orang dengan berjalan lebih mengujakan. Tapi pastikan anda sentiasa cergas. Mungkin boleh cuba banyak berjalan di tempat sendiri atau naik tangga untuk naik ke pejabat.

8. Bawa beg pakaian atau beg galas kecil

Dengan beg kecil, mahu tak mahu anda perlu meninggalkan barangan yang tidak perlu. Beg kecil juga lebih ringan dan memudahkan anda bergerak ke sana ke mari.

9. Bawa kad bank lebih

Kita tak tahu bila musibah datang. Mana tahu kalau sesuatu berlaku contohnya kad utama hilang atau kena samun, kuranglah sedikit masalah jika ada kad lain.

10. Cari penginapan berhampiran tempat menarik

Banyak saja hotel atau hostel murah di kawasan tumpuan pelancong. Anda cuma perlu rajin mencarinya sahaja di Internet. Penginapan hampir dengan tempat menarik dpat menjimatkan belanja perjalanan anda.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 9:19am
d