santai

Kayuh-kayuh cari makan

Oleh Ghazali Kori

ANDA tak akan sedar berapa banyak pencemaran bunyi terpaksa ‘ditangkap’ telinga setiap hari di bandar selagi tidak meneroka kawasan kampung dan alam semula jadi.

Bau kopi segar, bunyi unggas bernyanyi dan panorama indah ‘mengecas’ semula semua pancaindera menjadi lebih harmoni selanjutnya menimbulkan kedamaian jiwa.

Itu yang kami rasakan dalam aktiviti kembara berbasikal dan perkhemahan ‘Ride For Food’ di Kampung Temir, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Ekspedisi ini diketuai Mohd Jaafar Taib, seorang guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Mungkin anda tertanya-tanya mengapa Ride For Food? Di kawasan Hulu Terengganu memang banyak makanan tradisional enak yang tidak didapati di tempat lain.

Selain itu, kami ingin meneroka dan menikmati keindahan pemandangan serta keunikan kawasan kampung selain mengeratkan hubungan dengan penduduk di sepanjang tempat yang kami lalui dalam ekspedisi ini.

Selepas beberapa bulan merancang, kami seramai 10 orang sepakat memilih tarikh 15 dan 16 September lalu untuk aktiviti ini.

Semua peserta berkumpul jam 8 pagi di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu pada hari dijanjikan dan setengah jam kemudian, kami memulakan perjalanan.

Pelbagai jenis basikal ada, antaranya basikal jalan raya (road bike), fixie dan surly. Saya sendiri menggunakan basikal jelajah LKLM yang sudah berbulan tidak disentuh.

Kayuhan kami perlahan dan santai sahaja, lagipun bukan hendak berlumba. Beberapa saat selepas menginjak 9 pagi, kami tiba di Kampung Pasir Tinggi.

“Kita berhenti sarapan dululah,” saya melaungkan suara kepada peserta ekspedisi sebaik tiba di kampung berkenaan. Hampir sejam juga kami berhenti sebelum menyambung perjalanan ke bandar Kuala Berang.

Kira-kira jam 11.30 pagi kami tiba di bandar Kuala Berang. Peserta ekspedisi mengambil peluang meronda kawasan sekitar antaranya Makam Tok Pauh dan Memorial Batu Bersurat.

Terasa kagum bila mengenangkan tempat ini menjadi saksi kedatangan Islam antara terawal di Nusantara iaitu sebelum 1326 atau 1386. Bagi yang tidak tahu, Batu Bersurat ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 1887.

Puas meronda, kami sepakat ‘pekena’ ikan baung masak tempoyak yang memang terkenal di bandar ini. Masing-masing bukan main berselera makan dan saya sendiri menambah nasi sehingga lima pinggan, maklumlah penat mengayuh.

Tidak cukup ikan baung, kami singgah pula di gerai kuih kayu keramat gergasi atau dikenali sebagai roti binjai gergasi dalam kalangan komuniti setempat.

Memang besar saiznya, sebutir sahaja sudah penuh satu pinggan tapi harga cuma seringgit setiap satu. Memang puas hati makan di Kuala Berang.

Sesudah solat Zohor, kami teruskan perjalanan dan pada jam 2.30 petang tiba di Kampung Dusun. Secara kebetulan ketika kami singgah, ada pesta menangkap ikan yang dipanggil penduduk tempatan ‘mengero ikan.’

Meriah sungguh apabila menyaksikan hampir seluruh penduduk kampung menyertai pesta yang diadakan setahun sekali ini. Bermacam-macam jenis ikan ditangkap antaranya lampam, toman dan baung. Terus perut terasa lapar melihat ikan ini yang pastinya enak dan lazat dijadikan lauk makan tengah hari.

Kami berhenti di kampung itu lebih setengah jam sebelum teruskan kembali perjalanan. Ketika ini ada beberapa peserta terpaksa menolak basikal yang mengalami kerosakan. Inilah cabaran yang dihadapi sepanjang ekspedisi ini.

Kami tiba di Kampung Temir jam 4.30 petang dan walaupun agak kepenatan selepas menempuh perjalanan sejauh 40 kilometer (km) kami tetap bersemangat memacak khemah.

Jam 8 malam, kami sama-sama buat barbeku dan berbual santai antara satu sama lain sebelum masuk ke khemah masing-masing apabila hujan lebat melanda. Esoknya, kami bertolak pulang ke Kampung Pulau Manis, Serada sekitar jam 10 pagi.

Secara keseluruhannya bagi kami, aktiviti ini memang memberi pelbagai input berguna kepada peserta dan kami semua sepakat untuk anjurkan lagi ekspedisi serupa pada masa depan.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 9:01am
d