santai

Kembara skuter [METROTV]

Oleh Aniza Zainudin

ADA yang memilih untuk berpakaian patriotik menggunakan elemen Jalur Gemilang, segelintir pula untuk menyertai perarakan, larian mahupun melakukan aktiviti kemasyarakatan bagi meluahkan rasa cinta pada negara.

Begitu juga bagi 120 pemilik skuter, Vespa yang memilih untuk menyertai program Kem Skuter Lasak Mat Daling 2019 dengan cara tersendiri.

Program anjuran Vespa Empire bersama beberapa kelab Vespa Pahang ini bertujuan mengumpulkan penggemar skuter buatan Itali itu, seterusnya melakukan aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk Kampung Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling, Jerantut.

Peserta, Zulfadhli Zulkifli mengakui tertarik untuk menyertai program berkenaan kerana ingin melakukan kelainan berbanding konvoi Vespa sebelum ini.

“Saya bertolak dari Puchong seawal jam 6.30 pagi, Sabtu bersama 11 rakan Vespa yang lain menuju titik berkumpul di Temerloh.

“Menikmati perjalanan santai yang mengambil masa hampir dua jam, kami tiba di sana jam 9 pagi dan bertemu rakan Vespa dari destinasi berbeza termasuk dari Singapura.

“Ada juga rakan yang tiba lewat gara-gara mengalami kerosakan skuter, tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk menjayakan aktiviti bersama-sama.

“Selepas memastikan semua peserta bersedia, pada jam 1 tengah hari kami memulakan perjalanan menuju destinasi pertama, pekan Jerantut Feri yang terletak 65 kilometer dari Temerloh.

“Kemudian, kami meneruskan perjalanan menghala lokasi akhir, Kampung Bukit Mat Daling sejauh 140 kilometer dan secara keseluruhan konvoi ini memakan masa 11 jam.

“Sebelas jam bukan satu jangka singkat, namun perjalanan ini seakan-akan tidak terasa apabila masing-masing seronok dan teruja dengan keadaan jalan raya berliku dikelilingi kehijauan hutan yang menyegarkan sambil diiringi hujan renyai.

“Kami juga sempat berhenti rehat di Bukit Awan di Taman Negara Pahang yang popular dengan keindahan panorama indah semula jadi termasuk pemandangan aliran tenang Sungai Pahang dari bukit itu.

“Malah saya difahamkan Bukit Awan juga antara lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbit dan terbenam,” katanya.

Tiba di Kampung Bukit Mat Daling jam 6 petang, semua peserta mendaftar masuk ke Chalet Pak Engku dan dihidangkan hidangan masakan kampung yang lazat.

Keesokan harinya, peserta program yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia melakukan aktiviti menanam pokok buah-buahan bersama penduduk kampung di perkarangan Masjid Kampung Bukit Mat Daling.

Usai acara berkenaan dan penganjuran sukaneka, peserta sempat beramah mesra dengan penduduk dan mengambil gambar sebagai tanda kenangan.

Kemuncak program pastinya ‘Scooter Cross’ di laluan mencabar menjadi acara yang dinantikan peserta untuk mempamerkan keupayaan masing-masing.

Menyaksikan aksi skuter dengan kapasiti antara 150cc hingga 200cc perlu meredah laluan ‘off road’ sejauh lima kilometer termasuk bukit curam, merentasi anak sungai dan melalui jalan tanah merah pastinya mengujakan.

Bagi lelaki berusia 31 tahun ini, ‘Scooter Cross’ adalah aktiviti yang unik dan memberi pengalaman baharu buat dirinya.

Selain mencipta pengalaman istimewa, Zulfadhli menyifatkan pertemuan bersama peserta program dan penduduk kampung sebagai memori indah apabila berpeluang meluaskan jaringan sosial mereka.

Katanya, program Kem Skuter Lasak Mat Daling 2019 sempena Hari Malaysia itu turut mengajar dirinya lebih menghargai keindahan tersembunyi di Malaysia yang jarang sekali diterokai pelancong tempatan.

Lebih istimewa, tarikan pada Kampung Bukit Mat Daling terletak pada identiti perkampungan tradisional Pahang yang masih dikekalkan.

Beliau berharap penganjur mencipta kelainan pada tahun depan malah menjadikan ia satu acara tahunan buat peminat skuter di Malaysia.

Pada masa sama, ia dapat mempromosikan Pahang sebagai destinasi pelancongan menarik di Malaysia.

Program itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Klinik Sulaiman Kuala Lipis serta orang perseorangan untuk memberi sumbangan demi menjayakannya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 11:17am
d