santai

Penginapan konsep inap desa

Oleh Hartini Mohd Nawi

RUANG penginapan selesa dan sempurna pastinya menambahkan mood percutian sambil mencipta momen indah yang sukar dilupakan sampai bila-bila.

Tidak hanya popular di Malaysia, malah kewujudan inap desa yang ditata hias eksklusif turut menarik perhatian pelancong di kota London.

Di tengah-tengah kesibukan kota metropolitan itu ada beberapa apartmen yang berkonsepkan inap desa di Bayswater, Paddington, Marble Arch dan Edgware Road.

Bayswater antara kawasan pilihan pelancong di kota Westminster, Royal Borough of Kensington dan Chelsea di barat London.

Ia adalah sebuah daerah yang terletak empat kilometer di barat laut barat Charing Cross, bersempadan dengan utara Taman Kensington dan mempunyai kepadatan 17,500 penduduk setiap kilometer persegi.

Menurut pengusaha dan pemilik Harmony Homestay D’ London, Hashim Abdullah, 53, setiap unit mempunyai satu hingga lima bilik yang boleh memuatkan sehingga 10 orang dalam satu-satu masa dengan kemudahan bilik air serta kelengkapan dapur.

“Apatah lagi setiap ruang diberi sentuhan menarik supaya sesiapa saja yang menginap di situ lebih selesa.

“Susun letak dan idea dekorasi ruang yang menarik perhatian bagaikan terapi buat tetamu,” katanya yang tidak menafikan, dekorasi dicetuskan itu mampu memberi ilham kepada tetamu untuk menzahirkan pada kediaman atau restoran sendiri.

“Paling penting, penataan yang diketengahkan tidak terlalu sarat dengan hiasan dan membawa gambaran aspek kebersihan menjadi keutamaan,” katanya yang memaklumkan sewa bilik juga ditawarkan kepada tetamu yang datang dalam kumpulan kecil.

Ditambah dengan lokasinya yang berdekatan pasar raya, ia memudahkan tetamu untuk membeli barang basah dan kering untuk dimasak.

Malah pelbagai kemudahan lain seperti pengangkutan awam turut memudahkan pengunjungnya seperti jarak ke stesen kereta api bawah tanah Queensway dan Bayswater yang mengambil masa hanya tujuh minit.

“Selain itu, ia juga berdekatan dengan tempat menarik seperti Malaysia Hall dan kafe yang menyediakan sajian selera Malaysia termasuk Restoran Puteri Puteri, Restoran Melur dan Restoran Warisan.

“Berada di inap desa ini, bukan hanya terpesona dengan dekorasinya, malah ia bagaikan kediaman sendiri kerana turut dilengkapi dapur untuk memasak, periuk nasi, peti ais, mesin basuh dan pengering serta pinggan mangkuk,” katanya.

Mengulas lanjut, tetamu Harmony Homestay D’ London turut berpeluang berkunjung ke lokasi berhampiran Marble Arch yang didirikan sebagai pintu masuk ke Istana Buckingham ketika baru dibina.

Katanya, gerbangnya berada di tengah laluan sibuk dan tugu peringatan itu diperbuat daripada batu marmar putih, betul-betul di simpang Jalan Oxford, Park lane, Edgware Road dan berhadapan Taman Hyde yang sangat terkenal.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 8:30am
d