santai

Tarikan terkini di Kuala Pilah

Oleh Amran Yahya

BATU kapur hidup di Dangi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi tarikan terkini terutama bagi pendaki untuk berkunjung ke daerah itu.

Bagaimanapun, lokasinya yang terletak dalam ladang kelapa sawit milik sebuah syarikat iaitu kira-kira 12 kilometer dari pekan Dangi menyebabkan ia kurang diketahui umum.

Presiden Kelab Duhom Hikers (KDH), Mili Juahir berkata, bukit batu kapur itu adalah penemuan baharu selepas dia berpeluang mendaki dan meninjau kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia pernah mendaki bukit batu kapur itu kira-kira 15 tahun lalu, tetapi saiznya lebih kecil dan apabila mendakinya semula dia terpegun melihat saiznya semakin besar sekali gus membuktikan batu kapur itu hidup.

“Walaupun tidak sehebat Bukit Batu Putih di Port Dickson, bukit batu kapur di Ladang Dangi yang berketinggian 258.6 meter ini memiliki keunikan tersendiri kerana jenis batu kapur hidup.

“Namun lokasinya dalam ladang milik sebuah syarikat, jadi kawasan ini tidak boleh dimasuki tanpa kebenaran.

“Seminggu sebelum datang mendaki, kami menghantar surat permohonan kepada syarikat terbabit dan dibenarkan masuk,” katanya ketika ditemui.

Mili berkata, dia bersama 15 ahli KDH memulakan pendakian pada jam 7.30 pagi.

“Kami perlu meredah kawasan ladang sawit sejauh lima kilometer dan mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke kawasan batu kapur. Kami amat gembira apabila berpeluang meneroka bukit batu kapur itu,” katanya.

Seorang lagi pendaki, Rosnani Sindut, 41, berkata bukit batu kapur itu amat sesuai kepada individu yang mahu berjinak-jinak dengan aktiviti lasak.

“Pendaki berpeluang melihat fenomena awan karpet dengan jelas selain dapat melihat matahari terbit sekiranya memulakan pendakian sebelum jam 7 pagi.

“Dari puncak berkenaan, kita juga dapat melihat beberapa kawasan sekitar seperti Bukit Rokan, Ulu Rokan, Gemencheh, Kampung Baru Dangi dan Kampung Orang Asli Langkap,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 10:20am
d