santai

Lokasi penghijrahan burung [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

BIASANYA pembangunan mana-mana kawasan baharu menyebabkan hidupan liar dan unggas berhijrah ke tempat lain. Namun berbeza keadaannya di Putrajaya apabila banyak jenis burung yang datang berhijrah ke sana antaranya di kawasan Taman Wetland, Taman Botani, Taman Rimba Alam Taman Cabaran Putrajaya dan Taman Saujana Hijau.

Mengikut rekod, di Taman Wetland sahaja terdapat lebih 200 spesies burung. Apa yang menakjubkan, banyak spesies burung terbabit bukan berasal dari tempat ini sebaliknya berhijrah dan enggan pulang ke tempat asal mereka.

“Tahun depan Putrajaya menyambut jubli perak dan di sini pembangunan sememangnya dirancang secara mampan, ini terbukti apabila banyak burung serta haiwan lain datang selepas Putrajaya dibangunkan.

“Selalunya kalau kita bina bandar, burung dan haiwan lain lari, tetapi berbeza dengan tempat ini, banyak yang datang ke sini dan ada spesies sukar ditemui turut dikesan.

“Perbadanan Putrajaya sentiasa menekankan aspek kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar. Contohnya banyak pokok ditanam di Taman Wetland dan memang sengaja dipilih jenis mempunyai buah yang dapat menarik burung.

“Malah Putrajaya diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah ‘hotspot’ burung yang tentunya berpotensi meningkatkan lagi kehadiran lebih ramai pencinta burung dari dalam dan luar negara untuk datang ke sini,” kata Pengarah Bahagian Korporasi Korporat Perbadanan Putrajaya, Tengku Aina Tengku Ismail.

Mengambil inisiatif atas keunikan ini, Perbadanan Putrajaya baru-baru ini menganjurkan Putrajaya Bird Race 2019 (PBR2019) di Taman Wetland. Walaupun julung kali dianjurkan, acara ini ‘meletup’ apabila berjaya menarik 300 peserta mengambil bahagian.

“Bird Race adalah aktiviti pemerhatian dan merekod spesies burung di kawasan tertentu dalam masa ditetapkan. Acara pertama kali diadakan ini adalah usaha Perbadanan Putrajaya dengan usaha sama Nature Educational Society (NEST) Malaysia untuk mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi ekopelancongan dan ‘urban birding’ Malaysia sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program ini berkonsepkan ‘mencari harta karun’ apabila peserta perlu mencari dan mencatat jenis burung yang dijumpai di dalam buku log disediakan penganjur. Ia juga bertujuan memperkenalkan kepelbagaian spesies burung di Putrajaya, di samping mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

“Kami pilih Taman Wetland kerana ia lokasi taman rekreasi yang mempunyai banyak flora dan fauna termasuk ratusan spesis burung.

“Ada kira-kira 200 spesies burung direkodkan di Wetland antaranya yellow bittern, painted stork, grey heron dan black shouldered kite. Selain itu, terdapat spesies burung hijrah,” kata Tengku Aina.

Katanya, terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu terbuka, sekolah dan kategori agensi kerajaan serta swasta. Katanya, setiap kumpulan diwakili tiga peserta iaitu pemerhati, pengguna teropong dan pencatat.

“Pertandingan ini membabitkan lapan titik semak (check point) di tiga kawasan iaitu Taman Wetland, Taman Botani dan Taman Rimba Alam. Kumpulan yang dapat mengenal pasti spesies burung terbanyak akan dinobatkan sebagai pemenang.

“Untuk pelajar sekolah, acara bermula jam 8 pagi hingga 3 petang manakala kategori agensi kerajaan/swasta dan terbuka pula, pelepasan bermula jam 3 petang (Sabtu) dan berakhir waktu sama keesokan harinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NEST Malaysia, Sulaiman Salikan menjelaskan, pertandingan terbabit juga boleh disertai mereka tidak berpengalaman dan diatur secara santai, tetapi pada masa sama memberi banyak informasi.

“Kami sediakan kira-kira 20 kakitangan urusetia yang terlatih dan terdiri daripada penuntut universiti untuk memberi sokongan teknikal,” katanya.

Bagi peserta, Nurshaffiqa Masrin, 21, dari Universiti Putra Malaysia (UPM), PBR2019 bukan saja memberi ilmu berguna kepada kalangan peminat dan pemerhati burung, tetapi banyak membantunya dalam pengajiannya.

“PBR2019 satu acara amat menyeronokkan, apatah lagi dapat berekreasi sambil bertanding. Ia juga membuka mata ramai orang terutama warganet untuk lebih peka mengenai hidupan liar terutama beburung yang ada di Putrajaya,” kata penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi ini.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 10:24am
d