santai

Kembara langkaui imaginasi

Oleh Hartini Mohd Nawi

RESORTS World Genting kini tampil dengan tawaran baharu untuk memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman pengembaraan terhebat dengan pengenalan permainan SkyVR.

Ia adalah sebahagian taman tema yang dikhaskan untuk permainan realiti maya yang paling menarik dan menyeronokkan di dunia.

“Kami mahu menjadi destinasi pilihan untuk pengalaman realiti maya di Malaysia dan di Asia. Permainan realiti maya SkyVR adalah penawaran terbaharu selepas VOID yang diperkenalkan sebelum ini.

“Apa yang ingin kami tawarkan di SkyVR adalah pengalaman VR terkini di Asia. Ia adalah tarikan wajib dicuba untuk semua pengunjung yang datang ke sini,” kata Naib Presiden Eksekutif Leisure dan Hospitaliti Resorts World Genting, Datuk Edward Holloway.

Katanya, dengan SkyVR, kami secara dramatik melebarkan sayap dalam penawaran VR dan ia adalah satu kemungkinan yang menakjubkan di mana pengunjung kami boleh melihat, mencuba dan meneroka ke dalam satu perjalanan yang melangkaui imaginasi.

“Di SkyVR setiap permainan adalah satu perjalanan dan setiap perjalanan di sini adalah menakjubkan.

“Permainan SkyVR menawarkan lima pengalaman menakjubkan dalam VirtuGlobe, XD Theater, Vortex, RoboCoaster dan SkyGlider VR,” katanya.

Ia meliputi pengembaraan antara galaksi sehinggalah permainan yang mesra seisi keluarga.

XD Theatre adalah permainan berasaskan simulator pelbagai sensor yang sesuai untuk seisi keluarga.

Ia mampu menampung 32 pengunjung untuk merasai pengalaman interaktif yang membawa mereka ke satu dunia baharu.

Umpamanya alam lanun penuh dengan raksasa ganas di mana semua orang perlu bekerjasama menangkis serangan dan menewaskan penjahat.

Had ketinggian minimum permainan ini adalah 90 sentimeter. Permainan ini dibangunkan TrioTech dari Kanada dan adalah tarikan terbesar seumpamanya di Malaysia.

Sementara itu, VirtuGlobe pula adalah hasil ciptaan VirtuGlobe Inc apabila pengunjung boleh melangkah masuk ke dalam persekitaran VR yang bebas pergerakan.

Pengunjung bebas menentukan pengalaman yang diingini mengikut cita rasa masing-masing. Dicipta Ray Latypov di Amerika Syarikat, VirtuGlobe yang asalnya dikenali Virtusphere adalah teknologi yang digunakan pihak ketenteraan di seluruh dunia bagi melatih kakitangan mereka dalam pelbagai persekitaran.

Vortex pula adalah permainan berasaskan pergerakan platform apabila pengunjung akan dipasang tali ikat pada konsol tengah dan dibekalkan senapang laser.

Dibangunkan syarikat Brogent dari Taiwan, Vortex mampu menampung 12 penumpang untuk menaiki roller-coaster yang mencabar dengan persembahan grafik ultra-realistik sambil merasai getaran pada platfom dan aksi di skrin.

Tampil antara yang pertama di Asia, Vortex dibuka untuk semua pengunjung yang memiliki ketinggian 100 hingga 195 sentimeter.

RoboCoaster pula yang dicipta syarikat Sangwha di Korea Selatan mampu memuatkan sehingga empat pengunjung, mereka akan mengembara menaiki VR roller-coaster ke alam robotik yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Ia penuh dengan struktur menakjubkan dan makhluk aneh yang boleh dilihat secara 360 darjah. Pengunjung perlu memiliki ketinggian 130 hingga 190 sentimeter untuk merasai pengalaman menaiki RoboCoaster manakala untuk VirtuGlobe, ia terhad untuk ketinggian 130 hingga 200 sentimeter dan mempunyai berat antara 35-130 kilogram.

Akhir sekali, buat mereka yang ingin terbang melayang seperti seekor burung helang, maka SkyGlider VR adalah jawapannya.

Menggunakan kerusi yang boleh diikat, rasai kehebatan meluncur menggunakan para-peluncur sambil melihat dunia dari perspektif berbeza pada ketinggian beberapa ratus meter di udara.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 5:15am
d