santai

'Lanyak' bendang

Oleh Hafiz Ithnin

TIDAK terbayang mengenai destinasi yang terletak hampir dua jam dari Kuala Lumpur ini sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri bagi mereka yang tidak pernah merasai suasana kampung.

Kampung Sungai Buloh, Jelebu. Jangan tersilap mengenai lokasinya yang terletak di Negeri Sembilan bukan di Selangor itu menghidangkan suasana yang cukup menarik bagi melakukan pelbagai aktiviti termasuk hari keluarga.

Mempunyai latar belakang masih segar menghijau dan lebih penting mempunyai sawah padi yang boleh digunakan untuk aktiviti permainan sinonim dengan kawasan itu.

Berkesempatan mengunjungi lokasi itu baru-baru ini, Ketua Kampung, Kampung Sungai Buloh, Mostakim Muhammad berkata, kampungnya melaksanakan aktiviti ‘kampung stay’ di bawah kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Beliau berkata, di kampung itu terdapat lima kediaman yang menyediakan perkhidmatan ‘kampung stay’ untuk orang ramai merasai aktiviti kampung seperti mengunjungi sawah padi, mendaki bukit dan mengadakan pelbagai permainan tradisional tempatan.

“Boleh dikatakan setiap minggu terdapat pengunjung datang ke kampung kami untuk mengadakan pelbagai aktiviti ‘kampung stay’ sama ada secara berkeluarga atau golongan korporat.

“Jika mereka datang pada waktu yang sesuai ketika bendang masih tidak dituai padi biasanya terdapat aktiviti seperti mencari ikan, bermain bola dan pelbagai permainan yang boleh dilakukan di dalam bendang,” katanya.

Mostakin juga antara lima penguasa ‘kampung stay’ di Kampung Sungai Buloh menyediakan kemudahan itu kepada orang ramai. Uniknya, kediaman milik beliau berkonsepkan rumah kampung yang mula dibuka kepada orang ramai sejak 2015.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai datang ke kawasan itu, mereka boleh menganjurkan pelbagai program termasuk hari keluarga ala kampung membabitkan aktiviti memasak makanan tradisional tempatan secara bergotong-royong.

Sememangnya berada di dalam rumah milik keluarga beliau itu mengimbau kenangan berada di rumah datuk atau nenek ketika perayaan kerana pengunjung perlu beratur untuk menggunakan tandas pada sebelah pagi, tidur secara ‘bersepah’ di ruang tamu dan laman yang luas membolehkan pelbagai aktiviti permainan tradisional dilakukan.

Penulis yang mengunjungi lokasi itu bersama syarikat makanan, Brahim’s yang mengadakan Ekspedisi Hati Kampung bagi mengumpulkan komuniti pendakinya dan dalam masa sama mengeratkan hubungan dengan penduduk tempatan ternyata ia adalah satu pengalaman menarik.

Paling tidak dapat dilupakan ialah ketika penganjuran aktiviti permainan di bendang antaranya bermain bola baling, bola sepak, mencari ikan di dalam lumpur dan acara sukaneka.

Peserta, Jamri Jaafar berkata, dia yang datang bersama keluarga termasuk anak-anak masih kecil merasakan lokasi itu amat menarik untuk dikunjungi keluarga mempunyai anak-anak yang tidak pernah merasai pengalaman kampung.

“Memang seronok mengunjungi lokasi ini dan amat bersesuaian syarikat seperti Brahim’s mengadakan acara komuniti bersama masyarakat setempat di sini kerana kita boleh memperkenalkan kepada generasi masa kini kehidupan kampung yang begitu tenang dan menarik.

“Selain itu, jika di ibu kota pasti kita akan rasa sedikit risau untuk membiarkan anak-anak bermain di luar rumah, tetapi di sini kita rasa selamat dan anak-anak juga bebas untuk berseronok,” katanya.

Ketika majlis perasmian acara itu, syarikat berkenaan juga menerapkan elemen majlis perkahwinan ala kampung termasuk membawa ‘pengantin’ menaiki tandu dan pertunjukan silat daripada penduduk kampung.

Lebih menghidupkan suasana apabila pesertanya mengikuti tema pakaian yang ditetapkan iaitu orang kampung dan kembali ke era 70-an. Tidak sekadar itu, iringan muzik daripada kugiran tempatan juga memeriahkan suasana.

Ternyata berada hanya tiga hari dua malam di Kampung Sungai Buloh, Jelebu ibarat mengimbau nostalgia lama penulis ketika di kampung suatu masa dahulu yang perasaannya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 8:00am
d