santai

Diterangi 4,100 lampu LED

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PINTASAN Saloma atau Saloma Link kini menjadi tarikan terbaharu di ibu kota.

Sejak dibuka awal Februari lalu, pintasan itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai baik pengunjung tempatan mahupun pelancong asing.

Ramai yang tertarik kerana pintasan itu mempunyai pemandangan menarik berlatarkan Menara Berkembar Petronas.

Tidak hairan jika ramai yang mengiktiraf Pintasan Saloma mempunyai keunikan tersendiri.

Ia menelan belanja RM31 juta dan keseluruhan jaraknya kira-kira 370 meter manakala sebahagian 69 meter lagi dibina merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH).

Pintasan unik itu menghubungkan kawasan di Lorong Raja Muda Musa berdekatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru dan Jalan Saloma di Jalan Ampang.

Ia seolah-olah menghubungkan kawasan lama dan baharu di Kuala Lumpur.

Apa yang menariknya, pintasan itu turut dilengkapi sistem pencahayaan canggih yang menonjolkan keunikan rekaan sirih junjung khususnya pada sebelah malam.

Difahamkan, sebanyak 4,100 lampu LED dipasang di pintasan berkenaan. Malah, dipercayai sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia.

Pengunjung, Mohd Amirul Aiman Mohd Azizi, 32, berkata, dia tertarik dengan keindahan rekaan dan seni bina jambatan itu yang berinspirasikan sireh junjung.

Kata Mohd Amirul, sireh junjung sememangnya sinonim dan bagaikan simbolik budaya masyarakat Melayu.

Malah, rekaan unik sebegitu bukan sahaja menarik perhatian pengunjung tempatan, malah pelancong luar negara.

“Selain reka bentuknya yang menarik, jambatan ini juga diterangi sistem pencahayaan unik yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

“Pencahayaan pelbagai warna termasuk imej bendera Malaysia dapat dilihat pada sebelah malam dan ia jelas memukau pandangan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, dengan adanya pintasan berkenaan, orang ramai hanya memerlukan tujuh minit untuk melintasi Jalan Saloma ke Jalan Raja Muda Musa 3.

Ia berbeza berbanding sebelumnya kerana pejalan kaki biasanya mengambil masa lebih 30 minit dari Menara Berkembar Kuala Lumpur untuk ke Kampung Baru.

Ini kerana beberapa laluan sibuk perlu direntasi selain terpaksa menunggu lampu isyarat yang memakan masa.

Pendek kata, kewujudan Pintasan Saloma bukan hanya menceriakan warga Kampung Baru malah, menarik lebih ramai pelancong untuk merasai pengalaman ketika menyusuri laluan itu untuk ke Menara Berkembar Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa 10 minit.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 7:00am
d