santai

Mercu terbaik luncur udara

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SUKAN luncur udara atau paragliding kini semakin popular dan digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Biarpun dikategorikan sebagai sukan ekstrem namun ia tetap menjadi pilihan kerana memberi peluang terbaik untuk seseorang itu menikmati pemandangan indah alam semula jadi dari udara.

Bagi yang ingin mencuba sukan ekstrem ini, anda tidak perlu bimbang kerana akan terbang bersama-sama pakar dalam sukan luncur udara.

Ini kerana, hanya mereka yang menjalani latihan dan mempunyai lesen sahaja boleh melakukan paragliding individu.

Manakala untuk tujuan komersial, anda perlu melakukan paragliding tandem bersama-sama peluncur profesional.

Sukan ini sememangnya selamat untuk disertai selagi beberapa elemen dititikberatkan dalam mengendali aktiviti ini.

Antara elemen utama perlu diambil kira adalah cuaca, peralatan dan 'pilot' mahupun 'tandem master' itu sendiri pada keadaan terbaik ketika terbang.

Di Malaysia, terdapat beberapa lokasi popular yang menjadi tumpuan peminat sukan paragliding di negara ini.

Berikut adalah antara lokasi yang boleh dijadikan pilihan sekiranya mahu mencuba paragliding:

1) Bukit Jugra, Selangor

Antara lokasi sukan luncur udara paling popular di negara ini.

Dari udara, peluncur boleh menyaksikan keindahan pekan Jugra, Pulau Carey dan juga Sungai Langat.

Jika cuaca mengizinkan dan angin kuat, anda boleh meluncur sehingga 600 kaki dari aras laut serta melayang-layang di udara bak burung yang bebas hampir 30 minit.

2) Pedas Paragliding Park, Negeri Sembilan

Antara lokasi yang semakin popular dalam kalangan penggemar sukan luncur udara di Malaysia.

Ketinggian tempat pelepasannya adalah sekitar 240 meter (m) dan jika cuaca mengizinkan, peluncur boleh meneroka ruang udara hampir 20 minit atau lebih.

3) Gunung Ledang, Tangkak, Johor

Dengan ketinggian 1,276m dari aras laut, ia adalah gunung tertinggi di selatan Semenanjung yang sebelum ini terkenal dengan kisah Puteri Gunung Ledang.

Meluncur udara di sini akan menyajikan panorama indah alam semula jadi sempadan negeri Johor dan Melaka.

4) Kota Putra Paragliding Park, Bukit Bubus, Terengganu

Juga dikenali sebagai Mini Bali Malaysia dan antara lokasi yang wajib dicuba penggemar paragliding di negara ini.

Ia menyajikan panorama indah dan hembusan bayu lembut.

5) Bukit Maras, Terengganu

Pada ketinggian 329 meter dari aras paras laut, Bukit Maras mempunyai permandangan cantik dengan keindahan flora dan faunanya.

Ia berpotensi besar untuk menjadi popular sebagai satu destinasi sukan paragliding kerana keunikannya yang tiada di tempat lain.

6) Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Selangor

Lokasi popular selain Bukit Jugra di Lembah Klang. Beberapa pertandingan luncur udara sudah diadakan di kawasan ini, menjadikan ia antara lokasi yang wajib dikunjungi.

Perjalanan ke puncak memerlukan pendakian menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke puncak.

7) Gunung Jerai, Kedah

Gunung yang tertinggi di Kedah, kira-kira 1,200m dari aras laut.

Antara lokasi yang menyajikan panorama menarik berlatarbelakangkan bendang padi saujana sayup mata memandang, hutan gunung serta lautan yang membiru.

Ketinggian lokasi pelepasan meluncur adalah sekitar 682m dan peluncur biasanya akan menghabiskan masa kira-kira 20 minit di udara sebelum mendarat.

8) Gunung Raya, Langkawi, Kedah

Kawasan Gunung Raya, Langkawi yang terkenal dengan batuan granit kini menjadi tumpuan sukan luncur udara di utara Semenanjung.

Begitupun, ia dikatakan kurang sesuai untuk anda yang baharu mencuba kerana kawasan pelepasannya agak sempit.

Selain itu, ada undang-undang ruang udara yang harus dipatuhi dan menara lapangan terbang juga perlu dimaklumkan mengenai perancangan penerbangan.

9) Ranau, Sabah

Pekan Ranau yang terletak kira-kira 108 kilometer dari Kota Kinabalu sudah lama dikenali sebagai lokasi sukan luncur udara di negara ini.

Ia menjadi tumpuan kerana menyajikan pemandangan indah Gunung Kinabalu.

Lokasi tempat pelepasannya adalah pada ketinggian 594m dan peluncur pasti terpukau dengan panorama kawasan pergunungan.

10) Bukit Kokol, Menggatal, Sabah

Ia hanya terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari Kota Kinabalu.

Ketinggian tempat pelepasannya adalah 822m dan peluncur pasti terpukau dengan pemandangan indah kehijauan kawasan hutan yang disajikan.

Disiarkan pada: April 30, 2020 @ 6:30am
d