santai

Semai semangat patriotisme

Oleh Nurul Husna Mahmud

MERAIKAN Hari Kebangsaan Ke- 63 pada 31 Ogos lalu dengan norma baru kemudian, disusuli dengan Hari Malaysia pada 16 September ini, semestinya memberi pengertian harmoni kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Sikap hormat, toleransi dan kesatuan menjadikan suasana damai boleh dinikmati sehingga hari ini.

Dalam meraikan hari penuh makna itu, ayuh! raikan dengan mengunjungi destinasi bersejarah bagi memperkukuhkan pemahaman dan kecintaan kepada negara.

Di sini disenaraikan tiga lokasi boleh dikunjungi orang ramai dalam menghayati erti kebebasan dan keharmonian dinikmati pada hari ini.

Tugu Negara, Kuala Lumpur

Monumen itu asalnya dibina pada 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada 11 ribu pejuang yang gugur dalam tiga siri peperangan besar iaitu Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Darurat Malaya.

Lokasinya terletak tidak jauh daripada Taman Botani berhampiran dengan bangunan Parlimen. Memiliki ketinggian 49 kaki, ia pernah direkodkan arca berkumpulan tertinggi.

Dibina pemahat Austria, Felix de Weldon (yang juga bertanggungjawab mereka Memorial Perang Iwo Jima di Virginia, Washington) turut melalui pengubahsuaian apabila rosak teruk dalam kejadian letupan pada 1975 disebabkan satu letupan didalangi Parti Komunis Malaya.

Kerja baik pulih dilakukan pensyarah fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi MARA (ITM) kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM), Christopher B Carney dan siap pada 11 November 1977. Pada tarikh itu juga setiap tahun satu perbarisan hormat akan dilakukan untuk memperingati perajurit negara yang terkorban.

Pengunjung boleh lakukan riadah dengan mendaki bukit untuk menuju ke kawasan berkenaan ataupun bergambar dengan persekitaran atau tugu terbabit.

Jika bernasib baik, anda dapat menyaksikan aktiviti membabitkan komuniti termasuk sebelum ini, Ahli Tugu Drum Circle menjalankan aktiviti pengajaran dan permainan gendang di situ.

Tidak jauh dari lokasi itu pengunjung boleh mengunjungi Taman Botani, Taman Burung dan juga Muzium Polis Kuala Lumpur.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (MPK), Melaka.

Bangunan yang terletak bersebelahan Porta De Santiago pada awalnya dibina pada 1911 dan menjadi bangunan Kelab Melaka untuk kegiatan sosial pada masa itu.

Ia diambil alih Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka di awal kerja pengubahsuaian bangunan itu pada November 1984. Bagi dijadikan MPK dan pada 31 Ogos 1985 ia dirasmikan sendiri Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj.

Ruang pameran MPK mempunyai 15 segmen pameran, bermula dengan zaman Melaka pada masa dahulu sehingga pembentukan Malaysia pada 1963. Bahan pameran terdiri daripada poster, artifak, gambar, lukisan, dokumen dan sebagainya.

Menariknya dengan adanya MPK, ia antara simbolik kepada peristiwa penting yang mana Pengisytiharan Kemerdekaan Malaya dilakukan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Pahlawan Melaka sebelum ke Kuala Lumpur.

Selain pameran, terdapat juga program dilakukan pihak Arkib Negara selain Kerajaan Melaka sendiri sebagai tarikan pelancongan dan peminat sejarah.

Galeri Darurat Bukit Kepong (GDBK) Muar Johor

Bagi sesiapa yang pernah menyaksikan lakonan Allahyarham Jins Shamsudin dalam Filem Bukit Kepong, Galeri Darurat Bukit Kepong antara destinasi wajib yang mesti dikunjungi.

Khusus dibina bagi mengingati tragedi serangan 200 pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950.

Peristiwa yang menjadi ingatan ialah 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga 17 daripadanya terkorban.

Pengunjung dapat melihat artifak seperti senjata api, pakaian, keadaan berek anggota dan beberapa kenderaan yang pernah digunakan pasukan keselamatan ketika zaman darurat.

Galeri berkenaan setinggi tiga tingkat turut menyajikan tontonan interaktif seperti tayangan filem sejarah Bukit Kepong itu sendiri.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 6:41am
d