santai

Lawatan atas talian

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BIARPUN Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) masih ditutup untuk sementara waktu akibat penularan pandemik Covid-19 anda masih boleh 'melawat' muzium ini dengan menggunakan hujung jari.

Sempena pameran 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' dengan hanya berada di rumah anda masih boleh membuat lawatan secara maya secara percuma.

Penulis yang berkesempatan melawat pameran ini secara maya menerusi komputer secara peribadi berasa seolah-olah sedang berada di dalam muzium sebenar.

Banyak informasi menarik yang dikongsikan termasuk sejarah penubuhan, biodata bekas gabenor bank negara dan sebagainya.

Selain itu terdapat banyak barang menarik dipamerkan termasuk mesin pencetak duit pisang, beg yang digunakan Gabenor Bank Negara Malaysia Tun Ismail Mohamad Ali dan sebagainya.

Menerusi inisiatif ini, anda dapat mengamati enam dekad perkembangan perbankan pusat dan ekonomi sosial melalui rakaman.

Pameran ini menggambarkan konteks sejarah diperlukan untuk memahami institusi yang ditugaskan sejak hari pertama untuk mengembangkan landskap kewangan dan ekonomi Malaysia.

Timbalan Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, pameran ini diadakan untuk meraikan 60 tahun perbankan pusat.

"Pihak kami menyediakan kisah di sebalik BNM serta cabaran yang dihadapi oleh mereka yang bekerja di sebalik logo Kijang sejak dari awal penubuhan negara, sehingga kini.

"Saya amat gembira kerana semua orang sama ada dari dekat atau jauh, kini boleh melayari pameran ini secara maya," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Menurutnya, Pameran maya 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' merangkumi lawatan audio, bagaimana bank ditubuhkan, siapa tokoh penting di sebalik penubuhannya, pencapaian, cabaran dan bagaimana bank bertindak.

"Selain itu, orang ramai juga berpeluang melihat artifak bank tidak ternilai yang sebahagiannya berusia lebih 80 tahun.

"Terdapat permainan dalam talian 'Central Banker Personality Test' boleh didapati di hujung jari anda.

"Anda juga boleh memuat turun pelbagai bahan pameran serta artifak terpilih untuk bacaan di luar talian," katanya.

Beliau berkata, di masa hadapan, lebih banyak pameran secara maya, aktiviti dan program akan disediakan.

Anda yang berminat dengan Pameran 'Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat' boleh melayari www.museum.bnm.gov.my/bnm60th/360vr.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 6:10am
d