santai

Riadah roda satu

Oleh Nurul Husna Mahmud

PEMILIK nama Nursaadah Ramli, 37, ini cukup bersahaja menunggang basikal roda satu atau 'unicycle elektrik' (e-unicycle) di trek go kart Aylezzo Speedzone Glenmarie ketika beraksi dalam Perlumbaan Persahabatan Komuniti Basikal dan Skuter Elektrik, baru-baru ini.

Lebih mengagumkan apabila Nursaadah satu-satunya penunggang wanita dalam kategori Unicycle apabila berentap dengan tujuh peserta lelaki dalam perlumbaan sama.

Nursaadah yang turut mesra dengan gelaran Ninja dalam kalangan komuniti Mikromobiliti itu mengakui, meskipun berjubah dan mengenakan purdah, dia masih boleh mengendalikan basikal elektrik itu apatah lagi berlumba dalam trek.

"Cabaran saya sebagai peminat aktiviti basikal elektrik seperti 'e-unicycle' apabila berlumba ialah perlu bersaing dengan penunggang lelaki kerana tidak ramai wanita yang menyertai aktiviti riadah seperti ini.

"Kalau adapun, mereka hanya menunggang suka-suka dan lebih kepada santai. Tetapi, saya yang sukakan cabaran dan sertai perlumbaan bagi meningkatkan pengendalian 'e-unicycle' ini.

"Aktiviti ini seperti sukan beroda yang lain yang mana perlu ada minat dan keyakinan untuk jadi pengendalinya. Saya sendiri ambil masa tiga hari untuk imbang dan kawal.

"Apabila sudah mahir kendali basikal elektrik ini memang saya jadi teruja kerana perasaan ketika menunggang itu sendiri seolah-olah sedang terbang," katanya.

Tambah Nursaadah, aktiviti berkenaan cukup selamat dengan pengendali mengenakan pelindung seperti topi keledar

keselamatan, pelapik siku dan lutut selain sarung tangan keselamatan.

"Kalau sesi latihan, biasanya saya akan peruntukan dua hingga tiga jam dengan bimbingan jurulatih di lokasi yang sesuai. Biasanya saya akan gunakan lorong basikal di Eco Park Shah Alam," katanya yang turut memaklumkan suaminya juga berkongsi hobi berkenaan.

Katanya lagi yang juga ibu kepada tujuh cahaya mata, aktiviti menunggang bersama komuniti di luar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur bagi sukan itu agak terhad.

"Aktiviti 'ride' di luar Selangor bersama komuniti terhad kerana saya perlu pantau anak-anak dan sediakan hidangan buat mereka serta suami. Jadi, selagi aktiviti menunggang berlangsung dalam Selangor dan Kuala Lumpur, saya masih boleh sertai," katanya.

Wakil penganjur perlumbaan yang juga Presiden Mikromobiliti Malaysia (PEV) Ruzairi Hassan menyifatkan perlumbaan itu lebih kepada menyatukan ahli komuniti dan pengenalan kepada penganjuran temasya lebih besar dijangka berlangsung pada September depan.

"Acara ini lebih kepada pengenalan format pertandingan membabitkan 'Personal Electrical Vehicle' atau Mikromobiliti Elektrik Perseorangan/Peribadi yang mana masih salah satu sukan baharu di Malaysia.

"Ada tiga kategori hari ini iaitu skuter elektrik, basikal elektrik dan 'e-unicycle' membabitkan 33 peserta di serata Lembah Klang. Perlumbaan hari ini cuba tekankan mengenai pengendalian atau tunggangan secara selamat membabitkan kenderaan terbabit.

"Kami yang bergerak dalam komuniti ketika ini dalam proses menjadi pertubuhan berdaftar di bawah nama Persatuan PEV sendiri mahu orang ramai termasuk dalam kalangan komuniti menunggang secara selamat,"katanya.

Tambah Ruzairi, basikal dan skuter elektrik ini mempunyai banyak kebaikan baik segi kemudahan pengangkutan yang mudah selain sifatnya mesra alam.

"Kalau di Filipina, kerajaannya melihat potensi alat pengangkutan berkenaan boleh menangani isu pencemaran dan kesesakan jalan raya teruk. Mereka sanggup labur buat lorong khas untuk pengguna basikal dan skuter elektrik.

"Bagi perlumbaan hari ini, kami dedahkan lagi satu tahap penunggangan yang mana menguja taktikal dan teknikal ketika dalam trek. Mereka berlumba secara sihat dan selamat,"katanya.

Sementara itu, pemenang kategori skuter elektrik, Helmi Zainol, 36, berkata, aktiviti sukan ini mempunyai pelbagai golongan peminat.

"Kalau saya tunggang dekat jalan kampung tidak kira sesiapa sahaja, kanak-kanak hingga orang tua akan menegur dan bertanya mengenai skuter elektrik.

"Sampaikan pada satu tahap, ada yang sanggup tahan saya ketika menunggang semata-mata hendak tahu mengenai skuter elektrik.

"Saya sendiri simpan minat bertahun-tahun dan hanya memiliki dua tahun lalu. Tahun lalu juga saya mula kenal komuniti dan banyak belajar mengenai kenderaan ini,"katanya.

Dia menyarankan peminat kenderaan itu perlu merujuk kepada mereka berpengalaman supaya mendapatkan maklumat yang betul terutama mengenai

spesifikasi yang sepadan dan aspek keselamatan.

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 7:00am
d