santai

Gamit pencinta alam

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TERLETAK hanya 20 kilometer dari Selatan Kuching, terdapat Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang menjadi pusat penghunian separa liar bagi Orang Utan.

Pusat pemulihan Orang Utan terbesar di Sarawak ini terletak di dalam Hutan Simpan Semenggoh.

Baru-baru ini, Hutan Simpan Semenggoh mengumumkan kelahiran seekor anak Orang Utan dan anak keempat bagi Analisa (Orang Utan) yang juga dilahirkan di pusat ini pada 1996.

Ini adalah kelahiran ketiga pada tahun ini, selepas Hutan Simpan Semenggoh turut menerima kelahiran dua anak Orang Utan pada Januari lalu.

Secara keseluruhan pada awal tahun 2022 menyaksikan tambahan tiga orang utan yang pertama kali berlaku dalam sejarah pusat perlindungan ini.

Kelahiran anak Orang Utan memang disifatkan sebagai berita menggembirakan demi perlindungan spesies itu.

Lembaga Pelancongan Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tidak banyak tempat di dunia yang mampu menandingi kepelbagaian biologi di Sarawak.

Katanya, lebih separuh muka bumi Sarawak dilitupi hutan hujan yang dipenuhi pelbagai flora dan fauna, kebanyakannya tumbuhan asli di sini.

"Hutan Simpan Semenggoh memainkan peranan penting dalam melindungi kepelbagaian hidupan liar dan tumbuhan di Sarawak dengan bertindak sebagai pusat latihan untuk Orang Utan.

"Selama lebih 25 tahun, semua warden di Pusat Hidupan Liar Semenggoh melatih anak-anak Orang Utan, yang yatim piatu atau diselamatkan daripada kurungan bagaimana cara hidup berdikari di persekitaran hutan belantara," katanya.

Pusat hidupan liar ini sekarang menempatkan sejumlah besar Orang Utan remaja dan dewasa muda separa liar yang sihat serta kini membiak dalam hutan simpan semula jadi.

Sehingga kini, Hutan Simpan Semenggoh masih menerima kunjungan Orang Utan separa liar yang berjaya dilepaskan ke hutan, bersama anak masing-masing.

Haiwan ini menghabiskan kebanyakan masa dengan merayau dalam hutan tetapi apabila sukar mencari makan, terutamanya ketika kekurangan buah-buahan dan tumbuhan yang boleh dimakan di dalam hutan, Orang-orang Utan kembali ke platform pemberian makan untuk mendapatkan makanan tambahan.

Diamanahkan untuk melindungi keselamatan dan memulihara kepelbagaian biologi menakjubkan hutan-hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk terus melindungi flora dan fauna Sarawak.

Antara program untuk memulihara pelbagai spesies hidupan liar termasuk melindungi habitat liar di lokasi seperti Taman Negara Batang Ai, Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau dan kawasan-kawasan perlindungan Sebuyau-Sedilu-Lesong. Tinjau selidik juga dijalankan untuk menganggarkan populasi haiwan-haiwan ini.

Tugas penting SFC yang lain meliputi ekopelancongan, pendidikan pemuliharaan dan aktiviti pembabitan masyarakat yang dilaksanakan dari masa ke masa sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan bagi orang utan dan habitat mereka.

Kawasan-kawasan hutan terjejas dalam habitat juga dikenali pasti untuk menjalankan aktiviti pemulihan seperti menanam semula spesies tumbuhan semula jadi.

Untuk menyokong semua aktivitinya yang kian bertambah, SFC juga menjalankan program mengutip dana, yang termasuk menganjurkan program tajaan hidupan liar untuk membiayai dan menyokong pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan ini.

Program tajaan Orang Utan secara maya ini dibuka kepada orang ramai dan juga menjadi saluran untuk SFC menghebahkan maklumat berkenaan aktiviti pemuliharaan orang utan yang dijalankan di Sarawak.

Dana digunakan untuk menyokong projek-projek pemuliharaan, aktiviti pendidikan, pembelian makanan dan ubat-ubatan untuk orang utan (apabila diperlukan).

Menyedari bahawa pendidikan awam penting dalam usaha pemuliharaan Orang Utan, Hutan Simpan Semenggoh mengalu-alukan kunjungan pelawat setiap hari.

Sesi memberi makan pada sebelah pagi (9.00 hingga 10 pagi) dan petang (3.00 hingga 4.00 petang) ialah waktu terbaik untuk pengunjung kerana mereka mungkin berpeluang melihat Orang Utan separa liar kembali ke platform pemberian makanan bagi menikmati makanan yang disediakan.

Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan, Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998 dan Peraturan-Peraturan 1999, SFC menganjurkan hanya dua sesi lawatan sehari dengan maksimum 175 pelawat setiap sesi.

Selain Orang Utan, Hutan Simpan Semenggoh juga adalah habitat bagi flora dan fauna yang luar biasa termasuk tupai gergasi, tupai kerdil, ungka serta ungka.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 6:45am
d