santai

Muar serba lengkap

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Jika berkunjung ke selatan tanah air, jangan lupa singgah di bandar Maharani, Muar, Johor Bandar Diraja yang kaya dengan sejarah itu bukan sahaja memiliki banyak tarikan pelancongan malah destinasi popular untuk menikmati pelbagai jenis hidangan.

Di bandar Muar, destinasi utama pelancong dari dalam dan luar Johor adalah Taman Tanjung Emas.

Taman rekreasi yang terletak di muara Sungai Muar itu memiliki panorama indah Sungai Muar dan pemandangan laut Selat Melaka.

Pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah dan taman itu juga dilengkapi dengan banyak kemudahan awam.

Selain itu, suasananya yang nyaman dan pada malam hari diterangi lampu berwarna warni menjadikan ia lokasi sesuai untuk aktiviti keluarga pada hujung minggu atau riadah petang.

Jika perut terasa lapar, jangan risau kerana terdapat medan selera yang menyajikan banyak hidangan enak terutama juadah popular, asam pedas.

Tidak jauh dari Taman Tanjung Emas, tersergam megah Masjid Sultan Ibrahim di tepian Sungai Muar.

Masjid tertua di bandar Maharani itu mula dibina pada tahun 1890-an dan wajar disinggahi.

Seni bina dan rekaannya menggabungkan elemen timur tengah dan barat, ia kelihatan unik tambahan lagi dicat dengan rona biru lembut.

Kunjungan ke bandar Muar juga kurang lengkap jika tidak mengunjungi kawasan seni jalanan di Maharani Mural Lane.

Apa yang menariknya, ia terbahagi kepada dua kawasan iaitu satunya bahagian khas untuk seni kartun yang menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak.

Bahagian kedua pula lebih kepada menceritakan kisah bandar Diraja itu meliputi sejarah, budaya dan elemen yang mencipta identiti daerah itu.

Maharani Mural Lane adalah tempat persinggahan yang perlu ada dalam jadua percutian jika anda peminat seni, budaya atau sekadar mahu bergambar.

Jika menuju ke arah Batu Pahat pula, jangan lupa singgah menikmati keindahan alam di kawasan nelayan Parit Jawa.

Suasana perkampungan nelayan yang tenang di persisiran Selat Melaka itu sememangnya terkenal dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar Johor.

Selain itu, pengunjung juga boleh bersantai di Kolam Air Panas Sungai Gersik.

Persekitarannya bersih dan dijaga dengan rapi, ia adalah destinasi tumpuan orang ramai pada hujung minggu atau musim cuti sekolah.

Sementara itu, Muar juga terkenal dengan pelbagai hidangan menarik yang boleh dinikmati untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.

Untuk sarapan pagi misalnya, jangan lupa mencuba keenakan soto, lontong dan sate yang boleh didapati di hampir semua warung atau restoran yang ada.

Untuk makan tengahari, cubalah keenakan asam pedas asli Muar yang berbeza dari hidangan di negeri lain.

Selain asam pedas, mi bandung juga perlu dicuba dan terdapat banyak restoran yang menyediakan hidangan istimewa bandar Maharani itu.

Untuk minum petang, singgahlah menikmati keenakan minuman di kedai kopi 434 atau Sai Kee, jenama tempatan yang mempunyai kualiti setanding jenama antarabangsa.

Melengkapkan lagi hidangan, jangan lupa bawa seisi keluarga menikmati hidangan makanan laut di Medan Ikan Bakar Sabak Awor.

Selain segar kerana hidupan laut diperolehi terus daripada nelayan berdekatan, harga makanan laut di Sabak Awor juga berpatutan.

Disiarkan pada: April 28, 2022 @ 6:30am
d