santai

Daki puncak 'keras'

Oleh Hafiz Ithnin

"SECARA peribadi, pengembaraan mendaki tiga gunung ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Mahu berpatah balik? Mungkin sesuatu yang sia-sia!," jelas pemilik nama Siti Aisyah Ibrahim kepada penulis yang menyertai aktiviti pendakian Ekspedisi Trans Titiwangsa Versi 1 atau lebih dikenali sebagai V1.

V1 adalah aktiviti pendakian ke tiga puncak gunung iaitu Gunung Korbu (2,183 meter (m)), Gayong 2,173m dan Yong Belar 2,181m.

Tiga puncak berkenaan juga antara tiga daripada tujuh puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai G7 dalam kalangan pendaki tempatan.

Siti Aisyah berkata, dia menyertai aktiviti pendakian itu bersama 13 rakan sekerja yang aktif di dalam aktiviti pendakian dan larian. Kumpulannya juga dikenali sebagai PPTD Hikers.

Jelasnya, sejak dari awal dia dan barisan peserta pendaki yang lain sudah dimaklumkan mengenai 'kerasnya' aktiviti pendakian ke tiga puncak itu kerana mempunyai cabaran dari segi bentuk muka bumi dan cuaca yang sukar dijangka.

"Sebenarnya aktiviti pendakian ini juga adalah bagi melengkapkan aktiviti pendakian ke G7 dalam kalangan sebilangan ahli kumpulan kami.

"Justeru, kami memilih V1 sebagai destinasi terakhir mereka untuk menaklukinya. Ternyata ia bukan sesuatu pendakian yang mudah dan memerlukan latihan dari segi mental dan fizikal yang cukup kuat," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, pada hari pertama mereka memulakan pendakian dari Empangan Ulu Kinta di Perak untuk menuju ke puncak Gunung Korbu.

"Pada hari pertama sahaja kami sudah melalui hari yang sukar kerana hujan lebat menjadi peneman sepanjang perjalanan.

"Lebih mencabar apabila laluan sungai kecil yang sepatutnya mudah untuk diranduk tetapi ia menjadi tinggi dan memerlukan kami untuk menangguhkan perjalanan sementara menunggu paras air turun," katanya.

Pada hari kedua, baharu kumpulan pendakian berkenaan berjaya menakluki puncak Korbu dan bermalam di puncak gunung berkenaan.

"Perasaan ketika berada di puncak Gunung Korbu sememangnya puas kerana seperti berbayar rasa kepenatan yang kami lalui.

"Selain itu, untuk bermalam di puncak itu, kami juga perlu membawa bekalan air terutama yang mencukupi dengan setiap seorang membawa tiga liter air di dalam beg galas masing-masing. Rasa berat dan penat sukar untuk digambarkan," katanya.

Katanya pada hari ketiga mereka mengambil masa tiga jam ke puncak Gunung Gayong. Ketika berada di puncak gunung itu, pemandangan terbatas kerana cuaca mendung.

"Secara ringkasnya, pada hari kelima baru kami ke puncak Gunung Yong Belar memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan juga terdapat peserta yang cedera ringan tetapi masih boleh meneruskan perjalanan," katanya.

Katanya, mendaki ke V1 sememangnya memerlukan persediaan dari segi latihan fizikal yang cukup baik kerana setiap hari bersandarkan pengalaman peribadi, sehari perlu berjalan selama 10 jam.

"Bagi saya, pendakian yang cukup mencabar ini sememangnya sesuatu yang sukar dilupakan tetapi rasa puasnya juga adalah perkara yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata," jelasnya yang mengakhiri pendakian di Lojing, Kelantan.

Selain daripada melakukan aktiviti pendakian itu, mereka juga melaksanakan aktiviti penanaman pokok sempena Kempen 100 juta pokok yang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Program itu adalah kerjasama pelbagai pihak seperti Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak Daerah Ulu Kinta dan malim gunung daripada Silver Outdoor Sports (SOS).

Disiarkan pada: May 18, 2023 @ 6:30am
d