selebriti

Tajul Oh Tajul

Oleh Norhayati Nordin

"SAYA perlukan ruang dan mohon hormati keputusan ini. Saya akan jelaskan segalanya tidak lama lagi," kata penyanyi, Tajul Ariff, 21, berhubung penyebaran fotonya bersama seorang wanita yang sarat hamil.

Semalam, menerusi sebuah portal hiburan disiarkan foto Tajul dengan wanita hamil berkenaan yang dipercayai dirakam bersama keluarga.

Ditanya adakah benar wanita hamil itu adalah isterinya, Tajul berkata dia akan memberi penjelasan sebenar pada satu majlis sidang media dalam waktu terdekat ini.

"Apa yang boleh saya kata, banyak hati perlu dijaga. Kini, saya perlukan ruang dan masa untuk menyelesaikan urusan lebih penting.

"Sebaik sahaja urusan paling utama ini diselesaikan, saya akan membuat sidang media segera bagi menjelaskan perkara sebenar .

"Buat masa ini, saya mohon maaf," katanya yang pernah popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu dan juga rakan duet penyanyi Wany Hasrita.

Selain aktif menyanyi, Tajul yang juga adik bongsu kepada Allahyarham Achik Spin turut menceburi lakonan dan pernah membintangi filem Enjin No 9 arahan Raja Azmi pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Tajul atau nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari pernah menghangatkan industri hiburan pada tahun lalu dengan kisah peribadinya yang didakwa sudah berkahwin.

Bagaimanapun, Tajul mengambil pendekatan membuat penafian tegas berhubung dakwaan dia sudah berkahwin dengan wanita dikenali Nurul Syamieza Eddie.

Kisah perkahwinan Tajul yang hangat sekitar Jun tahun lalu itu tercetus apabila status Nurul Syamieza di laman Instagram (IG) yang menggunakan akaun @icaaeddie meletakkan tanda #T Love #immarrieed.

Selain itu, tersebar juga video tular di akaun IG sebuah butik terkenal apabila Tajul memanggil Nurul Syamieza sebagai 'wife' selepas mereka membeli pakaian bersama-sama.

Justeru, apakah alasan akan diberikan Tajul pada sidang media nanti? Adakah memang Tajul sudah berkahwin atau ia akan dikaitkan dengan babak dalam drama terbaru lakonannya?

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 2:34pm
d