selebriti

Kesihatan tiada kompromi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENINGKATAN kes positif Covid-19 yang dilaporkan sejak beberapa minggu lalu membuatkan pelakon Chacha Maembong mengambil inisiatif membuat pemeriksaan kesihatan setiap minggu.

Chacha, 24, atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail berkata, disebabkan kerjanya yang menuntut dia berada di banyak tempat dan bertemu ramai orang menjadikan dirinya lebih peka terhadap tahap kesihatan serta keselamatan.

"Selepas boleh kembali bekerja, alhamdulillah rezeki masih ada, tapi prosedur operasi standard (SOP) tetap kena jaga. Saya seminggu sekali akan buat pemeriksaan kesihatan.

"Ini inisiatif saya sendiri, sebab kita tidak tahu sekeliling kita macam mana. Setiap hari ke sana ke sini dan berjumpa ramai orang. Lagipun, sekarang kes makin tinggi setiap hari dan ini untuk keselamatan saya juga.

"Kalau berasa pening atau nak demam, saya terus pergi buat pemeriksaan. Balik rumah daripada bekerja, saya akan sanitasi satu badan. Memang kena jaga diri. Tapi kerja tetap kena kerja," katanya.

Namun, kesibukannya berlakon tidak sedikit pun menghalang Chacha yang juga adik pelakon Emma Maembong memberi fokus pada perniagaan yang baru dibina iaitu Perfect Look by Chacha Maembong.

"Alhamdulillah, produk berjalan macam biasa. Saya ada pasukan yang bantu menguruskan. Dalam kesibukan berlakon, perniagaan masih diberi perhatian. Saya tetap pantau dan akan buat mesyuarat secara dalam talian dengan semua ejen, stokis dan pasukan setiap minggu.

"Selepas dilancarkan bulan lalu, sambutan sangat baik. Ini semua rezeki. Saya pun baru habis menjalankan siri jelajah produk ini. Jadi, saya mendapat banyak maklum balas," katanya.

Pada masa sama, perniagaan yang dibina menerusi syarikatnya, CM Secret itu turut dihimpit kontroversi apabila dikaitkan dengan aktiviti Macau Scam seperti yang tular baru-baru ini.

"Sebenarnya, produk saya ini 100 peratus tiada kena-mengena pun dengan aktiviti itu.

Saya kenal mereka pun daripada kawan. Hanya satu gambar, habis saya ditularkan dan difitnah yang bukan-bukan

"Bagi saya, saya tak boleh tutup mulut orang kalau nak bercakap mengenai saya, teruskan. Tapi satu hari nanti Allah akan buktikan siapa betul siapa salah. Macam dikatakan sebelum ini, komen yang keterlaluan sangat saya akan tetap saman. Sebab ia menjejaskan kerjaya dan nama keluarga saya yang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Chacha kini terbabit dalam penggambaran drama Bidadari Salju yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3, bulan depan.

Menerusi drama terbitan A Aida Productions itu, Chacha melakonkan watak Diana yang menjadi rakan baik kepada Kayra lakonan Sweet Qismina.

Selain itu, Chacha juga bakal terbabit dalam drama 30 episod, Mek Cha yang memerlukan dirinya menggunakan loghat Kelantan.

"Pertengahan penggambaran Bidadari Salju ini, saya akan terbabit juga dalam drama Mek Cha. Saya kena cakap loghat Kelantan dan penggambaran dibuat di sana. Sambil-sambil itu, saya akan selitkan juga berlakon telefilem.

"Saya orang Terengganu, jadi agak susah juga kalau nak berdialek Kelantan. Semua bahasa pun susah, tapi kena belajar. Macam saya jenis suka belajar perkara baharu. Dulu saya pernah berlakon yang memerlukan bercakap bahasa Iban, jadi saya belajar. Ada yang beri tunjuk ajar," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 6:30am
d