selebriti

Pernah hanya dibayar RM50

Oleh Norhayati Nordin

KEMUNCULAN bakat baharu sama ada dalam bidang lakonan mahupun nyanyian, tidak pernah surut. Ada saja pelakon baharu diperkenalkan dalam drama, begitu juga pendatang baharu seni suara yang mencuba nasib.

Terkini, pastinya kemunculan penyanyi Aiden Daniel, 30, yang juga anak didik komposer Zul 2By2 menerusi single solo pertamanya berjudul Sampai Masa ciptaan Zul dan lirik ditulis oleh isterinya, penyanyi Intan Maya.

Aiden berkata, minat dan bakat nyanyiannya diwarisi daripada ibu dan emak saudara yang juga seorang penyanyi. Katanya, kedua-dua insan disayangi itu pernah menyanyi bersama band walaupun bukan bertaraf penyanyi profesional.

"Minat menyanyi yang dah ada dalam diri sejak saya masih kecil, tidak pernah pudar. Malah, saya juga sering ambil peluang menyertai pertandingan karaoke dan menyanyi dalam majlis perkahwinan.

"Cuma, tahun ini saya ada rezeki bertemu dengan komposer Zul 2By2 secara kebetulan ketika menghadiri jamuan hari raya Aidilfitri di rumah seorang kenalan. Ketika itu, saya pun tak terfikir akan dapat peluang menyanyi dan merakamkan lagu ciptaan Abang Zul.

"Tambahan pula, dia antara komposer dikenali ramai yang pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, kumpulan Spin, New Boyz dan Akim and The Majistret," katanya.

Ditanya juga perasaan sebenarnya selepas dapat bekerjasama dengan Zul, kata lelaki yang baharu mendirikan rumah tangga pada Mei lalu, ia umpama mimpi menjadi kenyataan dan tak pernah disangka.

"Saya memang rasa seolah-olah mimpi jadi kenyataan. Apatah lagi, saya tak pernah kenal dengan Abang Zul dan pertemuan kami pada majils sambutan Aidilfitri itu sangat bermakna. Malah, ia juga adalah rezeki untuk perkahwinan saya.

"Tekad saya, cuba membuat yang terbaik untuk bertahan dalam karier nyanyian ini. Saya mahu menjadi penyanyi berjaya yang dikenali dengan bakat dan jauh sekali nak mengejar populariti," kata Aiden atau nama sebenar, Muhammad Amirul Abdul Rahim.

Mengulas juga bayaran pernah diterimanya ketika menyanyi di majlis perkahwinan, Aiden berkata dia pernah dibayar RM50 untuk dua lagu yang dinyanyikan. Jelasnya, majlis itu dihadiri pada 2014 lalu dan dia terima saja bayaran berkenaan.

"Niat saya hanya nak menyanyi dan hiburkan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu. Saya langsung tak fikir soal bayaran pun dan terima saja berapa yang sudi dibayar oleh tuan rumah. Bagi saya, ada rezeki dan syukur alhamdulillah.

"Pada masa sama, saya juga nak timba pengalaman dan berkongsi rasa gembira dapat menghiburkan orang lain. Lagipun, ketika itu saya pun masih tidak mempunyai single sendiri dan menyanyi lagu orang," katanya.

Memandangkan sekarang sudah mempunyai single solo, Aiden berkata segala urusan berkaitan tawaran menyanyi dan bayaran kini diuruskan sepenuhnya oleh pihak produksi Timur Empayar Management.

Sehubungan itu, Aiden turut mengharapkan single Sampai Masa yang dilancarkannya baru-baru ini akan diterima baik pendengar dan peminatnya termasuk, mesra radio. Katanya, dia mohon sokongan positif daripada semua pihak.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:19am
d