setempat

Tolak saya macam bola

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Hancur hati seorang lelaki apabila dia diusir keluar dari rumah pangsa yang dibelinya dalam jualan lelong selepas berhabis ratusan ribu ringgit mengubah suai kediaman berkenaan.

Lebih mengecewakan, apabila dia mendakwa diperlakukan seperti bola ketika mahu mendapatkan penjelasan daripada firma guaman dan ejen pelelong berhubung masalah terbabit.

Menceritakan kembali kejadian itu, mangsa, Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 44, berkata, dia membeli rumah pangsa kos sederhana berkenaan Oktober 2015 lalu dengan harga RM75,000 dalam satu lelongan rumah yang diadakan di hotel.

Dia yang juga kontraktor berkata, pelelong kemudian mencadangkan sebuah firma guaman kepadanya dan dia diminta membuat bayaran kepada mereka yang mewakilinya dalam urusan membeli rumah terbabit.

“Saya membuat bayaran melalui tiga cek yang bernilai RM75,000 dan menyerahkan sepenuhnya segala urusan membeli rumah itu kepada firma guaman terbabit.

“Selepas selesai semua bayaran dibuat, mereka membenarkan saya masuk ke rumah terbabit dengan memotong kunci pintu,” katanya di Pejabat Gerakan negeri, di Jalan Macalister, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang gembira dan teruja kerana membeli rumah terbabit kemudian mengeluarkan modal hampir RM40,000 untuk kos ubah suai.

“Selepas selesai kerja pengubahsuaian, saya membawa barang kelengkapan untuk berpindah ke rumah itu, namun terkejut apabila seorang lelaki secara tiba-tiba datang dan memberitahu rumah itu miliknya.

“Saya cuba memberi penerangan kepadanya namun lelaki berkenaan terus menghalau dan mendakwa saya tidak mempunyai dokumen yang mengatakan rumah itu milik saya,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu dia pergi ke firma guaman yang dilantik, namun mereka menyatakan tidak dapat berbuat apa-apa dan memintanya berjumpa pelelong.

“Saya mengikut arahan diberikan, namun pelelong pula meminta saya berjumpa dan menyelesaikan perkara terbabit dengan bank.

“Pihak bank pula meminta saya bertemu peguam namun hingga sekarang saya belum mendapat jawapan dan diperlakukan seperti bola,” katanya yang membuat laporan polis pada 28 Disember 2016.

Menurutnya, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM300,000 dan turut diberitahu yang rumah itu pernah disewa kepada orang lain.

“Saya juga hairan kerana rumah itu sekali lagi diiklan untuk dilelong pada 23 April 2016 dan mengesyaki kemungkinan ada sindiket yang menjalankan penipuan berhubung urusan jual beli rumah terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 9:25am
d