setempat

Sekeping tiket, RM500 ubah hidup

Oleh Ruwaida Md Zain

SEKEPING tiket penerbangan ke New Delhi, India dan duit belanja sebanyak RM500 mengubah kehidupan seorang pemuda yang miskin kepada penari tradisional Odissi berjaya.

Pemberian oleh calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon, yang ketika itu Ketua Pemuda BN, kira-kira enam tahun lalu itu, dianggap sangat berharga kepada S Marimuthu, 43, atau kini lebih dikenali sebagai Thulasinathan.

Laluannya bergelar penari bagaimanapun tidak mudah. Bapa Thulasinathan menentang minat menari yang mula tersemai sejak berusia lapan tahun lagi.

Thulasinathan pernah dipukul, diikat di pokok oleh ayah dan abangnya kerana tidak mahu dia menjadi penari.

“Ibu ayah tidak suka, mereka bimbang saya cenderung kepada perkara tidak sepatutnya, termasuk mengenakan alat solek seperti wanita.

“Tetapi, saya sudah buktikan kepada mereka yang saya tidak begitu, saya cuma minat menari,” katanya yang ditemui selepas mengadakan pertemuan singkat dengan Eu Boon, hari ini.

Thulasinathan berkata, kurangnya pendedahan menyebabkan tiada platform yang membuka peluang kepadanya untuk meneruskan minat terhadap tarian Odissi sehinggalah seorang rakan mencadangkan beliau mendapatkan bantuan daripada Eu Boon.

“Apabila berjumpa dengan Datuk, saya terangkan yang saya ingin belajar menari secara serius dan menjadi penari profesional.

“Kemudian, Datuk berusaha mendapatkan tiket ke India dan memberi wang belanja RM500. Berbekalkan tiket dan wang itu, saya terbang ke New Delhi untuk belajar tarian Odissi secara mendalam.

“Saya sempat mendapatkan restu daripada ayah saya sebelum ke sana, malah mereka juga akhirnya menerima minat saya itu.

“Selepas tamat belajar selama tiga tahun, saya mula buat persembahan di serata India seterusnya melebarkan kemahiran ke beberapa negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Australia, Singapura dan Thailand.

“Saya kini menjadi seorang koreografer tarian bersama rakan di Singapura. Kehidupan saya bermula daripada Datuk,” katanya.

Anak jati Pelabuhan Klang yang fasih berbahasa Melayu itu juga bercita-cita mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi sebagai seorang penari profesional yang tersohor di seluruh dunia.

Sementara itu, Eu Boon berkata, sebagai pembangkang di Selangor ketika itu, beliau tidak mempunyai wang peruntukan yang banyak.

“Kita bukan kerajaan, kita pembangkang jadi peruntukan pun tidak banyak. Saya cakap kepada dia, ini tiket, ini duit pergilah belajar betul-betul. Saya bantu setakat ini sahaja, saya tidak mampu jaga awak selamanya.

“Duit RM500 itu boleh bertahan dua minggu sahaja, jadi saya cadangkan waktu siang dia belajar, malam kena cari kerja. Siapa lagi boleh tanggung dia.

“Tetapi sekarang dia sudah popular di seluruh India kerana kemahiran tarian itu. Dia seorang penari hebat dan banyak menerima jemputan membuat persembahan.

“Setiap tahun, dia akan menghantar pesanan ringkas memaklumkan perkembangan terbarunya kepada saya. Saya bangga dengan kejayaannya itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 12:14am
d