setempat

Syarikat sertai NewsConnect

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Walaupun ekspo pemasaran terbesar, NewsConnect anjuran kumpulan akhbar terbesar negara ini, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) berakhir semalam namun pelanggan masih berpeluang mendapatkan diskaun pengiklanan sehingga 94 peratus.

Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew berkata, NewsConnect yang dianjurkan lima hari di Hotel Majestic Kuala Lumpur mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 400 syarikat menyertai pameran pengiklanan itu.

“Kami gembira dengan sambutan yang diterima sepanjang penganjuran NewsConnect apabila lebih 400 syarikat dan usahawan yang datang ke ekspo ini untuk mengetahui pakej ditawarkan bagi ruang pengiklanan di akhbar serta digital terbitan NSTP iaitu Harian Metro (HM), New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH).

“NewsConnect menawarkan lima pakej pengiklanan berharga antara RM50,000 hingga RM350,000 bagi membantu usahawan Malaysia mengembangkan perniagaan dan meningkatkan capaian pelanggan ke tahap tertinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Roche berkata, bagi mereka yang tidak berpeluang ke ekspo berkenaan, diskaun sama masih ditawarkan sehingga tempoh tertentu yang akan diberitahu kelak.

“Jangan risau bagi mereka yang tidak dapat hadir ke ekspo kami, mereka masih berpeluang mendapatkan diskaun dengan lima pakej sama ditawarkan.

“Wakil syarikat atau usahawan hanya perlu datang ke NSTP atau mengisi borang maklum balas di www.nstp.com.my/advertising/ dan kami akan menghubungi mereka kembali,” katanya.

Menurutnya, NewsConnect memberi peluang kepada pemilik perniagaan, pengurus, pemasar, agensi pengiklanan dan usahawan media untuk mencapai 15 juta pelanggan setiap bulan melalui ruang pengiklanan di NSTP.

“NewsConnect memberi peluang kepada usahawan mempelajari strategi dan teknik melonjakkan perniagaan mereka ke aras tinggi melalui kuasa pengiklanan yang sudah dibuktikan keberkesanannya,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 11:24am
d