setempat

Diterima kerja dalam beberapa jam

Oleh Muhamaad Razis Ismail

"Karnival kerjaya anjuran Perkeso seperti ini memberi sinar dan peluang kepada orang kurang upaya (OKU) seperti saya untuk memperoleh pekerjaan," kata Tahfiz Haikal Tarazul Haidil, 20.

Tahfiz mengakui masalah lumpuh kaki kanan yang dialami sejak berusia lima tahun menyukarkannya untuk mencari dan mendapatkan pekerjaan seperti insan normal yang lain.

Katanya, sebaik mengetahui maklumat berkenaan Karnival Kerjaya MYFutureJobs OKU dan Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET), dia terus mendaftarkan diri untuk mencuba nasib.

"Karnival seperti ini memberi kemudahan untuk mencari pekerjaan kerana banyak pilihan kerjaya yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan swasta yang sesuai dengan OKU.

"Di sini, peluang untuk mendapatkan pekerjaan lebih tinggi sekali gus dapat merealisasikan impian OKU seperti saya untuk menjana pendapatan sendiri dan membantu meringankan beban keluarga," katanya ketika ditemui di Karnival Kerjaya MYFutureJobs OKU dan TVET di IDCC Shah Alam, di sini, semalam.

Perkara sama diakui Ang Yoke Fun, 50, yang menemani anaknya, Yap Hann Xi, 26, yang menghidap autisme ringan untuk mencari pekerjaan.

Katanya, kesukaran berkomunikasi menyebabkan anaknya sukar mendapat pekerjaan di luar sehingga terpaksa menganggur selama lima bulan selepas diberhentikan kerja di sebuah syarikat elektronik.

"Biarpun anak saya mendapat keputusan kelas pertama di universiti, sukar untuk mendapat pekerjaan yang sesuai.

"Ini kali pertama kami sertai program anjuran Perkeso dan saya gembira dalam tempoh beberapa jam, anak saya sudah diterima bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka," katanya.

Sementara itu, bagi Hidayah Ahmad, 20, biarpun sudah bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah kafe di Bangi, Selangor, dia mengambil peluang untuk mengembangkan kerjayanya dalam bidang kulinari.

"Saya dimaklumkan berkenaan karnival ini oleh majikan untuk mencari pekerjaan yang diminati dalam bidang kulinari.

"Alhamdulillah, saya dapat merealisasikan impian apabila sudah diterima bekerja sebagai barista di sebuah kafe di Taman Tun Dr Ismail (TTDI)," katanya.

Bagi Victor Anthony Swamy, 27, karnival kerjaya seumpama ini perlu diadakan dengan lebih kerap dan diperluaskan ke negeri lain.

"Karnival ini memberi peluang kepada semua pencari kerja khususnya golongan OKU dan lepasan TVET. Malah hari ini saya hadir bersama sepupu yang juga seorang OKU untuk bersama-sama mencari pekerjaan yang sesuai.

"Saya dan sepupu berasa selesa kerana pihak kakitangan Perkeso sentiasa bersedia membantu memudahkan urusan sepanjang kami berada di sini.

"Nasihat saya, kepada mereka di luar sana dapat ambil peluang keemasan ini untuk mendapat pekerjaan yang ditawarkan di sini," katanya.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs OKU dan TVET akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mac ini menyediakan peluang pekerjaan kepada semua pencari kerja khususnya golongan OKU dan lepasan TVET.

Lebih 100 majikan yang menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja yang hadir.

Selain itu, kaunter pendaftaran Portal Pekerjaan MYFutureJobs dan khidmat kaunseling kerjaya turut disediakan untuk membantu pencari kerja.

Disiarkan pada: March 2, 2024 @ 7:44am
d