sihat

Elak sakit ketika ibadat

Oleh Zaitie Satibi

Perubahan cuaca yang mendadak boleh mengakibatkan peningkatan masalah kesihatan khususnya sistem pernafasan. Tidak kira sama ada musim sejuk atau panas, kedua-dua keadaan cuaca boleh memberi implikasi kepada tubuh sekiranya individu tidak memberi perhatian pada penjagaan yang sewajarnya.

Begitu juga jemaah haji dari Malaysia dinasihatkan berhati-hati dengan perubahan cuaca di Arab Saudi ketika ini kerana dikhuatiri menyebabkan peningkatan kes demam, batuk dan selesema.

Menunaikan haji bukan hanya memerlukan persediaan berkaitan ibadat itu saja, tetapi persiapan dari segi kesihatan seperti fizikal dan kekuatan mental bagi menjamin kesempurnaan ibadat.

Sehubungan itu, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) menyumbangkan 28,000 kit penjagaan kesihatan peribadi bernilai RM821,000 kepada jemaah haji Malaysia menerusi program Sahabat Korporat Tabung Haji tahun ini.

Malah, dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu CCM turut menyediakan 200 kit kesihatan untuk kumpulan pertama petugas haji yang berlepas ke Makkah pada 17 Julai lalu untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah.

Ketua Pegawai Strategi CCM Duopharma Biotech Berhad, Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid berkata, pihaknya komited menjadikan ibadat haji bagi jemaah Malaysia tanpa tekanan menerusi kit kesihatan yang direka bentuk untuk memenuhi keperluan jemaah bagi merawat penyakit biasa atau kecemasan.

“Pada musim haji, jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci untuk melaksanakan tanggungjawab agama dalam keadaan cuaca yang terlalu panas dan bersesak-sesak.

“Keadaan itu meningkatkan risiko pelbagai penyakit seperti pening, sakit mata, selesema, flu dan masalah penghadaman. Sebagai pengeluar produk farmaseutikal terkenal yang disahkan halal di Malaysia, CCM bertuah kerana dapat menyumbangkan produk kami yang bermutu tinggi untuk memastikan mereka dapat menunaikan kewajipan dengan sempurna.

“Ini juga selaras dengan visi kami iaitu ‘Mempertingkatkan Kualiti Kehidupan’ membantu menjaga kesihatan jemaah dan mengurangkan risiko mereka jatuh sakit ketika mengerjakan haji,” katanya.

Setiap kit kesihatan mengandungi produk Bahagian Farmaseutikal CCM seperti Uphamol 650 untuk melegakan sakit kepala, kesakitan atau demam; Flavettes Vitamin C Effervescent untuk meningkatkan daya tahan badan dengan menguatkan sistem imun; pil Alucid untuk merawat pedih hulu hati, asid tidak hadam, sakit perut, ubat berlebihan, toksik, perut kembung dan masalah penghadaman lain; dan Eye Glo untuk melegakan kerengsaan mata disebabkan keadaan kering.

Wan Amir Jeffery berkata, sumbangan tahun ini juga menandakan pembabitan CCM selama 14 tahun dalam program berkenaan dengan keseluruhan sumbangan 482,000 kit kesihatan bernilai lebih RM10 juta.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 12:00am
d