sihat

Awas pendarahan vagina

Oleh Dr Mohamed Rafi Feizal & Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

Rahim anugerah terindah kerana ia bagai nadi bagi insan bergelar wanita. Mempunyai rahim sihat menjadikan wanita itu tampil menawan, cantik, cergas dan sempurna segalanya.

Namun demikian, kanser rahim adalah penyakit yang amat digeruni wanita. Menurut laporan perubatan dikeluarkan kerajaan United Kingdom (UK) melabelkan kanser rahim sebagai kanser keempat paling yang banyak dihadapi di negara itu selepas kanser payudara, paru-paru dan usus.

Tanda awal kanser rahim

Kanser rahim muncul daripada tisu uterus yang boleh memberi kesan kepada sistem peranakan. Selalunya, pendarahan vagina yang tidak normal adalah gejala paling kerap terjadi. Jika anda telah menopaus, sebarang pendarahan vagina dianggap tidak normal. Sekiranya belum melalui menopaus, pendarahan luar biasa mungkin termasuk pendarahan semasa kitaran haid.

Selain itu, pendarahan tidak teratur gejala biasa daripada banyak keadaan lain seperti:

• Fibroid

• Penebalan lapisan rahim

• Pertumbuhan (polip) dalam lapisan rahim

• Endometriosis

• Gangguan pendarahan atau pembekuan darah

• Pendarahan tanpa punca asas yang jelas

Namun, hanya sebilangan kecil wanita yang mengalami pendarahan tidak teratur akan mempunyai kanser rahim.

Mengapa kanser rahim berlaku?

Sehingga kini, dunia perubatan belum mengenal pasti penyebab utama kanser ini. Namun, terdapat perkara tertentu yang boleh meningkatkan risiko menghidap kanser seperti:

1. Ketidakseimbangan hormon antara risiko penting untuk mendapat kanser ini, khususnya mereka yang menpunyai tahap hormon estrogen yang tinggi dalam badan.

2. Selain itu, faktor usia turut memainkan peranan dalam hal ini. Kebanyakan wanita yang didiagnosis kanser rahim telah menopaus. Hampir tiga perempat daripada penghidap kanser rahim adalah wanita dalam lingkungan 40 hingga 74 tahun.

3. Berat badan berlebihan selalunya mempunyai risiko dua atau tiga kali untuk menghidap kanser rahim berbanding wanita mempunyai berat badan normal.

4. Kajian menunjukkan wanita mempunyai anak mengurangkan risiko mendapat kanser ini.

Bagaimana kanser rahim dirawat?

Majoriti pesakit kanser rahim peringkat I dan II akan berjumpa doktor. Ini kerana pendarahan faraj yang tidak menentu mengganggu hidup dan memaksa mereka mendapatkan rawatan.

Rawatan paling biasa untuk kanser rahim adalah pembedahan membuang rahim (histerektomi). Cara ini boleh menyembuhkan kanser rahim peringkat awal, tetapi anda tidak dapat hamil lagi.

Adakala, ketika melakukan proses histerektomi, ovari dan tiub fallopia akan turut disingkirkan daripada rahim. Wanita yang belum menopaus akan mengalami gejala menopaus seperti ‘hot flushes’, ‘night sweats’ dan sebagainya.

Selain itu, rawatan radioterapi atau kemoterapi juga digunakan, selalunya selepas selesai pembedahan histerektomi.

Walaupun kanser berada di tahap membimbangkan dan peluang penyembuhan kecil, rawatanmasih dapat membantu melegakan gejala dan memanjangkan umur.

Hidup dengan kanser rahim

Hidup dengan kanser ialah satu cabaran besar dan boleh menjejaskan kehidupan.

Sebagai contoh, kehidupan seks akan terjejas jika mempunyai histerektomi. Anda mungkin mendapati secara fizikalnya lebih sukar untuk melakukan hubungan seks dan kurangnya dorongan untuk melakukan seks terutamanya selepas rawatan radioterapi.

Perbincangan dengan ahli keluarga terdekat mahupun kenalan yang mengalami nasib sama mampu meringankan tekanan emosi diri.

Di Malaysia terdapat kumpulan penyokong kanser yang bergerak aktif seperti Majlis Kanser Kebangsaan Malaysia (MAKNA). Mereka sangat gigih membantu golongan yang menghidapi kemelut ini.

Namun, sebagai umat Islam kita harus sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengubati penyakit ini dan pada masa sama terus berdoa kepada yang Maha Esa untuk diberikan ketabahan hati dalam mengharungi dugaan ini.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 12:00am
d