sihat

Ujian klinikal bantu pesakit

Oleh Zaitie Satibi

Clinical Research Malaysia (CRM) iaitu agensi yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan kira-kira lima tahun lalu untuk mempelopori pembangunan dan ekosistem industri penyelidikan klinikal di Malaysia, berhasrat meningkatkan bilangan ujian klinikal kepada 1,000 penyelidikan menjelang 2020.

CRM sudah mencapai mercu jaya penting dengan pelancaran Fasa 1 ujian klinikal di Malaysia, sekali gus menandakan langkah negara untuk mendaki tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai ujian klinikal. Penyelidikan klinikal yang dipacu CRM ini juga untuk memartabatkan Malaysia sebagai destinasi global pilihan bagi penyelidikan tajaan industri (ISR).

Sejak penubuhannya, CRM menjalankan lebih 939 penyelidikan tajaan industri (ISR)yang memberi peluang kepada profesional perubatan membabitkan diri dalam ujian klinikal. Menerusi ISR dikenal pasti ini, pelaburan terkumpul dibawa masuk ke negara ini sejak ditubuhkan hingga tahun lalu melebihi RM196 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif CRM Dr Akhmal Yusof berkata, pesakit yang menyertai ujian klinikal turut mendapat manfaat daripada penerimaan ubat-ubatan dalam kajian yang tidak dinikmati oleh pesakit lain yang tidak menyertai ujian.

“Di samping itu, mereka boleh menerima rawatan daripada pasukan ujian klinikal yang memantau keadaan perubatan mereka secara rapi. Terdapat kes pesakit ujian klinikal menghidap sesuatu penyakit menunjukkan keadaan lebih baik daripada pesakit bukan peserta dalam peringkat sama penyakit mereka.

“Ini disebabkan penjagaan berkualiti tinggi diberikan sepanjang proses ujian. Malah, bagi memastikan pesakit menerima piawaian penjagaan terbaik dan menjaga kepentingan mereka, satu jawatankuasa etika pusat dikenali sebagai Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC) akan mengkaji dengan teliti dan meluluskan ujian klinikal sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Katanya, jawatankuasa etika terdiri daripada kumpulan pakar saintifik dan bukan saintifik dalam pelbagai bidang pengkhususan memastikan ujian klinikal mempunyai tujuan perubatan sah, selamat serta memberi manfaat kepada mereka.

Ramai peserta melaporkan kepuasan kerana dapat memainkan peranan penting dalam usaha memajukan sains perubatan dan membantu pakar sains mencari rawatan baru yang akan menolong lebih ramai orang hidup lebih sihat.

“Satu daripada masalah paling besar menghalang kejayaan ujian klinikal ialah mencari sukarelawan bagi menyertai penyelidikan dan ini menyebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan bagi ubat baru untuk pesakit yang memerlukannya.

“Sebilangan besar penyiasat gagal memenuhi keperluan pendaftaran pesakit untuk ujian yang diberikan disebabkan pelbagai faktor di mana sesetengah daripadanya sudah kami tangani.

“Bagi mengatasi masalah ini, CRM melancarkan kempen Saya Sedar (I Am Aware) untuk meningkatkan kesedaran pentingnya ujian klinikal dan menambah kefahaman peserta mengenai manfaat penyertaan dalam ujian klinikal, di samping menyediakan sumber membantu peserta membuat keputusan berasaskan pengetahuan,” katanya.

Dr Akhmal berkata, pameran bergerak kempen berkenaan diadakan di 33 hospital kerajaan dan tiga universiti. Hampir 2,500 pesakit dan sukarelawan dari pelbagai hospital kerajaan dan swasta serta universiti berjaya didaftarkan.

CRM juga merancang menggiatkan usaha menerusi Projek Kesedaran Fasa 1 (P1RP) untuk menarik ujian klinikal Fasa 1 ke Malaysia yang boleh menghasilkan kesan limpahan ujian fasa seterusnya ke negara ini. Kejayaan ini akan membawa Malaysia lebih dekat kepada matlamat untuk menjadikan negara destinasi pilihan untuk penyelidikan klinikal.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 12:00am
d