sihat

Periksa mata berkala

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Mata organ utama dalam pembelajaran kanak-kanak di mana 80 peratus daripada apa yang dipelajari adalah melalui penglihatan. Di peringkat global, kadar kelaziman masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak meningkat dan Malaysia menunjukkan pertambahan jumlah yang tinggi.

Berdasar kajian mengenai kesilapan refraktif dan masalah penglihatan, kadar kelaziman yang tidak diperbaiki dan masalah penglihatan yang boleh dikesan dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Daerah Gombak, kawasan pinggir bandar berhampiran Kuala Lumpur, adalah pada 17.1 peratus dan 10.1 peratus.

Malangnya, ada banyak kes di mana masalah penglihatan tidak dikesan kerana kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan mata berkala.

Sempena Hari Penglihatan Sedunia 2017, Persatuan Optometris Malaysia (AMO) dan Majlis Optik Malaysia (MOC) melancarkan Kempen Kesedaran Kesihatan Mata Kebangsaan (NEHA) 2017 bertemakan ‘Penglihatan Untuk Kanak-Kanak’.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan mata yang betul oleh optometris bagi kanak-kanak dan mendidik orang ramai tentang penglihatan mata yang baik.

Presiden AMO, Murphy Chan berkata penglihatan memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan fizikal, kognitif dan sosial kanak-kanak.

“Masalah penglihatan yang tidak diperbaiki boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak, mengganggu pembelajaran dan mungkin juga membawa kepada kehilangan penglihatan.

“Penglihatan yang tidak jelas memberi impak yang besar kepada pendidikan dan kualiti hidup generasi muda serta kesihatan mata kanak-kanak sering diabaikan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kempen itu di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, melalui kempen Penglihatan Untuk Kanak-Kanak tahun ini pihaknya menekankan pemeriksaan mata dan rundingan berkala oleh optometris yang bertauliah adalah sangat penting bagi mengesan masalah mata sebelum perkembangan seseorang kanak-kanak itu terjejas.

“Bersama Majlis Optik Malaysia, kami percaya saringan penglihatan dan pemeriksaan mata elemen pelengkap dan penting untuk pendekatan kesihatan awam yang berkesan dalam meningkatkan taraf kesihatan mata di Malaysia,” katanya.

Miopia atau rabun jauh adalah antara kesilapan refraktif mata yang paling lazim berlaku. Dengan kadar kelaziman yang semakin meningkat, ia kini menjadi isu global kesihatan awam, yang menjejaskan 85 peratus hingga 90 peratus golongan muda di beberapa negara Asia.

Di Malaysia, kadar kelaziman miopia mencapai tahap membimbangkan. Rakyat Malaysia keturunan Cina dan Melayu masing-masing terjejas 42 peratus dan 15 peratus. Jumlah tinggi bagi kanak-kanak mengalami masalah penglihatan seperti miopia pula masih tidak dapat dikesan.

Timbalan Naib Canselor dan Dekan Fakulti Optometri dan Sains Penglihatan Universiti SEGi, Prof Azrin Ariffin pula menjelaskan ada tiga jenis kesalahan refraktif iaitu miopia, hiperopia dan astigmatisma.

“Miopia adalah kesalahan refraktif paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia di mana sebuah kajian dijalankan dalam kalangan pelajar sekolah rendah di Daerah Gombak.

“Hasil kajian mendapati miopia diukur menggunakan retinoskopi dikesan 9.8 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh tahun dan meningkat hingga 34.4 peratus di usia 15 tahun dengan masing-masing 10 dan 32.5 peratus dengan refraksi auto.

“Pengkaji mendapati sesetengah kanak-kanak boleh mendapat miopia jenis agresif dikenali sebagai miopia patologi. Ia boleh membawa kerosakan penglihatan kekal sekiranya tidak dikesan dari peringkat awal.

“Mata yang sihat dan penglihatan yang jelas sangat penting untuk perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Justeru, pemeriksaan mata yang betul dan berkala penting untuk memastikan masalah penglihatan serta penyakit mata dapat dikesan dan dirawat di peringkat awal,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Pembangunan Komersial, Malaysian Hoya Lens Sdn Bhd, Chong Zhi Lee berkata, penglihatan baik dan berfungsi penting untuk perkembangan awal pendidikan dan sosial kanak-kanak.

“Sebarang masalah penglihatan anak anda boleh menjejaskan kebolehan mereka belajar dan membawa kepada pelbagai masalah sosial dan isu perkembangan.

“Kebanyakan masalah penglihatan boleh diperbaiki dan diuruskan dengan mudah menggunakan cermin mata serta membantu kanak-kanak juga orang dewasa mempunyai penglihatan yang jelas dan kehidupan berkualiti.

“Di Hoya, masalah penglihatan boleh diperbaiki melalui bantuan ringkas dengan penggunaan kanta cermin mata kanak-kanak yang tahan lasak, sesuai dengan gaya hidup aktif kanak-kanak dan melindungi mereka daripada sinaran biru berbahaya daripada peralatan digital,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan serta penghibur Datuk Sheila Majid. Sebagai sebahagian daripada kempen ‘Penglihatan Untuk Kanak-Kanak’, pemeriksaan mata percuma untuk kanak-kanak akan dijalankan di cawangan yang mengambil bahagian sehingga 31 Disember 2017.

Anda boleh mendapatkan pemeriksaan mata menyeluruh oleh optometris dengan menghubungi Persatuan Optometris (AMO) di talian (+60 11-2610 2040) atau e-mel ke secretariat@amoptom.org.

Untuk maklumat AMO terkini, sila layari www.amo.org.my dan laman Facebook Page di https://www.facebook.com/AssociationofMalaysianOptometrists/.

INFO

Miopia

• Ketidakupayaan melihat jauh.

• Mudah dialami oleh golongan muda.

• Pesakit akan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan jelas.

• Sakit kepala berdenyut-denyut pada bahagian depan kepala.

Astigmatisma

• Timbul apabila bentuk kornea mata tidak berbentuk sfera seperti telur.

• Akibatnya mata tidak dapat bertumpu pada satu titik.

• Mereka yang mengalami masalah ini akan kabur penglihatan jauh dan dekat.

• Ia terjadi kerana sel retina tidak mendapat imej yang jelas atau tajam.

Katarak

• Lapisan menghalang kemasukan cahaya menembusi kanta dan imej pada retina terganggu.

• Penglihatan akan menjadi kabur.

• Katarak berpunca daripada peningkatan umur.

• Pesakit kencing manis lebih ketara mengalami masalah ini.

Foria

• Keadaan posisi mata semasa mata rehat misalnya semasa tidur.

• Sesetengah mereka terutama kanak-kanak akan mengadu melihat dua imej.

• Ini juga boleh menghasilkan masalah juling.

• Kesannya ialah sakit kepala, sakit mata dan kabur penglihatan.

Hiperopia

• Kerosakan mata jenis ini cuma ketara di Barat.

• Berpunca daripada biji mata terlalu kecil dan cahaya yang datang dari jauh difokuskan di belakang retina.

• Mata akan bekerja lebih untuk memfokuskan cahaya di retina.

• Kesannya adalah mata akan juling (Esotropia).

Glaukoma

• Penyakit mata yang berpunca daripada tekanan cecair terlampau tinggi di dalam bebola mata.

• Bagi mata normal pengaliran cecair keluar masuk adalah seimbang.

• Kes ini mewujudkan sekatan saluran.

• Tekanan tinggi yang berterusan tanpa rawatan akan merosakkan urat saraf mata dan akhirnya buta.

Anisometropia

• Perbezaan kesalahan refraksi antara kedua-dua mata.

• Contohnya Miopia di sebelah kanan dan hiperopia di sebelah kiri.

• Ini akan menjadikan mereka melihat sesuatu dengan sebelah mata yang bersesuaian.

• Kesannya akan memperoleh masalah juling alternatif.

Tanda masalah penglihatan

• Menghadapi masalah mengenali wajah kawan atau saudara terdekat walaupun sudah memakai kaca mata.

• Terpaksa bergerak lebih dekat untuk melihat dengan jelas semasa melakukan aktiviti seperti membaca, menulis, memasak atau menjahit.

• Memilih pakaian dengan warna yang sesuai bertambah susah.

• Melakukan kerja harian di rumah bertambah sukar seolah-olah cahaya bertambah malap.

• Kesukaran membaca nombor bas atau nama jalan.

Disiarkan pada: November 12, 2017 @ 12:09am
d