sihat

Perhebat pencegahan pneumokokal

Oleh Zaitie Satibi

Pneumokokal (PnD) memperlihatkan kadar penyakit dan kematian yang ketara terutama di negara sedang membangun dan ia kekal sebagai punca nombor satu kematian yang boleh dicegah menerusi vaksin di dunia.

Kajian tempatan mendapati bahawa Malaysia menghadapi risiko mengalami kira-kira 2,809 kes meningitis pneumokokus setiap tahun yang juga penyebab utama pneumonia iaitu kematian kedua tertinggi bagi semua kumpulan etnik dan punca kematian tertinggi yang direkodkan bagi wanita di Malaysia.

PnD disebarkan dari manusia ke manusia lain dan seandainya dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh membahayakan ramai orang terutama kanak-kanak serta individu dewasa yang menjalani rawatan kanser, penghidap penyakit tidak berjangkit yang teruk, bayi baru lahir dan warga emas.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), PnD adalah penyakit umum dalam kalangan kanak-kanak bawah usia dua tahun termasuk bayi baru lahir di negara sedang membangun.

Kira-kira 14.5 juta kes PnD serius yang dilaporkan mengakibatkan kematian kanak-kanak yang berusia antara sebulan hingga lima tahun. Buat masa ini, hanya satu daripada enam bayi menerima pemvaksinan PnD sejak vaksin pneumokokus diperkenalkan di Malaysia pada 2005.

Ini adalah bebanan ekonomi dan sosial yang besar ditanggung negara. Satu kajian mendapati bahawa ketiadaan program pemvaksinan pada PnD untuk bayi di Malaysia mengakibatkan kos perubatan langsung mencecah RM13 bilion dan kos tidak langsung sebanyak RM10 bilion serta menimbulkan bebanan kos lebih RM22 bilion kepada masyarakat.

Menyedari beban semakin berat akibat penyakit ini terhadap rakyat Malaysia, Pfizer Malaysia merangka kempen Angkat Tangan dengan matlamat untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai penyakit terbabit dan memastikan semua rakyat Malaysia diberi peluang mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) tanpa mengira pendapatan atau taraf hidup.

Kempen berkenaan bagi menyokong pemvaksinan pneumokokus dianjurkan dengan kerjasama Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

Pengerusi ASAP Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, faktor utama yang menghalang kebanyakan ibu bapa di Malaysia mendapatkan pemvaksinan untuk anak mereka ialah kos. Malah, dianggarkan 15 peratus kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dalam keluarga berpendapatan kurang dua kali ganda daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI).

“Memandangkan daya rintangan terhadap antibiotik sedang meningkat ke tahap berbahaya di serata dunia, Malaysia perlu mengukuhkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan sekarang untuk mengekang penularan daya rintangan termasuk membolehkan lebih ramai orang mendapat keperluan penjagaan kesihatan asas ini dengan memasukkan vaksin PnD ke dalam NIP.

“Sehingga hari ini, lebih 136 negara sudah memasukkan vaksin pneumokokus dalam NIP mereka, manakala Malaysia adalah satu daripada 54 negara yang masih belum menyenaraikan vaksin PnD dalam jadual NIP.

“Ini menyebabkan negara kita gagal mencapai sasaran Rancangan Tindakan Vaksin Global, yang diiktiraf oleh 194 negara ahli di Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada 2012,” katanya pada sesi bual bicara sempena pelancaran kempen itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Hal Ehwal Korporat Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin dan selebriti, Jaclyn Victor.

Negara terbaru yang memasukkan vaksin ini ke dalam NIP mereka ialah India, Indonesia, Seychelles dan Surinam. WHO mendapati penggunaan vaksin baru oleh negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana lokasi beban penyakit selalunya paling tinggi kini lebih perlahan berbanding negara berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Noor Yang Azwar berkata, Pfizer Malaysia akan berusaha meningkatkan kefahaman risiko PnD dan menekankan betapa pentingnya pencegahan menerusi pemvaksinan untuk kanak-kanak serta orang dewasa bagi menyelamatkan keluarga daripada bebanan kos kemasukan ke hospital akibat jangkitan PnD menerusi kempen enam bulan itu.

“Kami mahu berkongsi maklumat dan meningkatkan kesedaran menerusi simbol serta motif kempen iaitu mengangkat dua tangan jika belum memvaksinkan anak anda dan satu tangan jika anda sudah.

“Diharapkan lebih ramai orang menyeru agar Kementerian Kesihatan memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam NIP. Matlamatnya bagi membolehkan semua orang mendapatkan perlindungan yang sama untuk anak mereka dan meletakkan negara satu langkah di hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 2:23am
d