sihat

Bersisik, merah, gatal

Oleh Aniza Zainudin

Penurunan daya ketahanan badan, pembiakan aktif fungus pada kulit, Malassezia furfur dan pengeluaran minyak berlebihan, tiga gabungan utama yang menjadi punca kepada masalah penyakit kulit dikenali dermatitis seborea (SD).

Secara fizikal, penyakit radang kulit ini mengakibatkan kulit bersisik, berwarna merah, rasa gatal di bahagian tertentu terutama di kepala, kening, di bahagian garis senyuman, dada, di kawasan pelipat seperti ketiak dan celah kelangkang.

Perunding dermatologi, Dr Nazirin Ariffin berkata, penyakit dermatitis seborea berkait rapat dengan pembiakan fungus yang hidup secara semula jadi pada kulit, namun tidak berbahaya kepada manusia.

“Setiap manusia mempunyai fungus semula jadi ini (Malassezia furfur) pada kulit, ia adalah normal dan tidak berbahaya.

“Namun, ia menjadi satu elemen yang mendorong kepada berlakunya penyakit radang kulit ini sekiranya berlaku pengeluaran minyak berlebihan akibat aktiviti sebum yang meningkat, sekali gus mengaktifkan pembiakan dan pengumpulan fungus ini.

“Daya ketahanan tubuh yang rendah memberi kelebihan kepada berlakunya penyakit ini. Ini termasuklah golongan berusia 60 ke atas, bayi baru dilahirkan dan pesakit yang mengambil ubatan mengurangkan sistem imunisasi badan seperti mereka yang menjalani prosedur transplan, penghidap HIV dan limfoma,” jelasnya.

Menurut Dr Nazirin, dermatitis seborea adalah masalah kulit yang sering menyerang bayi berusia bawah tiga bulan dan dewasa berumur 60 tahun ke atas.

Bayi yang baru dilahirkan masih dalam proses membina sistem imunisasi tubuh tidak dapat mengekang serangan penyakit, tetapi penyakit ini bukan masalah serius bagi golongan ini kerana selalunya ia pulih selepas enam hingga 12 bulan.

Simptom yang boleh dikenal pasti berlaku pada bayi, selalunya kulit kepala akan berkerak, bersisik, berwarna kuning berminyak dan jika dibiarkan ia boleh menjadi tebal.

Justeru, bagi bayi, golongan ibu bapa boleh melakukan kaedah tradisional sendiri dengan menyapukan minyak zaitun atau bayi di kepala dan dibiarkan kira-kira satu jam, sebelum ia disikat lembut.

Bagi golongan dewasa, Dr Nazirin berkata, selain faktor imunisasi, pengeluaran minyak berlebihan dan pembiakan fungus, faktor genetik dan tekanan turut mengakibatkan penyakit ini.

“Selalunya kategori pesakit ini dipengaruhi faktor stres dan genetik. Sekiranya dalam keluarga mempunyai penyakit psoriasis atau dermatitis seborea, kebarangkalian untuk mendapat dermatitis seborea juga tinggi.

“Pesakit dermatitis seborea dewasa selalunya akan mengalami kegatalan dan menghasilkan habuk atau kelemumur.

“Penyakit tidak akan berjangkit dan ia juga tidak mempunyai kaitan dengan isu penjagaan kebersihan diri individu. Masalah ini juga tidak berlaku secara mendadak, ia mengambil masa beberapa minggu untuk terjadi.

“Walaupun masalah ini ‘popular’ terjadi di bahagian kepala, wajah dan dada, ia juga boleh berlaku di bahagian yang tidak mempunyai banyak kilang minyak seperti ketiak dan kelangkang. Keadaan bahagian yang terlipat itu membolehkan fungus membiak,” katanya.

Jelasnya, masalah kelemumur adalah penyakit dermatitis seborea yang ringan kerana ia bersisik dan berwarna putih.

Beliau berkata, situasi ini boleh menjadi serius sekiranya kulit kepala menjadi merah, gatal, bersisik malah habuk melekat pada pakaian.

Disarankan mendapatkan nasihat pakar, Dr Nazirin juga berkongsi tip pencegahan, antaranya pengurusan stres lebih baik, amalan diet seimbang, amalan gaya hidup sihat dan menggunakan syampu antifungus dengan kekerapan satu hingga dua kali seminggu sebagai ‘kawalan’ jika kerap didatangi penyakit ini.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 1:50am
d