sihat

Riadah dapat hindar rasa murung

Oleh Zaitie Satibi

Kemurungan adalah satu penyakit psikologi yang membabitkan tekanan perasaan serius kepada individu baik lelaki mahupun wanita di setiap lingkungan umur. Penghidap kemurungan akan mengalami perasaan sedih berpanjangan, tidak bersemangat, tidak berfikir secara rasional, malah berkeinginan untuk mati.

Namun, ramai yang tidak sedar masalah kemurungan bukan saja boleh dirawat, malah boleh dicegah dengan melakukan aktiviti riadah, kecergasan dan pengambilan makanan yang seimbang. Ini kerana, aktiviti fizikal boleh melegakan tekanan, sementara makanan yang menyihatkan boleh membuatkan badan anda berasa sihat, cergas, menarik dan turut meningkatkan keyakinan diri.

Bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus mencegah kemurungan, Pameran Sukan dan Kecergasan Antarabangsa (Misfit) 2018 mampu menjadi platform kepada orang ramai untuk mula bergiat aktif secara fizikal serta mental.

Misfit yang bakal diadakan di dua lokasi iaitu Pusat Dagangan DuniaPutra (PWTC), Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Ogos ini dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 5 hingga 7 Oktober ini turut mengumpulkan semua pengeluar utama dalam bidang sukan, kecergasan dan industri kesihatan,

Pengerusi penganjur, Abjda Zulkifli berkata, pameran itu turut menampilkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Kempen Hentikan Perogol Dalam Rumah yang dijangka memberi pelbagai maklumat dan kesedaran kepada pengunjung untuk mengetahui dengan

lebih jelas berkenaan apakah yang perlu dilakukan untuk menangani masalah terbabit.

“Ramai juga yang tidak sedar bahawa jenayah seksual juga ada kaitan dengan kemurungan sama ada pelakunya yang mengalami tekanan dan cuba melepaskan emosinya terhadap orang lain atau mangsanya akan mengalami tekanan perasaan.

“Bagi mangsa, tekanan emosi dialami meninggalkan kesan lebih mendalam, berpanjangan dan membahayakan diri berikutan kemurungan melampau boleh mendorong untuk melakukan sesuatu di luar pemikiran seperti mencederakan diri sendiri, mencederakan orang lain atau terfikir untuk membunuh diri,” katanya.

Abjda berkata, Misfit 2018 yang menampilkan aktiviti kecergasan dikendali selebriti kecergasan, sesi dialog berkenaan kesihatan, pemeriksaan dan pameran kesihatan mampu menyediakan peluang kepada individu serta seisi keluarga untuk menjalani kehidupan sihat.

“Kemurungan adalah penyakit mental yang serius dan memberi kesan negatif pada individu. Ia boleh mempengaruhi emosi, cara berfikir dan juga sikap individu dan merubahnya menjadi orang lain.

“Penyakit ini juga menyebabkan individu berasa sedih dan hilang minat terhadap aktiviti yang disukai. Jangan biarkan diri kita terjebak dalam kemurungan, amalkan perhubungan yang sihat dengan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan dengan aktiviti berunsur positif,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 12:04am
d