sihat

Didik elak kena potong

Oleh Aniza Zainudin

Separuh daripada pesakit yang hidup bersama diabetes enam hingga 10 tahun mengalami masalah neuropati periferal diabetes menyakitkan atau ‘painful Diabetic Peripheral Neuropathy’ (pDPN) gara-gara terlewat diagnosis atau kawalan pengurusan diabetes yang longgar.

Di Malaysia, masalah ulser kaki akibat diabetes menjejaskan kira-kira 15 peratus pesakit, manakala 4.3 peratus pesakit ini terpaksa melalui prosedur amputasi (pemotongan) anggota badan bahagian bawah terutama kaki.

Bertujuan mempromosikan kesedaran penjagaan kaki atau lebih khusus, pDPN, Diabetes Malaysia dengan kerjasama Pfizer Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) menganjurkan siri kempen pendidikan awam ‘Blue Socks’ bermula bulan lalu hingga November nanti.

Siri kempen pendidikan awam mengenai pDPN ini diadakan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka kepada penyertaan awam.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi mendorong pesakit diabetes bertindak secara proaktif untuk mendapatkan rawatan yang menjadi sebahagian daripada pengurusan diabetes.

Konsep kempen ‘Blue Socks’ adalah mendidik komuniti mengenai kaitan antara diabetes dan pDPN serta kepentingan penjagaan kaki bagi memerangi satu daripada komplikasi paling biasa akibat epidemik ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Zainudin Abdul Wahab berkata, diabetes adalah penyakit yang terkenal dengan pelbagai komplikasi termasuk jantung, saluran darah, mata, ginjal dan saraf.

“pDPN adalah antara komplikasi kerosakan saraf dalam kalangan penghidap diabetes yang kebiasaannya menjejaskan bahagian kaki, sebelum merebak ke tangan.

“Komplikasi ini meningkatkan lagi risiko ulser kaki, jangkitan dan pemotongan anggota badan. Meskipun sering terlepas pandang, pDPN adalah punca kecacatan dalam kalangan pesakit diabetes.

“Bagi mengenal pasti komplikasi keradangan saraf pada peringkat awal, komunikasi antara pesakit dan doktor penting untuk memantau perkembangan pDPN.

“Bagi memastikan masalah kerosakan saraf tidak menjejaskan kualiti hidup individu, ia memerlukan teknik pengurusan terbaik.

“Berdasarkan data Daftar Diabetes Nasional, Klinik Kesihatan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima 32,896 pesakit diabetes yang menjalani rawatan susulan,” katanya ketika merasmikan siri kempen berkenaan di Kepong, baru-baru ini.

Mengulas mengenai penganjuran siri kempen pendidikan awam Blue Socks, Zainudin berharap ia mempertingkatkan kualiti kehidupan pesakit diabetes menerusi pencegahan dan pengesanan awal pDPN.

Mengikut Laporan Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan terkini yang dilakukan pada 2015, kelaziman penyakit diabetes mellitus dalam kalangan orang dewasa di Malaysia adalah 17.5 peratus.

Bahagian Kawalan Penyakit KKM pula menjangkakan kadar prevalen (kelaziman) diabetes negara akan meningkat kepada 21.6 peratus menjelang 2020.

Sementara itu, Pengerusi Diabetes Malaysia Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Shariff Osman mengakui perhatian terhadap komplikasi diabetes terutama pDPN perlu dititikberatkan.

Katanya, masalah keradangan saraf paling kerap berlaku dengan nisbah satu dalam lima pesakit kencing manis mengalami pDPN dengan gejala seperti kebas, terasa panas, terasa dicucuk jarum atau pin.

Panduan penjagaan kaki pesakit diabetes

1. Basuh kaki dengan sabun terutama di celah jari kaki setiap hari.

2. Keringkan kaki dengan tuala bersih dan lembut terutama di celah kaki.

3. Sapukan losyen pelembap supaya kulit lembut kecuali di antara celah kaki.

4. Selalu mengurut kaki termasuk jari kaki dengan tangan secara perlahan-lahan.

5. Jangan rendam kaki melebihi lima minit dan gunakan air suam.

6. Elakkan berkaki ayam ketika di luar dan di dalam rumah bagi mengelakkan kaki terpijak benda tajam atau panas.

7. Pakai kasut mengikut saiz bersesuaian. Pilih kasut yang lembut dan menutup kaki.

8. Sebelum memakai kasut, buat pemeriksaan teliti bagi mengelakkan terkena bahan yang mencederakan kaki.

9. Jangan duduk dengan kaki bersilang bagi tempoh lama.

10. Potong kuku jari secara lurus dan tidak terlalu pendek. Kikis pinggir kuku supaya ia tidak tajam. Guna pengetip kuku.

11. Gunakan stoking jenis kapas yang boleh menyerap peluh dan menjadikan kaki lebih selesa dan sentiasa kering.

12. Pastikan stoking tidak terlalu ketat kerana ia akan menghalang peredaran darah. Tukar stoking setiap hari.

13 Periksa celah jari dan tapak kaki untuk mengesan rekahan, calar, kudis, bisul, bengkak, luka, lepuh, perubahan warna kulit dan kematu.

14. Luangkan beberapa minit sehari untuk berbaring atau duduk dengan meletakkan kaki di aras lebih tinggi berbanding badan.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 12:00am
d