sihat

Ganggu penampilan

Oleh Zaitie Satibi

MULUT yang sihat bukan hanya ditakrif sebagai memiliki gigi cantik atau senyuman menawan kerana kesihatan gusi juga perlu diambil kira.

Walaupun anda memiliki gigi sihat, tidak bermakna anda bebas daripada penyakit gusi.

Ini kerana, penyakit gusi tidak mendatangkan masalah kesihatan sehingga ramai tidak menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada gusi mereka.

Penyakit gusi bermula apabila plak atau karang gigi terbentuk antara gigi, sepanjang garisan gusi dan dalam poket gusi.

Plak adalah lapisan lembut dan melekit yang mengandungi berbilion bakteria, ia berpunca daripada kotoran (sisa makanan yang tidak dibersihkan) yang menempel pada gigi dan lama-kelamaan mengeras membentuk seperti kerak.

Tidak hanya mengganggu penampilan, plak gigi juga menimbulkan pelbagai masalah kesihatan lain antaranya berlaku jangkitan gusi dan gigi.

Jangkitan ini mengakibatkan penyakit gusi, gigi mereput dan mulut berbau.

Plak juga menyebabkan gingivitis iaitu tahap awal penyakit gusi dengan tanda-tanda seperti gusi meradang akibat jangkitan bakteria, lembik, kemerahan, membengkak dan mudah berdarah.

Presiden Persatuan Periodontologi Malaysia, Dr Ahmad Sharifuddin Mohd Asari berkata, penyakit gusi tahap seterusnya adalah periodontitis apabila pada peringkat ini ia menjejaskan tulang yang mengikat gigi berada pada tempatnya.

“Periodontitis yang tidak dirawat boleh merosakkan gusi, tulang dan tisu yang bersambung dengan gigi.

“Peringkat akhir penyakit gusi adalah periodontitis lanjutan menyebabkan serat dan tulang yang menyokong gigi musnah.

“Penyakit gusi lanjutan ini juga menyebabkan gigitan tidak sempurna dan berkemungkinan gigi terpaksa dibuang.

“Gigitan tidak sempurna menyukarkan seseorang untuk bertutur dan mengunyah makanan,” katanya.

Penyakit gusi mengatasi kaviti sebagai faktor utama kehilangan gigi dalam kalangan orang dewasa.

“Plak yang berlanjutan terbentuk berpunca daripada kurangnya amalan memberus gigi dan biasanya sukar untuk dikesan dalam tempoh yang lama.

Kajian Kesihatan Oral Orang Dewasa Malaysia 2010 (NOHSA 2010) menunjukkan sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia mengalami masalah gusi.

Satu kaji selidik dijalankan Lion Corporation terhadap 450 orang dewasa di Malaysia menunjukkan 80 peratus peserta mempunyai sekurang-kurangnya satu tanda dan gejala penyakit gusi yang ketara.

Soal jawab dalam kajian dinamakan Projek Katsu 2017 itu menunjukkan penyakit gusi yang lazim adalah gusi berdarah atau bengkak, namun hanya satu peratus peserta menyedari mereka mempunyai penyakit gusi.

“Penyakit gusi didapati sangat berleluasa di Malaysia. Gusi yang sihat boleh dicapai melalui penyingkiran plak di kawasan berisiko tinggi seperti poket gusi dan garis gusi.

“Berus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari dan hadir temu janji dengan doktor secara berkala.

“Jangan abaikan tanda-tanda awal penyakit gusi seperti gusi berdarah, gusi merah dan bengkak.

“Dapatkan bantuan profesional dengan segera jika anda mempunyai tanda masalah gusi kerana penyakit gusi boleh diatasi pada peringkat awal.

“Penyakit gusi yang melarat tidak hanya akan menyebabkan kehilangan gigi, tetapi turut dikaitkan dengan masalah kesihatan lain seperti penyakit kencing manis dan jantung,” katanya.

Dr Ahmad Sharifuddin berkata, penyakit gusi boleh dicegah dan beberapa cara dicadangkan pakar pergigian untuk mengekalkan kesihatan gusi khususnya dan bahagian oral secara keseluruhannya.

“Sudah tentu cara paling mudah adalah memberus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari.

“Berus gigi setiap kali selepas makan dan ini membantu membersihkan sisa makanan dan plak yang terperangkap di celah gigi dan gusi.

“Jangan lupa bersihkan lidah kerana ia juga lokasi pengumpulan bakteria. Namun, pastikan anda menggunakan berus gigi sesuai dengan bulu berus yang lembut dan muat dengan mulut anda.

“Tukar berus gigi setiap tiga atau empat bulan sekali atau apabila bulu berus sudah kelihatan haus atau berubah bentuknya,” katanya.

Menurutnya, penggunaan ubat gigi juga membantu membersihkan bahagian oral yang berkesan.

Banyak ubat gigi di pasaran yang mendakwa boleh mengurangkan penyakit gusi, menyegarkan nafas dan memutihkan gigi.

Apa pun jenis ubat gigi digunakan, pastikan anda memilih ubat gigi yang mengandungi bahan florida bagi menguatkan gigi dan melindunginya daripada reput.

“Buatlah pemeriksaan dan mencuci gigi secara berkala. Ini kerana, menerusi pemeriksaan secara tetap doktor gigi dapat mengesan tanda-tanda penyakit gusi lebih awal.

“Oleh itu, ia boleh dirawat segera sebelum masalah menjadi serius.

“Mencuci gigi (scaling) oleh doktor gigi juga satu cara membuang tartar gigi dan plak yang tidak boleh dibersihkan dengan memberus gigi.

“Bagi perokok, berhentilah merokok kerana tabiat buruk ini boleh mencetuskan permulaan penyakit gusi.

“Merokok melemahkan sistem imun, oleh itu ia menyukarkan usaha menangani jangkitan pada gusi, selain gusi yang rosak juga lambat sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara kesihatan oral sempena pelancaran kempen kesedaran kesihatan gusi seluruh negara bertemakan Sayangi Gusi, Selamatkan Gigi. Majlis pelancaran disempurnakan Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr Normah Taharim.

Kempen kesihatan oral bertujuan menggalakkan orang ramai mengambil langkah awal ke arah mendapatkan gusi yang lebih sihat melalui pemeriksaan gusi sebagai usaha untuk mencegah penyakit gusi.

Ia anjuran jenama kesihatan oral, Systema, dengan kerjasama Program Kesihatan Pergigian kementerian, Persatuan Periodontologi Malaysia (MSP) dan Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sepanjang kempen berlangsung, Klinik Pergigian Bergerak yang disediakan Kementerian Kesihatan dan UiTM akan mengadakan lawatan ke pelbagai lokasi di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai mengambil bahagian dan mendapatkan pemeriksaan gusi secara percuma.

Kempen ini menjadi peneraju misi Lion Corporation Japan meningkatkan kesedaran dan mendidik komuniti mengenai menyakit gusi serta penjagaan mulut yang baik.

Dengan semangat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki gusi dan gigi yang sihat, Systema akan mengedarkan 30,000 sampel ubat gigi inovasi terbaru bersama risalah pendidikan kesihatan gusi.

TANDA PENYAKIT GUSI

• Nafas berbau berpanjangan

• Gigi longgar atau tertanggal

• Gusi mudah berdarah

• Gusi membengkak, merah atau keunguan dan lembik

• Gusi luruh

• Jarak antara gigi terbentuk

• Sakit ketika mengunyah

• Gigitan tidak sempurna

JENIS PERIODONTITIS

1. Periodontitis kronik

Ini adalah penyakit gusi paling kerap menyerang orang dewasa, namun turut berlaku kepada kanak-kanak. Berpunca daripada pembentukan plak dan menyebabkan kemerosotan perlahan-lahan dan lama-kelamaan semakin serius sehingga menyebabkan gusi dan tulang rosak, selain gigi mereput.

2. Periodontitis agresif

Biasanya berlaku ketika zaman awal kanak-kanak dan awal dewasa, tetapi hanya menjejaskan sebilangan kecil contohnya dalam satu keluarga. Ia menyebabkan kehilangan gigi dan tulang dengan cepat jika tidak dirawat.

3. Nekrosis periodontal

Penyakit yang dicirikan oleh kematian tisu gusi, ligamen gigi dan tulang sokongan disebabkan kekurangan bekalan darah sehingga berlakunya jangkitan serius.

Penyakit gusi ini biasa berlaku dalam kalangan pesakit dengan masalah sistem imun seperti HIV, rawatan kanser dan kekurangan nutrisi.

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 11:45am
d