sihat

Wad jagaan kaki

Oleh Nurul Husna Mahmud

BAGI mereka yang mempunyai ahli keluarga menghidapi diabetes mellitus Jenis II turut dikenali dengan penyakit kencing manis, semestinya arif dengan keperluan penjagaan rapi buat pesakit.

Penjagaan ketat bukan saja merujuk kepada pemakanan iaitu diet kurang gula, malah perkara paling utama ialah perlu memastikan pesakit tidak melakukan aktiviti yang berisiko mendatangkan kecederaan.

Bagi pesakit kencing manis, luka ibarat satu ‘sumpahan’ dan perlu dielak. Meskipun kecederaan dialami sekecil luka melepuh ketika mengenakan sepatu, ia boleh menjadi komplikasi rumit termasuklah kehilangan anggota bahagian berkenaan.

Dalam istilah perubatan menerangkan implikasinya pada kaki ini merujuk kepada ‘kaki diabetes’ iaitu apabila aliran darah ke kaki sering terganggu akhirnya menimbulkan penyakit pembuluh darah periferal pada kaki. Pembuluh darah ini menyempit kerana adanya timbunan lemak.

Namun, penderita diabetes tidak dapat merasakan sakit atau panas akibat keadaan itu. Ini akan menyebabkan mereka tidak sedar luka yang dialami menjadi besar dan mendapat jangkitan. Jika tidak diberi perhatian dan rawatan secepat mungkin, jangkitan ini boleh merebak ke bahagian tisu sehingga sukar dirawat. Kegagalan mengawal paras gula dalam darah juga akan menyukarkan rawatan dan penyembuhan luka.

Kesannya, tisu akan menjadi hitam dan mati (dipanggil gangren). Biasanya dalam keadaan serius dan untuk menyelamatkan nyawa pesakit, doktor terpaksa membuang (memotong) kaki yang terjejas. Apabila luka pada kaki dijangkiti kuman, penderita diabetes berisiko 25 kali ganda untuk kehilangan kaki mereka.

Pengalaman sendiri

Penulis sendiri pernah melalui pengalaman menjaga ibu yang mengalami komplikasi kecederaan luka kencing manis mengakui proses penjagaan pesakit untuk sembuh sepenuhnya sangat lama sehingga mengambil masa enam bulan.

Meskipun kecederaan ibu penulis ketika itu hanyalah bermula dengan kemalangan kecil iaitu terseliuh ketika menuruni anak tangga tetapi untuk merawatnya memerlukan pembedahan.

Pada awalnya, ibu menyangkakan ia bengkak biasa dan keadaan menjadi lebih teruk apabila kawasan bengkak berubah menjadi kekuningan dan beransur-ansur lebam kebiruan. Gejala lain dialami termasuklah demam mengejut yang teruk sehingga menggigil menandakan kuman sudah mula merebak.

Rentetan itu, ahli keluarga bergegas membawa ibu ke hospital dan dia terpaksa menjalani pembedahan membabitkan pembuangan semua daging di bahagian kaki yang dijangkiti kuman.

Tidak terhenti dengan itu, kami memasuki fasa yang lebih rumit ialah tempoh penyembuhan luka yang panjang. Kaki yang luka perlu dipantau dan dicuci setiap hari. Tambah rumit kerana luka pembedahan itu agak besar, maka risiko mengalami jangkitan juga tinggi.

Implikasi lain ialah ibu tidak boleh bergerak sendiri dan bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk bangun atau duduk. Ketika inilah, ibu yang biasanya ligat bekerja mula berasa tidak selesa dan tertekan.

Penulis beruntung kerana kami adik-beradik bersetuju membantu ayah menjaga ibu secara bergilir-gilir kerana semuanya mahu luka pada kaki ibu sembuh cepat. Kehadiran kami juga secara tidak langsung mengurangkan stres ibu dan ayah.

Timbul persoalan bagaimana situasinya buat mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga yang tahu mengenai penjagaan luka kaki pesakit diabetes?

Keperluan Wad Khusus Penjagaan Kaki

Melihat implikasi penyakit diabetes bukan saja dirasai pesakit, malah ahli keluarga. Kesedaran inilah yang mencetuskan idea untuk mewujudkan wad khusus penjagaan kaki bagi membantu pesakit kembali menjalani kehidupan sebaik mungkin walaupun kehilangan satu anggota.

Penubuhan Wad Jagaan Kaki di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu dijangka dapat menampung keperluan pesakit kaki terutamanya diabetes menerima perkhidmatan kesihatan lebih kualiti.

Wad berkenaan yang menelan belanja lebih RM300,000 hasil sumbangan Wakaf Selangor Muamalat (WSM) dan Berjaya Holding diharap dapat menampung jumlah pesakit kaki akibat kencing manis yang kian meningkat.

Menurut Pakar Ortopedik Prof Madya Dr Yazid Bajuri, keperluan wad berkenaan sangat penting kerana ia turut menawarkan perkhidmatan pelbagai disiplin kepakaran dan rawatan khusus buat pesakit diabetes.

“Sebenarnya apabila terdapat wad khas untuk penjagaan kaki bagi pesakit diabetes, faktor kawalan terhadap persekitaran terutama risiko jangkitan kuman dapat dikawal.

“Berbanding pesakit kaki lain, penderita luka kaki akibat diabetes biasanya mengambil masa lama untuk sembuh selain cukup sensitif dengan jangkitan kuman.

“Bukan mereka tidak boleh bercampur dengan pesakit lain, cuma dikhuatiri risiko luar jangka iaitu kuman daripada pesakit lain boleh menjangkiti pesakit ini kerana daya ketahanan badan mereka lebih rendah berbanding pesakit luka kaki akibat kecederaan kemalangan dan sebagainya.

“Apabila pesakit ini dikumpulkan dalam satu wad, mereka dapat menikmati perkhidmatan rawatan optimum menerusi kaedah pengumpulan pelbagai disiplin kepakaran antaranya pakar endokrin, vaskular, fisioterapi dan pemakanan,” katanya.

Pusat Pendidikan Buat Pesakit dan Ahli Keluarga

Tambah Dr Yazid lagi, selain itu wad berkenaan juga boleh menjadi medan pendidikan buat pesakit dan ahli keluarga. Tanpa ilmu, proses menjaga luka akan menjadi lebih sukar dan ia boleh memberi impak negatif jangka panjang kepada seisi keluarga.

“Kita sedia maklum pesakit kencing manis ini mengalami luka dan ulser yang biasanya lambat sembuh. Jadi mereka dan ahli keluarga perlu ada ilmu untuk merendahkan risiko jangkitan berlaku kepada kaki.

“Stigma masyarakat umum mengenai pesakit diabetes ialah apabila luka merebak, mereka enggan ke hospital kerana khuatir kehilangan anggota berkenaan perlu diubah. Keengganan inilah yang akan meningkatkan risiko kehilangan kaki.

“Jika pesakit datang awal dan mendapatkan rawatan sewajarnya, kaki mereka boleh diselamatkan. Inilah langkah penting yang perlu difahami sebaiknya. Jadi, jika anda mahu menyelamatkan anggota badan anda, sebaik saja menyedari ada luka atau ulser, segeralah pergi menemui doktor untuk mendapatkan rawatan.

“Disiplin diri dalam pengambilan ubat atau insulin sangat penting kerana ia akan membantu proses penyembuhan lebih baik. Sentiasa cuci luka dan biasanya dalam kes luka kronik, kami galakkan pesakit untuk berada di hospital sehingga keadaan luka itu benar-benar terkawal.

“Pada ahli keluarga pula, kami turut memberi panduan mengenai penjagaan luka terutama kaedah mencuci luka boleh mereka praktikkan ketika di rumah. Ini sistem sokongan penting dalam membantu mereka andainya sudah keluar nanti,” katanya.

Penekanan turut diberikan kepada pesakit termasuklah dalam menjaga pemakanan dan melindungi kaki mereka terutama dalam pemilihan kasut yang sesuai.

Disiarkan pada: October 28, 2018 @ 4:00am
d