sihat

Ceria tempuh kehidupan

Oleh Hafiz Ithnin

Mereka dilahirkan seperti insan lain, mempunyai kulit yang sempurna. Tanpa disangka kurniaan itu hanyalah seketika dan lebih menyedihkan, disahkan mengidap psoriasis pada usia masih muda.

Walaupun penyakit psiorasis tiada penawarnya, dua anak muda ini tetap cekal mengharungi cabaran, masih boleh memberikan senyuman manis dan yakin menempuh kehidupan.

Lebih membanggakan, Rocyie Wong, 25, dan Aliff Azhar, 28, ingin terus memberikan inspirasi kepada pesakit psoriasis lain supaya tidak terasa malu dengan keadaan kulit mereka sebaliknya menerima ujian berkenaan dengan hati terbuka.

Sikap dan pemikiran positif amat penting kerana ia tidak saja menguatkan semangat, malah mengurangkan gejala penyakit.

Rocyie berkata, dia mula mengalami simptom kegatalan kulit ketika berumur 14 tahun. Apabila keadaan kulitnya semakin teruk, dia dibawa bertemu doktor dan selepas pemeriksaan, dia disahkan menghidap psoriasis.

Katanya, perkara itu yang berlaku ketika dia masih remaja sememangnya membuatkan emosinya tertekan. Apatah lagi tompokan merah pada kulit yang semakin membesar menyebabkannya mula hilang keyakinan diri. Keadaan kulitnya juga menyebabkan ramai yang menjeling dan merenungnya.

“Keadaan kulit saya sentiasa mendapat perhatian dan kadangkala penat untuk menjelaskan kepada mereka yang tidak pernah tahu mengenai masalah psoriasis.

“Ketika remaja dulu saya memang kurang senang dengan perhatian yang begitu. Namun apabila difikirkan semula, inilah caranya untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai psoriasis. Saya melihatnya dari sisi positif dan inilah peluang saya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa penyakit ini tidak berjangkit.

“Selain keluarga dan rakan, masyarakat juga perlu memberikan sokongan emosi kepada penghidap psoriasis. Sokongan itu boleh bawa banyak perbezaan buat hidup penghidap psoriasis seperti kami,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga kini aktif menjalankan aktiviti kesedaran dan berkongsi pengalamannya sebagai seorang penghidap psoriasis menerusi kempen Project Naked.

Terbaru, pemilik akaun Instagram @rocyie itu juga menjalankan kempen yang menghubungkan penghidap psoriasis di seluruh dunia bagi menyokong antara satu sama lain.

Kempen itulah juga yang membantu Aliff membina semula keyakinannya. Mula mengalami simptom pada usia 18 tahun dan disahkan menghidap psosriasis dua tahun kemudian, Aliff mengakui memang berasa tertekan dengan keadaan kulitnya.

“Saya gemar melakukan aktiviti luar seperti berenang dan mendaki bukit yang memerlukan saya memakai pakaian lebih selesa seperti berseluar pendek.

“Bagaimanapun, perasaan malu menebal apabila kulit seperti ini. Apatah lagi berdepan dengan mereka yang tidak mengetahui mengenai psoriasis,” katanya.

Jejaka kelahiran Shah Alam itu berkata, dalam kempen kesedaran baru-baru ini dia mula membina keyakinan diri selepas melihat ada orang lain yang melalui pengalaman serupa. Dia belajar untuk tidak lagi berasa malu dengan keadaan kulitnya. Malah, dia semakin terbuka untuk bercerita mengenai psoriasis sekiranya ada yang bertanya.

Aliff juga optimis penyakit itu dapat diubati meskipun ketika ini ubat untuk menyembuhkan psoriasis masih belum ditemui.

“Saya percaya pada masa depan akan ada penawar bagi penyakit ini kerana penyelidikan mengenainya terus dilakukan di seluruh dunia dan tidak mustahil mereka dapat membantu menyembuhkan penghidap psoriasis.

“Pada masa sama, saya juga sentiasa memastikan tidak menggaru kulit sehingga luka kerana ia akan menyebabkan kesan tompokan semakin membesar. Selain itu, penjagaan kebersihan diri dan tidak mendedahkan kulit terlalu lama bawah cahaya matahari juga membantu penjagaan kulit,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 12:31am
d