sihat

Bahaya plastik terhadap kehidupan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MANUSIA dan plastik bagai tidak boleh dipisahkan kerana ramai bergantung kepada penggunaan barangan plastik dalam kehidupan harian.

Boleh dikatakan setiap rumah pasti mempunyai barangan plastik kerana kelebihannya tahan lama, kalis air, cantik dan murah menyebabkan ia sentiasa menjadi pilihan masyarakat selain membantu memudahkan banyak urusan harian mereka.

Tidak kurang juga ramai menganggap lambakan penggunaan bahan plastik sebagai isu remeh sehinggakan mereka membuang sampah merata-rata dan bukan di tempat sepatutnya.

Namun di sebalik itu, ramai tidak menyedari plastik adalah musuh ‘senyap’ kepada manusia dan boleh ‘membunuh’.

Perkara itu dikongsikan Pakar Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Dr Mustafa Ali Mohd bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya plastik kepada manusia dan alam sekitar.

Menurutnya, ada tiga bahan asas dalam membuat plastik iaitu phthalate, bisphenol A (BPA) dan kadangkala dicampur juga bahan polybrominated diphenyl ethers (PBDEs).

“Phthalate adalah bahan paling banyak digunakan dan berfungsi melembutkan plastik yang keras.

“Kedua tertinggi adalah BPA sebagai bahan menjadikan plastik lebih keras, tahan lama dan menghalangnya daripada pudar.

“Ketiga adalah PBDEs dan bahan ini menjadikan plastik kalis air yang banyak digunakan dalam penghasilan telefon bimbit dan barangan elektrik,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, wujud campuran beberapa bahan lain yang lebih bertoksik seperti pewarna dan pewangi dalam penghasilan plastik bagi meningkatkan kualiti barangan itu secara tidak langsung mendedahkan lagi risiko bahaya kepada manusia.

Jelasnya, plastik pada asasnya berbentuk polimer berantai panjang (seperti tasbih) dan apabila terlerai menjadi molekul kecil yang dipanggil monomer.

“Apabila ia terurai maka terhasillah BPA dan phthalate dalam air atau tanah yang akhirnya masuk ke dalam tubuh manusia serta haiwan.

“Apabila bahan ini (phthalate dan BPA) masuk ke dalam tubuh manusia ia akan tersimpan di dalam lemak dan boleh menyebabkan gangguan sistem badan terutama pada kanak-kanak.

“Kandungan phthalate yang banyak dalam darah atau badan manusia boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti,” katanya.

Selain itu katanya, kesan lain adalah gangguan terhadap organ pembiakan terutama kepada kanak-kanak termasuk kelewatan akil baligh.

“Satu perkara amat penting untuk diketahui, bahan ini boleh mengganggu proses pembentukan janin dalam kandungan sekiranya ibu banyak terdedah kepada phthalate.

“Ada beberapa kemungkinan lain yang boleh terjadi seperti kecacatan dan bayi akan mengalami gangguan organ pembiakan apabila dewasa kelak,” katanya.

Jelasnya, ada laporan mengaitkan plastik dengan masalah kesihatan lain termasuk kanser.

Bagaimanapun kajian itu menyebut kesan bahaya plastik kepada manusia hanya dapat dilihat selepas 40 tahun.

Oleh itu, kemungkinan besar peningkatan penyakit kanser yang berlaku mutakhir disebabkan penggunaan plastik secara berleluasa dan berterusan sejak sekian lama.

Dalam kajian lain menunjukkan 10 peratus daripada semua plastik yang dikeluarkan di seluruh dunia berakhir di lautan dan kemudian membentuk ‘Pulau Sampah’ di tengah Lautan Pasifik.

Menjawab persoalan itu, Dr Mustafa berkata, plastik yang terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik.

Mikroplastik adalah zarah plastik berukuran antara lima milimeter (mm) dan 0.1 mikrometer (um) manakala nanoplastik pula saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009.

“Kedua-dua bahan ini akan terkumpul dalam badan hidupan laut iaitu ikan apabila memakan plankton atau tumbuhan laut yang sudah dicemari mikroplastik dan nanoplastik.

“Ia akan terkumpul dalam badan ikan kerana haiwan ini tidak mampu menghadam dua bahan berkenaan. Pengumpulan bahan ini yang banyak akan menyebabkan kehidupan haiwan ini terganggu atau boleh mengakibatkan kematian jika jumlahnya terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata, manusia yang makan ikan dicemari mikroplastik dan nanoplastik akan menerima kesan yang hampir sama seperti haiwan berkenaan.

Jelasnya, kehadiran bahan-bahan itu tidak boleh dirasai manusia kerana mikroplastik dan nanoplastik tidak berbau atau berwarna tetapi bahan kimia berkenaan akan meresap dalam tubuh manusia sehingga memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Ancaman senyap daripada penggunaan barangan plastik membimbangkan banyak pihak.

Kesedaran inilah yang menggerakkan sekumpulan penyelidik dari Universiti Lund, Sweden menjalankan kajian ke atas nanoplastik.

Penyelidik mendapati nanoplastik yang terkumpul dalam tisu otak ikan menyebabkan perubahan tingkah lakunya menjadi seperti tidak aktif. Senario itu menunjukkan betapa bahayanya kesan plastik terhadap alam sekitar, manusia dan hidupan lain.

Dr Mustafa berkata, plastik mengambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada di mana bahan itu berada.

“Apabila bahan ini susah hendak mereput ia akan menambahkan lagi bilangan plastik sedia ada hingga menjadi beban kepada alam sekitar.

“Masyarakat perlu bekerjasama dan berusaha ke arah mengurangkan penggunaan plastik. Berfikir sebelum menggunakan bahan ini sama ada ia benar-benar perlu atau tidak,” katanya.

Menurutnya, sebagai contoh kehadiran botol plastik beraneka saiz bagi mengisi air mineral atau air minuman untuk jualan adalah satu perbuatan yang menambahkan lagi penggunaan plastik dalam kehidupan harian.

“Ada banyak langkah untuk mengurangkan bebanan plastik kepada alam sekitar dan kehidupan, contohnya bertukar kepada penggunaan bekas minuman seperti botol kaca atau bekas yang lebih mesra alam.

“Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian punca pencemaran dan punca bahaya akan dapat dielakkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 9:01am
d