sihat

Atasi mabuk kenderaan

Oleh HM Digital

Musim cuti sekolah adalah sesuatu menggembirakan buat seisi keluarga yang merancang waktu kualiti dengan pelbagai aktiviti rekreasi.

Namun dalam perjalanan menuju ke destinasi percutian, masalah sering dihadapi individu ialah mabuk kenderaan.

Mabuk tidak semestinya disebabkan pengambilan alkohol, sebaliknya ia satu tindak balas normal disebabkan pergerakan luar biasa yang berintensi tinggi dan mengambil tempoh lama.

Istilah biasa sering diguna ialah mabuk laut merujuk ketika menggunakan perjalanan di kapal atau feri atau mabuk kereta merujuk kepada perjalanan menggunakan kenderaan.

Mereka berisiko termasuklah pengguna bagi perjalanan laut, udara mahupun darat termasuklah pengguna kereta api.

Gejala itu termasuklah;

• Loya

• Berpeluh

• Pening

• Berasa penat

• Muntah-muntah (Gejala ini jarang berlaku dalam kalangan bayi di bawah dua tahun dan kebanyakan yang mengalaminya berusia antara tiga tiga hingga 12 tahun).

Pencegahan boleh dilakukan menerusi kaedah berikut seperti

1. Tidak memulakan perjalanan dengan perut kosong. Namun elak pengambilan makanan berlebihan.

2. Bagi kanak-kanak mudah mengalami masalah ini, elak makan banyak sebelum atau semasa perjalanan.

3. Jika loya, letakkan kedudukan kepala stabil atau dalam pegun, hentikan aktiviti boleh memburukkan lagi keadaan mabuk seperti membaca atau menonton sesuatu.

4. Tingkatkan pengudaraan dalam ruang diduduki.

5. Pengambilan bahan semula jadi boleh mengurangkan mabuk seperti halia digalakkan.

6. Alih kepada posisi betul:

• Kereta: Duduk bahagian penumpang depan dan halakan pandangan ke depan berbanding memandang tingkap sisi.

• Bot: Cuba berada di bahagian tengah. Baring secara terlentang dengan kepala disokong bantal. Pastikan kepala pegun dan mata tertutup. Jika di atas dek, halakan posisi ke bahagian hadapan.

• Kapal terbang: Dapatkan tempat duduk di bahagian tengah kabin kerana pergerakan adalah kurang ketara. Bersandar di kerusi, pegunkan kepala dan pandang ke hadapan.

Pengambilan ubat seperti antihistamin atau scopolamines seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 12:35am
d