sihat

Bijak pilih ubat tradisional

Oleh Nurul Liyana Samsuddin

PRODUK herba sudah digunakan sejak turun-temurun oleh segolongan masyarakat untuk meningkatkan tahap kesihatan. Kini, ia bukan saja dijual di tepi jalan dan kaki lima, bahkan menerusi pelbagai saluran media seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram.

Produk herba diklasifikasi dalam kategori produk tradisional dan ia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dijual di pasaran. Produk tradisional tidak boleh dicampur dengan sebarang ubat terkawal.

Produk tradisional yang berdaftar dengan KKM mempunyai dua ciri utama, iaitu label keselamatan pelekat Hologram Meditag dan nombor pendaftaran.

Nombor pendaftaran yang khusus ini bermula dengan huruf ‘MAL’ diikuti lapan digit nombor pendaftaran dan diakhiri huruf ‘T’ yang bermaksud tradisional. Contohnya MAL12345678T.

Pastikan produk tradisional yang ada dalam pasaran berdaftar sebelum membelinya. Produk yang tidak berdaftar dengan KKM tidak dapat dipastikan kandungan, kualiti dan keselamatannya.

Pengguna harus bijak memilih produk yang hendak dibeli. Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara melalui http://npra.moh.gov.my.

Maklumat berkaitan status pendaftaran sesuatu produk ubat atau produk kesihatan boleh disemak dengan memasukkan nombor pendaftaran atau nama produk di laman itu. Produk yang tidak wujud dalam sistem dikhuatiri ketulenannya dan harus dielakkan.

Namun, sehingga kini masih banyak lagi produk tradisional yang tidak berdaftar dan dijual secara meluas di pasaran tempatan. Permintaan yang tinggi menyebabkan segelintir pengusaha berlumba-lumba menghasilkan ubat tradisional dan memasarkan produk mereka tanpa didaftarkan terlebih dahulu dengan KKM.

Ada segelintir pengeluar tidak bertanggungjawab dan terlalu ghairah mengejar keuntungan mencampurkan bahan terlarang atau ubat terkawal ke dalam produk mereka.

Perkara ini dilakukan bagi melariskan produk dengan meyakinkan pengguna mengenai keberkesanan produk

dalam jangka masa yang pendek.

Masyarakat diingatkan pengambilan produk tradisional yang dicampur palsu dengan ubat terkawal boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan.

Dalam keadaan serius, ia berkemungkinan menyebabkan kematian. Ubat terkawal hanya boleh digunakan atas nasihat doktor di mana kesan terapeutik dan kesan sampingan ubat berkenaan dipantau secara langsung oleh doktor.

Di samping itu, pengusaha ubat tidak berdaftar juga mengiklankan keberkesanan produk secara melampau dan berlebihan. Iklan yang menarik berjaya mengaburi mata pengguna dan produk mereka mendapat permintaan tinggi. Pesakit kronik yang ingin kembali sihat dan golongan wanita idamkan kecantikan adalah kumpulan yang sering dijadikan sasaran.

Pesakit kronik seperti pesakit kencing manis dan tekanan darah tinggi dinasihat berbincang dengan doktor atau ahli farmasi yang bertauliah sebelum mengambil produk tradisional.

Kesesuaian pengambilan produk tradisional adalah berbeza antara individu, bergantung kepada keadaan pesakit. Penggunaan sesetengah produk tradisional boleh membebankan fungsi buah pinggang dan hati apabila kedua-dua organ ini terpaksa bekerja lebih untuk menyingkirkan pelbagai bahan aktif yang terkandung dalam produk tradisional.

Selain itu, produk tradisional juga mungkin mengandungi bahan yang meningkatkan risiko interaksi atau tindak balas ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit.

Interaksi antara produk tradisional ubatan mungkin boleh mengganggu proses rawatan diberikan atau menyebabkan kesan sampingan.

Sekiranya orang awam mendapat maklumat berkaitan penjualan produk tradisional tidak berdaftar dalam pasaran, aduan boleh dibuat terus kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM, mana-mana pejabat cawangan penguatkuasaan farmasi negeri atau melalui Sistem Pengaduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (SisPAA KKM) secara dalam talian agar tindakan boleh diambil terhadap penjual tidak bertanggungjawab.

Kesimpulannya, pilihan ada di tangan pengguna. Untuk kesihatan yang optimum, kunci utamanya amalan cara hidup sihat dengan sentiasa bersenam, pemakanan seimbang dan sentiasa berfikiran positif.

Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkenaan penggunaan ubat-ubatan dan produk kesihatan, hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre -NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang).

Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Manir Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 6:01am
d