sihat

Ujian setitis darah berkesan

Oleh Nurul Husna Mahmud

PENGENDALI penginapan kolam air panas di Jepun, Masazo Nonaka yang berusia 112 tahun, dinobatkan sebagai orang tertua di dunia.

Malah beberapa tahun lalu, Jiroemon Kimura yang juga berbangsa Jepun pernah memegang rekod itu hinggalah beliau meninggal dunia enam tahun lalu ketika berumur 116.

Rekod dunia yang kerap dipegang oleh warga negara matahari terbit itu memperlihatkan penduduknya mempunyai jangka hayat terpanjang di dunia termasuk meniti usia tua dengan kualiti kesihatan baik.

Banyak teori diketengahkan pengkaji dalam meneliti faktor yang menyumbang kepada hayat penduduk Jepun meskipun dibebani konflik seperti tekanan hidup, waktu kerja panjang, kadar merokok dan pengambilan minuman beralkohol yang tinggi.

Satu perkongsian oleh Ajinomoto Co mengenai rakyat Jepun mengamalkan ‘kenkoshindan’ yang merujuk pada kekerapan saringan kesihatan.

Amalan penjagaan kesihatan itu diamalkan di sekolah, tempat kerja dan komuniti. Justeru, tidak hairan pengesanan penyakit dapat dilakukan awal apabila masyarakat membudayakan sikap berkenaan.

Namun penambahbaikan perlu dilakukan termasuk mempertingkatkan lagi amalan saringan kesihatan itu dengan menyasarkan saringan kanser. Berdasarkan rekod Pusat Kanser Kebangsaan Jepun, dianggarkan 300,000 nyawa penduduknya hilang akibat kanser setiap tahun.

Melihat pada aspek berkenaan, Ajinomoto Co membangunkan Saringan Risiko AminoIndexTM (AICSTM) berdasarkan tempoh penyelidikan panjang terhadap asid amino. AICSTM adalah mudah bagi doktor dan pesakit, ia hanya memerlukan 5ml darah ketika kunjungan rutin berjumpa doktor.

Pada lelaki, ia mengesan kanser perut, paru-paru, kolorektum, pankreas dan prostat manakala pada wanita, ia mengesan kanser perut, paru-paru, kolorektum, pankreas, payudara dan rahim/ovari.

Kepekatan 19 asid amino yang berbeza dianalisis. Berdasarkan pangkalan

data sejarah, profil kepekatan normal untuk individu yang sihat diketahui, begitu juga

profil bagi setiap jenis kanser yang diuji. Menerusi perbandingan profil pesakit dengan pangkalan data, kanser dapat dikesan lebih jitu.

Menariknya ujian sama boleh dijalankan untuk pengesanan penyakit lain termasuk kencing manis. Ini penting bagi mengkaji manfaat daripada kemudahan saringan AICSTM.

Berbanding kaedah penyaringan kanser lain, AICSTM masih baharu, dan pada masa ini ia hanya dikaji dalam kalangan orang Jepun. Bagaimanapun, lebih 150,000 orang Jepun sudah menjalani ujian berkenaan dan ratusan ribu lagi dijangka mengambil ujian

ini pada tahun akan datang.

Ajinomoto Co berharap dapat menyokong negara lain untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai teknologi AICSTM bagi memenuhi keperluan mereka. Ia dilihat sebagai tanggungjawab dalam mempertingkatkan kesihatan komuniti serata dunia.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 8:04am
d