sihat

Awas bengkak di leher

Oleh HM Digital

Sudah beberapa bulan Rahmat menyedari bengkak di bahagian lehernya. Namun, disebabkan ia tidak sakit atau merimaskan, Rahmat menganggap ia bengkak biasa.

Ramai dalam kalangan kita mungkin pernah mengalami gejala seperti ini. Jangan pandang remeh kerana sebarang gejala pada tubuh kita mungkin ada kaitan dengan penyakit berbahaya seperti kanser.

Gejala yang dialami Rahmat itu mungkin ada kaitan dengan limfoma. Penyakit hematologi adalah masalah berkaitan sel darah merah, sel darah putih, sel platelet, sumsum tulang, nodus limfa dan masalah dalam proses pendarahan dan pembekuan.

Sementara limfoma pula sejenis kanser darah berasal dari sel limfositik dalam badan. Sel limfositik ini terdiri daripada sel limfositik B dan T adalah antara sel yang membantu menjaga kemampuan tubuh melawan penyakit.

Limfoma berlaku apabila sel-sel ini menjadi tidak normal dan membahagi lebih cepat atau hidup lebih lama daripada biasa. Limfoma boleh berlaku di beberapa bahagian tubuh contohnya nodus limfa, limpa, sumsum tulang dan organ lain dalam badan.

Ada beberapa jenis limfoma yang dikenal pasti. Limfoma yang sering ditemui adalah limfoma non-Hodgkin dan limfoma Hodgkin. Ia boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Faktor risiko

Secara umumnya, sebagaimana kebanyakan kanser lain, penyelidik masih belum dapat memastikan punca sebenar menyebabkan limfoma walaupun ia lebih kerap berlaku kepada orang tertentu. Bagaimanapun ada penyelidikan untuk mengenal pasti faktor risiko yang menyebabkan kedua-dua limfoma ini.

Limfoma non-Hodgkin

• Umur: Biasanya 60 tahun dan ke atas

• Jantina: Ada kadar berbeza bagi penghidapnya di seluruh dunia

• Etnik dan lokasi: Biasanya di negara maju seperti Amerika Syarikat, masyarakat berkulit putih lebih terdedah berbanding etnik Afrika-Amerika dan Asia-Amerika.

• Bahan kimia dan radiasi: Pendedahan kepada bahan kimia yang digunakan dalam pertanian turut dikaitkan sebagai antara punca

• Kekurangan daya tahan: Sebagai contoh disebabkan jangkitan HIV dan pemindahan organ. Pesakit yang menjalani pemindahan organ harus mengambil ubat yang mengawal daya tahan melawan penyakit agar badan sendiri tidak menyerang organ yang baru diterima. Pesakit sebegini juga mempunyai risiko untuk mendapat limfoma non-Hodgkin.

Penyakit autoimun di mana sistem pertahanan badan menyerang sel badan sendiri.

Jangkitan virus dan bakteria tertentu yang meningkatkan risiko.

Limfoma Hodgkin

• Jangkitan virus Epstein-Barr

• Umur: Terbahagi kepada dua kumpulan - 20-an dan 55 tahun ke atas.

• Jantina: Biasanya dalam kalangan lelaki.

• Keluarga: Risiko lebih tinggi jika ada kembar seiras

Pesakit yang dijangkiti HIV mempunyai risiko untuk mendapat limfoma Hodgkin

• Geografi: Penyakit ini lebih sering ditemui di Amerika, Kanada dan Eropah Utara

Antara gejala atau simptom yang dikaitkan dengan kanser limfoma ialah:

• Bengkak tanpa rasa sakit di bahagian leher

• Ketiak atau pelipat pangkal paha

• Penurunan berat badan mendadak

• Hilang selera makan

• Demam yang berpanjangan

• Berpeluh secara tiba-tiba pada malam hari

• Susah bernafas

• Berasa letih sepanjang masa

• Kegatalan yang mungkin lebih selepas minum alkohol

Diagnosis dan rawatan

Sekiranya mana-mana individu mempunyai gejala yang disebut di atas, mereka perlu mendapat nasihat dan rawatan daripada doktor.

Jika diagnosis limfoma disahkan oleh biopsi, ujian lanjut dijalankan untuk menentukan peringkat kanser dan melihat sama ada ia sudah merebak ke bahagian badan yang lain.

Selepas itu dilakukan pemeriksaan teliti melalui pemeriksaan darah, sinar-X dada dan imbasan-CT bahagian badan yang disyaki terbabit.

Sekiranya ada benjol atau pembengkakan di mana-mana bahagian tubuh maka sampel tisu yang benjol itu diambil untuk mendapat diagnosis yang tepat.

Bergantung kepada jenis dan tahap limfoma, rawatan limfoma mungkin membabitkan rawatan kemoterapi, radioterapi di samping rawatan lain yang disyorkan pakar hematologi. Tanpa rawatan khusus penyakit ini boleh merebak dan menyebabkan maut.

Pilihan rawatan

• Kemoterapi

• Terapi imunologi dengan antibodi monoklonal dan farmaseutikal biologi lain

• Radioterapi

• Pemindahan sel stem

• Pembedahan (dalam kes tertentu)

Disiarkan pada: February 3, 2019 @ 6:02am
d