sihat

Rawat segera bila disengat lebah!

Oleh myhealth

LEBAH adalah serangga terbang sosial yang hidup berkumpulan, popular dengan peranannya dalam proses pendebungaan, menghasilkan madu serta lilin lebah. Di sebalik hukum alam yang dilaksanakan, lebah juga menjadi ‘musuh’ manusia sekiranya serangga berkelompok ini berasa terancam dengan kehadiran entiti lain termasuk binatang ternakan.

Ini dibuktikan dengan laporan media kejadian maut membabitkan mangsa terkena sengatan lebah. Berikut antara gejala, komplikasi serta rawatan awal boleh dilakukan.

Gejala

- Kemerahan, bengkak, sakit dan gatal di kawasan terkena sengatan.

- Rasa sakit akan cepat hilang tetapi bengkak boleh berlarutan lebih satu hari.

Bagi mereka yang alah dengan sengatan lebah pula mengalami situasi:

- Benjolan pada permukaan kulit dan gatal seluruh badan.

- Bengkak pada mulut, tekak atau kedua-duanya.

- Pernafasan berbunyi ‘berdehit’.

- Sesak nafas

- Loya, muntah

- Sakit dada

Komplikasi

Banyak sengatan boleh mengakibatkan komplikasi kronik termasuk kerosakan otot, kegagalan ginjal dan berakhir dengan kematian. Satu sengatan di dalam mulut kanak-kanak boleh mengakibatkan salur pernafasan bengkak. Kanak-kanak dan warga emas berisiko tinggi mengalami tindak balas serius.

Rawatan awal

1. Cabut penyengat yang tertinggal di tempat sengatan

Penyengat perlu dikeluarkan secepat mungkin menerusi sebarang kaedah yang dibolehkan. Kajian menunjukkan tiada perbezaan pada jumlah racun yang masuk ke dalam tubuh sekiranya penyengat dikeluarkan secara mencubit atau dikikis.

Lewat mengeluarkan penyengat (walaupun beberapa saat) boleh mengakibatkan lebih banyak racun masuk ke tubuh.

2. Tekap ais pada bahagian anggota yang disengat untuk mengurangkan bengkak.

3. Rehat dan tinggikan anggota badan yang terkena sengat.

Dapatkan nasihat perubatan secepat mungkin. Dua peratus individu yang disengat boleh mendapat kejutan anafilatik terhadap protein tertentu dalam racun sengatan. Ia boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan kecemasan.

4. Satu suntikan adrenalin diperlukan individu yang mengalami tindak balas renjatan.

5. Imunisasi tetanus disarankan.

Bahagian yang disengat mungkin terasa sakit untuk beberapa jam. Bengkak dan gatal mungkin berterusan selama seminggu. Elak menggaru kerana ia akan meningkatkan lagi rasa gatal dan bengkak.

Sekiranya individu terkena lebih 10 sengatan atau sengatan di dalam hidung, mulut dan tekak, mereka berisiko mengalami sesak nafas akibat tindak balas anafilaktik atau pembengkakan di tempat sengatan.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 4:30am
d