sihat

Sakit mata mudah berjangkit?

Oleh Hazlin Syafinar Hussein;

Pegawai Farmasi di Bahagian PerkhidmatanFarmasi, Jabatan Kesihatan Perlis

KONJUNKTIVITIS berlaku apabila timbul keradangan pada selaput konjunktiva mata. Selaput konjunktiva adalah selaput lut sinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata. Fungsi utamanya adalah menghasilkan lapisan kelembapan semula jadi dan melindungi mata.

Konjunktivitis adalah penyakit yang kerap melanda kalangan dewasa dan kanak-kanak. Konjunktivitis boleh berjangkit melalui sentuhan secara fizikal. Ia juga boleh disebabkan jangkitan kuman (bakteria atau virus) atau alahan. Selain itu, alergen (bahan yang boleh menyebabkan alahan) seperti debu hama, debunga, bulu dan kulit mati haiwan juga boleh menyebabkan konjunktivitis.

Konjunktivitis juga boleh disebabkan alahan terhadap bahan kimia seperti produk kosmetik, minyak wangi dan penggunaan kanta lekap. Antara tanda yang biasa dialami pesakit adalah mata merah, berair, pedih, discaj berlebihan dan kegatalan pada mata.

Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital bagi mengenal pasti punca konjunktivitis agar rawatan sesuai dapat diberi. Bagi jangkitan yang disebabkan bakteria, biasanya doktor merawat menggunakan ubat topikal antibiotik dalam bentuk titis dan salap mata.

Bagi konjunktivitis yang disebabkan alahan pula, ubat antihistamin boleh diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan gejala gatal dan kesan alahan pada mata.

Cara guna ubat titis mata

Bagi memastikan kesan yang optimum ubat titis mata, teknik yang betul perlu diamalkan pesakit iaitu:

1. Cuci tangan dengan menggunakan air dan sabun sehingga bersih.

2. Lap kawasan mata dengan kain bersih atau kertas tisu bagi membuang kekotoran yang melekat di kawasan mata.

3. Baca label pada ubat titis mata untuk arahan penggunaan atau tarikh luput.

4. Buka penutup botol ubat titis mata.

5. Dongakkan sedikit kepala.

6. Tarik bahagian bawah kelopak mata sehingga mempunyai ruang yang mencukupi untuk meletakkan ubat.

7. Dekatkan penitis ke bahagian bawah kelopak mata yang ditarik. Pastikan hujung penitis tidak menyentuh mana-mana bahagian mata.

8. Picit botol ubat titis mata dan titiskan dos seperti yang disaran.

9. Tutup mata selama lebih kurang seminit supaya ubat dapat diserap ke dalam mata.

10. Lap lebihan ubat titis mata menggunakan kain bersih atau kertas tisu.

11. Ulangi langkah tadi selepas lima minit jika perlu menggunakan lebih daripada satu jenis ubat titis mata. Bagi pesakit yang perlu menggunakan ubat titis dan juga ubat salap, gunakan ubat titis mata terlebih dahulu.

Sekiranya pesakit terlupa menggunakan ubat titis mata, pesakit dinasihatkan supaya menggunakannya sebaik saja teringat. Namun, jika menghampiri waktu dos berikutnya, abaikan dos yang tertinggal dan patuhi arahan asal. Elakkan daripada menggandakan dos.

Antara kesan sampingan yang mungkin dialami pesakit selepas menggunakan ubat-ubatan ini adalah seperti rasa sakit pada mata, penglihatan menjadi kabur, mata merah atau mengalami iritasi. Dalam situasi ini, pesakit dinasihatkan segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Cara penyimpanan

Ada ubat titis mata yang perlu disimpan di tempat dingin dan kering. Ada sesetengah jenis pula yang perlu disimpan di dalam peti sejuk. Walaupun di mana, pastikan ia disimpan di tempat yang selamat dan jauh daripada capaian kanak-kanak.

Pesakit boleh dapat informasi berkaitan tempat penyimpanan ubat titis mata dengan membaca label pada ubat atau mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi.

Buang lebihan ubat selepas tamat tempoh rawatan atau seperti yang diarahkan oleh ahli farmasi. Elak penggunaan ubat yang tamat tarikh luput.

Elakkan juga berkongsi ubat titis mata dengan individu lain bagi mengurangkan risiko jangkitan walaupun mereka menunjukkan gejala serupa.

Pesakit dinasihat meneruskan penggunaan ubat mata sehingga tamat tempoh rawatan seperti disyorkan doktor atau ahli farmasi walaupun keadaan pesakit bertambah baik supaya penyakit tidak berulang.

Kawalan jangkitan

Konjunktivitis yang disebabkan bakteria atau virus boleh berjangkit dengan mudah. Oleh itu, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran jangkitan penyakit ini.

Caranya ialah:

- Elak sentuhan fizikal dengan pesakit konjunktivitis

- Cuci tangan menggunakan sabun dan air sebelum dan selepas menyentuh mata

- Elak berkongsi tuala dan barang peribadi dengan orang lain.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian bebas tol 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, mulai jam 8 pagi hingga 5 petang).

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 5:00am
d