sihat

Ancaman kesihatan global

Oleh Zaitie Satibi

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun bagi memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sambutan yang diadakan dengan tema berbeza setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kesihatan global semasa yang khusus.

Tema tahun ini Perlindungan Kesihatan Sejagat: Setiap Orang, Di Mana Pun; bagi memastikan semua orang dalam masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Ia termasuk spektrum perkhidmatan yang diperlukan sepanjang hayat bermula daripada promosi kesihatan kepada pencegahan, rawatan, pemulihan dan penjagaan paliatif berasaskan sistem penjagaan kesihatan utama.

Dunia menghadapi pelbagai cabaran kesihatan termasuk wabak penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin seperti demam campak dan difteria, peningkatan kes patogen tahan ubat, peningkatan kadar obesiti, pencemaran alam sekitar dan perubahan iklim serta pelbagai krisis kemanusiaan.

Sehubungan itu, 2019 menjadi tahun permulaan pelan strategik lima tahun untuk WHO menangani ancaman terbabit.

Pelan ini akan memberi tumpuan kepada sasaran tiga bilion iaitu memastikan satu bilion orang mendapat manfaat daripada akses kepada liputan kesihatan sejagat, satu bilion dilindungi daripada kecemasan, manakala bakinya dapat menikmati kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik.

Berikut adalah 10 ancaman kesihatan global terbesar pada 2019 jika tidak diatasi akan menjejaskan jutaan nyawa di seluruh dunia.

1. Pencemaran udara dan perubahan iklim

Sembilan daripada 10 orang dikatakan menghirup udara tercemar setiap hari. Oleh itu, WHO meletakkan pencemaran udara sebagai risiko alam sekitar paling besar untuk kesihatan pada tahun ini.

Pencemaran mikroskopik di udara boleh menembusi sistem pernafasan dan peredaran darah, merosakkan paru-paru, jantung dan otak, malah membunuh tujuh juta orang setiap tahun daripada penyakit seperti kanser, strok, sakit jantung dan paru-paru.

Sekitar 90 peratus daripada kematian ini di negara berpendapatan rendah dan sederhana dengan jumlah pelepasan yang banyak dari industri, pengangkutan dan pertanian termasuk dapur serta bahan api kotor di rumah.

Penyebab utama pencemaran udara (pembakaran bahan api fosil) juga penyumbang utama kepada perubahan iklim yang memberi kesan kepada kesihatan rakyat dalam pelbagai cara. Antara 2030 dan 2050, perubahan iklim dijangka menyebabkan kira-kira 250,000 kematian tambahan setahun daripada malnutrisi, malaria, cirit-birit dan tekanan haba.

2. Penyakit tidak berjangkit (NCD)

Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser dan penyakit jantung secara kolektif bertanggungjawab untuk lebih daripada 70 peratus daripada semua kematian di seluruh dunia. Ini termasuk 15 juta kematian pramatang iaitu kematian di bawah umur 70 tahun.

Lebih 85 peratus daripada kematian pramatang ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Peningkatan NCD didorong oleh lima faktor risiko utama iaitu penggunaan tembakau, tidak aktif fizikal, pengambilan alkohol berlebihan, diet tidak sihat dan pencemaran udara.

Faktor risiko ini juga memburukkan lagi masalah kesihatan mental yang mungkin berasal dari usia awal.

Separuh daripada semua penyakit mental bermula pada usia 14 tahun, tetapi kebanyakan kes tidak dapat dikesan dan tidak dirawat.

Bunuh diri pula dikatakan penyebab utama kematian kedua bagi kumpulan usia antara 15 hingga 19 tahun.

3. Wabak influenza

Dunia dikatakan bakal menghadapi satu lagi pandemik influenza, namun satu-satunya perkara yang kita tidak tahu, bila ia akan melanda dan kesan buruknya.

Pertahanan global hanya berkesan sebagai pautan paling lemah dalam sistem persediaan dan tindak balas kecemasan kesihatan mana-mana negara.

WHO sentiasa mengawasi peredaran virus influenza untuk mengesan potensi pandemik membabitkan 153 institusi di 114 negara yang menyertai dalam pengawasan dan tindak balas global.

4. Tempat tinggal rapuh dan terdedah risiko

Lebih 1.6 bilion atau 22 peratus penduduk global tinggal di kawasan krisis yang berlarutan seperti kemarau, kebuluran, konflik dan penghijrahan penduduk serta perkhidmatan kesihatan yang lemah menyebabkan mereka tidak mendapat akses kepada penjagaan asas.

Penempatan rapuh sedemikian wujud di hampir semua kawasan di dunia dan situasi ini adalah separuh daripada sasaran utama dalam matlamat pembangunan mampan termasuk kesihatan ibu dan anak yang tidak dipenuhi.

5. Kerintangan ubat antimikrob

Perkembangan antibiotik, antivirus dan antimalaria adalah beberapa kejayaan terbesar dalam perubatan moden.

Namun, bakteria didapati semakin bijak beradaptasi dengan ubatan yang ada menyebabkan berlakunya kerintangan ubat antimikrob.

Keupayaan bakteria, parasit, virus dan kulat untuk menentang ubat-ubatan turut mampu menggagalkan usaha mencegah jangkitan yang membahayakan pembedahan dan prosedur serius seperti kemoterapi.

Rintangan kepada ubat tuberkulosis adalah halangan yang besar memerangi penyakit yang menyebabkan kira-kira 10 juta orang jatuh sakit, manakala 1.6 juta lagi meninggal dunia setiap tahun.

Pada 2017, kira-kira 600,000 kes batuk kering rintang terhadap rifampicin iaitu ubat barisan pertama yang paling berkesan dan 82 peratus daripada jumlah kes itu didapati mempunyai kuman tuberkulosis yang rintang terhadap pelbagai ubat.

6. Ebola dan penyakit berbahaya lain

Pada 2018, Republik Demokratik Congo dilanda dua wabak Ebola berasingan yang merebak ke bandar-bandar yang mempunyai lebih sejuta penduduk. Malah, satu daripada wilayah yang terjejas berada dalam zon konflik yang aktif.

Ini menunjukkan konteks wabak patogen dengan ancaman tinggi seperti Ebola meletus adalah kritikal dan tidak semestinya berlaku di kawasan luar bandar.

Selain Ebola, senarai pantauan WHO untuk penyelidikan dan pembangunan termasuk penyakit lain seperti Zika, Nipah, Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mewakili keperluan untuk mempersiapkan sesuatu bagi menghadapi patogen tidak diketahui yang boleh menyebabkan wabak yang serius.

7. Penjagaan kesihatan utama yang lemah

Penjagaan kesihatan utama biasanya titik pertama hubungan manusia dengan sistem penjagaan kesihatan mereka dan secara idealnya harus menyediakan penjagaan yang komprehensif, berpatutan serta berasaskan komuniti sepanjang hayat.

Ia memenuhi sebahagian besar keperluan kesihatan seseorang dalam menjalani kehidupan mereka. Sistem kesihatan dengan penjagaan kesihatan utama yang kuat diperlukan untuk mencapai liputan kesihatan sejagat.

Namun banyak negara tidak mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan utama yang mencukupi.

Pengabaian ini mungkin disebabkan kekurangan sumber di negara berpendapatan rendah atau sederhana.

8. Golongan menolak vaksin

Vaksinasi adalah cara paling berkesan dan jimat elak penyakit, malah mampu menghalang dua hingga tiga juta kematian setahun.

Sebagai contoh, kes demam campak meningkat sebanyak 30 peratus di seluruh dunia.

Tentunya peningkatan kes yang boleh dicegah dengan vaksin ini disebabkan pertambahan kes yang menolak vaksin.

Banyak negara yang hampir melenyapkan demam campak terpaksa berdepan semula penyakit itu.

9. Denggi

Denggi adalah penyakit bawaan nyamuk menyebabkan gejala seperti selesema dan boleh mengundang maut.

Penyakit ini menyebabkan kematian sehingga 20 peratus pesakit yang menghidap demam denggi teruk.

Sejumlah besar kes berlaku pada musim hujan di Bangladesh dan India. Penyakit ini kemudian tersebar ke negara tropika dan cuaca sederhana seperti Nepal yang secara tradisinya tidak pernah dilanda denggi.

Dianggarkan 40 peratus penduduk dunia berisiko demam denggi dan dianggarkan sekitar 390 juta jangkitan setahun. Strategi kawalan denggi oleh WHO bertujuan mengurangkan kematian sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

10. HIV

Meskipun sudah banyak kemajuan dilakukan bagi mengatasi HIV, penyakit ini terus mara dengan mengakibatkan hampir sejuta kematian setiap tahun. Sejak awal wabak ini melanda, lebih 70 juta orang dijangkiti dan separuh daripada meninggal dunia.

Kini, dianggarkan 37 juta penduduk dunia menghidap HIV. Kumpulan yang semakin dipengaruhi oleh HIV adalah wanita muda berusia 15 hingga 24 tahun yang berisiko tinggi dan menyumbang satu daripada empat jangkitan HIV di subSahara Afrika walaupun hanya 10 peratus penduduknya.

Sekitar 22 juta orang kini mendapatkan rawatan dengan menggunakan ubat antiretroviral untuk mencegah jangkitan virus HIV.

WHO juga mempromosikan kit uji sendiri supaya setiap orang tahu status kesihatan seterusnya mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 9:01am
d