sihat

Panjangkan hayat pesakit

Oleh Zaitie Satibi

Sering kali berlaku mereka yang menghadapi penyakit ancam nyawa tidak lagi diberikan perhatian lantaran dikhabarkan tiada harapan untuk pulih.

Mereka dibiarkan menderita, menghitung hari menunggu maut menjemput.

Sedangkan penjagaan paliatif bagi pengurusan simptom, psikologi dan rohani pesakit memberikan tindak balas kemanusiaan untuk memenuhi keperluan mereka.

Bukti asas juga berkembang dengan menunjukkan penjagaan paliatif boleh meningkatkan lagi kualiti kehidupan dan mengurangkan ubatan yang mempunyai kesan agresif pada akhir hayat pesakit.

Malah, kajian menunjukkan penjagaan paliatif yang baik mampu memanjangkan jangka hayat.

Penjagaan paliatif didefinisikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pendekatan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang menghadapi masalah berkaitan penyakit mengancam nyawa, melalui pencegahan dan mengurangkan penderitaan dengan cara pengenalan awal, penilaian menyeluruh, rawatan penyakit dan masalah lain seperti fizikal, psikososial dan rohani.

Bagi pesakit yang menderita penyakit serius seperti kanser, kegagalan organ, HIV/AIDS, Alzheimer tahap akhir, Parkinson dan masalah motor-neuron (MND), impak ke atas pesakit boleh menjangkaui kesengsaraan fizikal akibat penyakit terbabit.

Kesakitan seperti itu turut menjejaskan sosial, psikologikal dan kerohanian bukan saja pesakit malah ahli keluarga.

Sempena Bulan Kesedaran Penjagaan Paliatif berlangsung sepanjang bulan ini, Hospis Malaysia mengambil inisiatif melancarkan kempen kesedaran penjagaan paliatif ‘Bersuara-Kerana Saya Penting’ yang memaparkan kisah benar pesakit dengan tempoh hayat terhad, di samping menghuraikan kerja pengamal penjagaan paliatif dan kepentingan meletakkan pesakit di pusat yang menawarkan pelan penjagaan.

Pengerusi Hospis Malaysia, Datin Kathleen Chew berkata, pihaknya sebagai organisasi bukan kerajaan bertindak sebagai rakan kongsi utama dalam ekosistem menggesa pihak swasta serta kerajaan membawakan pembangunan dan perubahan dalam penjagaan paliatif.

“Sejak bertahun-tahun, Hospis Malaysia menawarkan keupayaan latihan dan perkhidmatan pesakit yang kukuh dalam penjagaan paliatif.

“Sebahagian besar pesakit yang dirujuk kepada kami datang dari hospital kerajaan.

“Boleh dikatakan Hospis Malaysia menjadi pusat latihan kepada siswazah sekolah perubatan.

“Pembabitan kami dalam penjagaan pesakit dan latihan kepada siswazah dalam negara ini sangat ketara dan semakin meningkat.

“Pembangunan dalam program penjagaan paliatif memerlukan penyertaan banyak pihak seperti penggubal polisi, sektor swasta dan kerajaan serta pusat latihan.

“Malah, kesungguhan masyarakat bersama-sama memacu pembangunan dan perubahan dan kami bertanggungjawab menyatukan semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran kempen kesedaran itu di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir bagi merasmikan kempen itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Sementara itu, Dr Lee berkata, pihaknya akur biarpun perubatan semakin canggih tetapi masih ada segelintir pesakit berdepan penyakit yang tidak boleh diubati.

“Berdasarkan penilaian keperluan dijalankan Hospis Malaysia pada 2016, saya difahamkan lebih 56,000 pesakit di negara ini memerlukan penjagaan paliatif setiap tahun.

“Bagaimanapun, kurang 10 peratus keperluan itu dipenuhi.

“Usaha sudah dilakukan untuk memenuhi keperluan terbabit.

“Pihak kementerian memulakan perkhidmatan penjagaan paliatif di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Seterusnya, pada 2008 perubatan paliatif diiktiraf sebagai subkepakaran perubatan dan sehingga kini 11 pakar penjagaan paliatif sudah menamatkan latihan dan enam hospital kerajaan menyediakan pakar penjagaan paliatif.

“Apapun, saya menyedari usaha dilakukan kerajaan masih belum cukup apabila masih kekurangan strategi komprehensif untuk menyediakan perkhidmatan ini di seluruh negara.

“Pihak kementerian akan meneliti keperluan melatih kakitangan untuk menambahbaik kekurangan terbabit.

“Sejak 2013, doktor kerajaan subkepakaran dalam penjagaan paliatif menjalani latihan selama enam bulan di Hospis Malaysia.

“Kerjasama ini meningkatkan usaha dilakukan kedua-dua pihak dan ia perlu diperkuatkan lagi,” katanya.

Penjagaan paliatif

• Memberikan kelegaan daripada kesakitan dan gejala-gejala yang mengganggu emosi

• Meyakinkan mereka untuk menghargai kehidupan dan menganggap kematian adalah proses normal

• Tidak bertujuan untuk mempercepatkan atau menangguhkan kematian

• Menggabungkan aspek penjagaan psikologi dan rohani pesakit

• Menyediakan sistem sokongan untuk membantu pesakit menjalani kehidupan seaktif mungkin sehingga akhir hayat

• Mewujudkan sistem sokongan untuk membantu ahli keluarga ketika pesakit diancam penyakit atau meninggal dunia

• Menggunakan pendekatan pasukan yang dapat memenuhi keperluan pesakit dan keluarga mereka, termasuk kaunseling, jika perlu

• Bagi meningkatkan kualiti hidup dan boleh mempengaruhi perkembangan penyakit secara positif

• Digunakan pada peringkat awal penyakit, di samping terapi lain yang bertujuan memanjangkan jangka hayat, seperti kemoterapi atau terapi radiasi, termasuk pemeriksaan yang diperlukan untuk memahami dan menguruskan komplikasi klinikal yang mengganggu emosi dengan lebih baik.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 7:01am
d