sihat

Goncangan maut

Oleh Aniza Zainudin

KEMATIAN menyayat hati bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, pada 3 Julai 2018, antara kes penderaan bayi yang menjadi perhatian masyarakat.

Apatah lagi apabila pihak polis mendedahkan mayat kaku si kecil hanya dibaluti kain lampin dan disumbat dalam beg kitar semula, kemudian disorok di dalam peti sejuk oleh dua pengasuh kejam di Gombak, Selangor.

Berdasarkan hasil bedah siasat, bayi itu disahkan mati akibat keretakan tempurung kepala sebelah kiri dan pendarahan bahagian kanan otak.

Merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia, 95 peratus kecederaan kepala dialami kanak-kanak berusia satu tahun disebabkan penderaan, hanya peratusan kecil berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Dipanggil pendarahan subdural, ia berlaku di bahagian lapisan luar otak kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Pendarahan subdural antara sindrom bayi digoncang, diikuti keretakan tulang dada dan pendarahan dalam mata.

Sindrom itu berpunca daripada goncangan kuat berulang kali terhadap kanak-kanak yang mempunyai kawalan leher lemah disertai tekanan kuat hingga mengakibatkan kecederaan.

Impak daripada goncangan kuat di bahagian lembut tengkorak dan otak memberi tekanan terhadap salur darah sehingga pecah, menyebabkan berlaku pendarahan subdural.

Selain goncangan, kanak-kanak boleh mengalami sindrom ini akibat kecederaan seperti tercampak atau dicampak dengan kuat ke dinding, atau bahagian muka dan kepala mereka terkena objek lain.

Situasi bayi menangis berpanjangan tanpa henti boleh mendorong ibu bapa atau penjaga mengambil tindakan tanpa sedar, termasuk menggoncang bayi dengan kuat untuk tempoh tertentu malah ada juga menampar bayi supaya berhenti menangis.

Dalam kejadian lain, ada penjaga menggoncang buaian anak dengan kuat hingga membuatkan bayi terjatuh dari buaian. Perkara ini berlaku apabila ibu bapa dan penjaga mula hilang sabar dan jelak melayan kerenah si kecil.

Antara simptom bayi mengalami sindrom ini yang dimasukkan ke hospital mempunyai sejarah seperti kurang menyusu, muntah, demam diikuti sawan, keadaan gelisah akut, sawan, kurang tindak balas, tidak sedarkan diri dan pernafasan tidak sekata.

Bayi mengalami sindrom ini selalunya kelihatan sihat, tiada keretakan di tengkorak atau lebam, namun mereka menunjukkan gejala lain termasuk kelihatan pucat, pendarahan di dalam lapisan mata (vitreous haemorrhage), retakan di tulang dada (akibat tekanan di dada) dan tulang tengkorak.

Tindakan ganas ibu bapa atau penjaga terhadap bayi dan kanak-kanak meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan mereka.

Ini kerana otak bayi sangat sensitif dan mudah lebam. Kecederaan otak akibat goncangan yang kuat dan kekurangan bekalan darah ke otak ketika sawan berpanjangan boleh menyebabkan kematian, kesukaran untuk belajar atau menjejaskan fungsi motor.

Sekiranya ibu bapa atau penjaga berdepan situasi bayi menangis tanpa henti, disarankan mereka menempatkan bayi di tempat selamat seperti di atas katil bayi yang mempunyai penghadang di kedua-dua belah.

Pastikan bayi dalam keadaan selesa sebelum meninggalkan bayi sebentar bagi menenangkan fikiran.

Ibu bapa juga boleh mendapatkan bantuan saudara-mara atau rakan untuk menjaga bayi buat sementara waktu atau meminta mereka membantu dalam kerja rumah atau menjaga anak lain.

Kajian menunjukkan, keadaan bayi menangis berterusan adalah biasa terutama yang berusia antara enam hingga lapan minggu yang dikenali ‘PURPLE cry’;

P - Kemuncak untuk dua bulan

U - Sukar dijangka

R - Enggan bertenang

P - Ekspresi muka sakit pada wajah bayi, walau tiada kesakitan

L - Tangisan berpanjangan hingga 40 minit

E - Tangisan waktu petang

Rawatan bagi bayi mengalami sindrom adalah berterusan bagi memastikan kemajuan perkembangan dan tumbesaran bayi. Ini termasuk rawatan penyakit sawan atau epilepsi, fisioterapi dan terapi cara kerja untuk palsi serebrum.

Hanya segelintir dalam kalangan bayi dapat dipulihkan kerana otak mereka hanya mengalami sedikit pembengkakan dan kecederaan ketika kejadian. - sumber myhealth.gov.my

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 5:00am
d