sihat

Rawatan terapi radiasi intraoperatif

Oleh Aniza Zainudin

MENGUNJUNGI hospital setiap hari selama lima minggu berturut-turut bagi menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi menjadi bebanan kepada pesakit kanser payudara serta keluarga.

Isu itu sering timbul dalam kalangan pesakit dari luar bandar yang tidak mempunyai fasiliti rawatan dan perlu ke ibu kota bagi mendapatkan rawatan kanser.

Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Dr Harjit Kaur Pardamen berkata, faktor jarak jauh, tempoh lama meninggalkan keluarga dan kos perbelanjaan tinggi merangkumi penginapan dan pengangkutan membuatkan pesakit kanser teragak-agak menghabiskan rawatan mereka.

“Selepas prosedur pembedahan, pesakit perlu kembali ke hospital menjalani rawatan kanser selepas tiga hingga empat minggu dalam keadaan mereka yang sudah pulih.

“Bagi rawatan konvensional ini, pesakit perlu mendapatkan rawatan terapi sinaran pancaran luaran sekurang-kurangnya 15 minit selama lima minggu berturut-turut.

“Bagi pesakit dari kawasan yang tidak menawarkan rawatan ini, mereka berdepan banyak masalah terutama masa dan kos.

“Pesakit yang mempunyai anak pasti mengalami masalah penjagaan anak tanpa bantuan.

“Berdasarkan faktor ini, segelintir pesakit tidak muncul untuk menyempurnakan rawatan selepas pembedahan,” katanya ketika ditemui.

Pengenalan rawatan terapi radiasi intraoperatif (IORT) adalah inovatif rawatan baru yang dapat membantu pesakit kanser tahap satu dan dua mendapatkan rawatan radiasi sekali saja yang diberikan dalam dos tunggal dan tepat.

Rawatan sinaran ini memberikan sinar-X tenaga rendah secara terus pada bahagian tumor semasa pembedahan sama ada lumpektomi (pembuangan sebahagian daripada payudara) atau mastektomi (pembuangan payudara sepenuhnya).

Sinaran IORT dipancarkan secara tepat ke kawasan paling berisiko untuk menghalang pembentukan semula tumor.

Pada masa sama, mengurangkan radiasi kepada tisu yang sihat.

Mampu melindungi kulit dan struktur dalaman, tempoh rawatan lebih pendek sekali gus mengurangkan kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan radioterapi konvensional.

Kebanyakan pesakit tidak memerlukan terapi sinaran tambahan selepas IORT.

Ini bermaksud tempoh menerima rawatan bagi pesakit di hospital dapat dikurangkan dengan ketara.

Menurut Dr Harjit, IORT adalah rawatan monoterapi radiasi yang dapat dilakukan dalam tempoh 25 minit sepanjang pembedahan dilakukan.

“IORT adalah rawatan ideal bagi pesakit berusia 45 tahun ke atas dengan syarat tumor kecil, tidak membabitkan nodus limfa dan dalam keadaan hormon positif.

“Namun pesakit wanita muda juga masih boleh menggunakan rawatan ini tetapi ia bersifat seperti perangsang atau penggalak (rawatan).

“Ini juga bermakna mereka masih perlu mendapatkan rawatan terapi pancaran luaran dalam jangka masa lebih singkat sekurang-kurangnya tiga minggu berbanding lima ke enam minggu,” katanya.

Jelasnya, pesakit kanser payudara tahap tiga dan empat pula tidak sesuai bagi rawatan IORT kerana sel kanser sudah berada dalam kelenjar limfa yang berkemungkinan sudah merebak ke organ lain dalam tubuh dan memerlukan mereka menjalani rawatan kemoterapi.

Dikategorikan pembunuh nombor satu wanita seluruh dunia, Dr Harjit menggalakkan buat ujian saringan payudara berkala bagi mengesan kanser tahap paling awal.

Pengesanan awal membolehkan pesakit mendapatkan pilihan rawatan lebih baik termasuk IORT, kos perbelanjaan rendah dan paling utama, menyelamatkan nyawa.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 5:00am
d